Tuesday 4 November 2008

Mengatur Langkah

Bismillahirrahmanirahim..

Saya dengan rasa rendah diri mengumumkan perpindahan blog Halawatul Iman ( format blogspot) kepada wordpress.

Sunday 2 November 2008

Menggamit Setahun yang telah Pergi


29 Oktober 2008.

29 Oktober 2007.

Hampir serupa. Tapi tak sama.


29 Oktober yang lalu, minda saya menerawang ke satu masa silam.

Apa yang istimewanya tarikh ini?

Saya menghalakan cursor tetikus Nurul Iman ke arah "Return to list of posts".
Kemudian..Klik..

Mata saya liar mencari "the oldest post".
Kemudian...Klik lagi..

Kemudian, retina mata menangkap kelibat tajuk post "nazirah...oh nazirah.." bertarikh 29 Oktober 2007.

Saya klik lagi..
Perlahan, sebaris demi sebaris ayat dibaca.


assalamualaikum...

NAZIRAH & BLOG

my first time blogging...thanks to nazirah who kept insisting me to write blog. i did not bother to write/read people's blogs before because i thought it s all about people's diary..nothing less. full stop. but nazirah convinced me that writing blog can be a means of dakwah...if your intention to write is because you wish that people will gain something in their life from their reading..insyaalah you may someday touch and reach their heart. I started to think. yes! you are right, nazi....

Now, I am in Sheffield, miles away from home. Away from family. Away from friends (or the exact word, Akhowat) who really care about me. Away from Biah Solehah. But I believe that's not the reason for anybody of us to escape from continuing the WAY OF LIFE that we had preserved.

MISSING A LOT

I must tell something. I miss the people who showed me the Beauty of Islam. I miss the people who showed me The Sweetness of Ukhwah and Mahabbah. I miss everyone who had touched and reached my heart with Islam as the main ingredient in their approaches. I am sure you know who I am talking about. Their are all my sisters. My sisters who were never say NO when I asked for help and guidance. My sisters who were holding my hands tightly when I was about to collapse.

I miss the moment we first time met together.
I miss the moment we started to know each other.
I miss the moment we were laughing and crying together.
I wish our LOVE will be always blossom forever.

Saudaramu,

iman_muslihah


Seusai membaca post ini, saya tergelak sendiri.
Oh, ini ke rupa post pertama saya dahulu?
Saya menulis dalam Inggeris rupanya.
Sangat narrative dan monotonous.
Memang membosankan. (hehe)

Saya teringat, tahun lalu, sewaktu members SMSA yang aktif berbincang di forum website SMSA, ada suatu ketika kami berbincang tentang blog milik peribadi, pengkritik tetap (tetapi agak senyap) blog saya, Kak Adibah Kassim pernah memberi komen, karangan saya narrative sangat pada waktu itu. (Tak silap, dia ada cakap, boleh tertidur baca ke apa, saya dah lupa..huhu..)

Benar agaknya apa yang dikomennya itu.Memang monotonous.

Saya menulis bukan atas keinginan sendiri pada waktu itu, tetapi seringkali dipujuk oleh Nazirah..

Saya ingat lagi..

"Wani..tulislah blog.." pujuk teman baik saya.

"Tulis blog? Huh..kita, nak membaca blog orang pun malas..Nak menulis pula? Hmm..terima kasih je lah," saya memberi alasan.

"Alaaa..Tak bestlah macam ni, nanti tak tahu update pasal awak. Dah jauh ni, kalau tulis blog, at least, kita boleh tahu keadaan awak,Wani," desaknya lagi..

Huh!
Saya melepaskan nafas.

"Hm..awak ni..saja je tau suruh kita buat itu ini..ye lah..yelah..nanti kita fikirkan, tapi tak janji tau!", saya mengendurkan perbualan.

Itu, kenangan setahun yang lepas.
Tetapi terasa seperti baru semalam, saya baru bertatih menulis.

..........................................................................................

Waktu itu, statistik pembaca yang melawat di blog saya hanya berapa kerat sahaja, rata-rata hanya kawan-kawan rapat KMB seperti di Leeds, Dublin, Leicester dan Sheffield. (Rasanya boleh teka siapa orang yang disebutkan ini ^_^)

Hari ini, setelah terlalu banyak kali saya menagguhkan hasrat yang sudah lama terpendam, akhirnya saya cuba juga memaksa diri untuk membuat sedikit perubahan.

Insyaalah, mulai hari ini, blog Halawatul Iman akan berhijrah dari format blog spot kepada wordpress.

Sila lawati http://halawatuliman.wordpress.com/

Monday 27 October 2008

Manjanya Saya..

Bismillahirrahmnirahim


"Ya Allah..banyaknya kerja!"
Mata liar melihat senarai kerja yang perlu dilaksanakan.
Perasaan bercampur baur.
Entah bagaimana saya mahu mendefinisikan perasaan itu.

Tiba-tiba..
Saat saya sedang mengira-mengira betapa betapa banyaknya tanggugjawab yang perlu dilaksanakan, saya bertemu dengan satu penulisan yang membuatkan saya terkedu.

Terkesima...

"Pencerahan bukan untuk orang manja" tajuknya.

.....................................................................................................................

Pencerahan bukan untuk orang manja
Pencerahan bukan untuk orang yang manja.

Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas.
Da’wah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa.
Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti-yang senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak.

Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.
Bukan bagi yang meletakkan da’wah hanya untuk mencari calon akhawat sebagai sang isteri,
-yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia dalam kesusahan.

Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.
-yang cepat mengalah,
-yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara ‘penting’ yang lain.
-yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong
-yang hanya tahu compare jamaah itu dengan jamaah ini, yang boleh jarah wa ta’dil harakah ini dan itu.

Da’wah bukan untuk orang yang ikut liqa hanya kerana nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu, jamaah ini dan itu.
Da’wah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute.
Da’wah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.
Da’wah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh.
Da’wah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.

Tarbiyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.
Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot.
Da’wah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.

Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah.
Tanpa anda, orang yang sering beralasan ini, da’wah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara.

Cuma tanpa pencerahan,
Tanpa tarbiyyah,
Tanpa da’wah
Belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti.

Tak mengapa. Teruskan hidup anda seperti biasa. Da’wah tak memerlukan anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda.
Berbahagialah seadanya.


......................................................................................

Saya menghitung diri.
Terlalu kerap menuturkan.

"saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih.."

Adakah ini petandanya saya terlalu manja?

Ya Allah, tabahkan hamba-Mu.

iman muslihah
27 syawal 1429
9.05 pagi.

Saturday 18 October 2008

Suatu Petang yang Mengajar...

17 Oktober 2008
Havelock Street, Sheffield
Petang


Saya meneliti wajah polos mad'u saya satu persatu-satu.
Saya hela nafas sedalam-dalamnya.
Lalu, kata ditutur, membuka bicara.

Petang tu, bermula satu lagi siri baru dalam perjalanan hidup saya.
Siri yang bakal mewarnai kehidupan saya dengan 1001 macam perasaan, pengalaman dan mungkin penemuan baru.

Saya diamanahkan menjadi "coach" kepada kumpulan usrah / sitting group saya.
Berbeza dengan tahun yang terdahulu, tradisi kumpulan usrah mengikut tahun pengajian diubah sedikit.
Usrah kali ini menggabungkan mad'u daripada pelbagai kursus pengajian dan tahun yang berbeza dengan harapan supaya usrah bukan sahaja menjadi medan untuk mad'u memperbaharui iman yang sentiasa dilanda badai, tetapi mendambakan agar usrah menjadi medium "networking of ukhuwwah" yang lebih mencapah.

Menjadi naqibah bukan perkara baru bagi saya dan juga beberapa teman rapat saya.
Namun, tugas saya sebagai naqibah atau "coach" kali ini sedikit berbeza.
Jika dahulu, mad'u saya hanyalah terdiri daripada kalangan yang lebih muda daripada saya,
namun, kali ini, saya turut dikurniakan dengan kehadiran beberapa senior di samping junior sebagai ahli baru usrah saya.

Saya menjadi sedikit gusar.

Kegusaran yang terbit itu bukan atas dasar "inferiority" lantaran umur saya yang lebih muda berbanding mereka yang lebih awal makan garam daripada saya.

Perbezaan umur tidak menjadi isu untuk berdakwah.

Tetapi sejauh mana kemampuan saya membawa jurang perbezaan, peringkat pemikiran dan penerimaan mereka terhadap pembawakan usrah kepada satu titik persamaan yang dipersetujui oleh semua ahli usrah.

Satu hari,saya cuba mendapatkan nasihat daripada Naqibah saya yang hidupnya sudah sebati dengan usrah, dakwah dan tarbiyah.

"Kak..macam mana ya? Kali ni mad'u kita agak pelbagai. Ada adik junior, kawan sebaya, senior pun ada. Biasanya bila dapat mad'u yang pelbagai umur, mestilah penerimaan diorang pun berbeza-beza. Kalau golongan junior ni, insyaallah kita dah biasa dah kak. Haa., yang golongan senior ni, pemikiran diorang mesti lebih matang. Macam mana ya kak? Mampu ke kita nak penuhi keperluan diorang ni?"

"Hmm..macam mana awak layan diorang sebelum ni?" Kak Nik Mun menjawab persoalan saya dengan satu soalan.

Seingat saya, semasa saya first year, saya agak kurang berinteraksi dengan senior yang kini menjadi mad'u saya kerana kami amat jarang bertemu berbanding beberapa orang senior lain yang lebih dominan.
Hmm..sebabnya saya sendiri tidak pasti.
Namun kerenggangan itu tidak sedikit pun menjadi alasan untuk saya tidak menghormati mereka.

"Honestly, kita lihat diorang sebagai kakak. Kakak senior yang kita hormati," ringkas sahaja jawapan saya, namun itulah hakikatnya.

Jadi, peluang untuk sama-sama "sitting" bersama-sama mereka adalah sesuatu yang sukar untuk saya lepaskan kerana mungkin dengan cara inilah hubungan ukhuwwah yang agak kusam pada satu ketika dahulu dapat digilap sebaik mungkin.

"Haa..macam tu lah awak lihat diorang. Walaupun diorang tu anak usrah awak, tapi tak bermakna awak kena layan diorang macam adik-adik juga. Mesej pengisian sama macam adik-adik lain, cuma bagi golongan macam ni, apa yang awak perlu buat ialah teruskan perasaan hormat awak tu pada diorang. Layan diorang sepertimana layanan yang sepatutnya diterima oleh seorang kakak. Sebab at the end of the day, perkara baik yang awak nak sampaikan kepada semua anak usrah awak tu, sama sahaja iaitu nak membentuk syakhsiah muslim, cuma mungkin kena guna "approach" yang berbeza. "Approach" yang sesuai dengan diorang," panjang lebar Naqibah saya memberi penjelasan.

Ya..sememangnya bukan mudah untuk meladeni keperluan mad'u yang mungkin beraneka ragam, namun, itulah cabaran yang perlu digalas. Secara automatiknya menuntut saya untuk lebih mendalami ilmu dan melatih diri untuk lebih bersedia menghadapi liku-liku perjuangan yang pasti memburu sejuta pengorbanan.

Dalam membicarakan tentang persiapan diri dengan ilmu dan pelbagai latihan memperketalkan diri untuk bergelar daie, kadangkala kita mungkin terlepas pandang tentang "kesuburan hati".
Bagi saya, inilah yang paling sukar untuk dilakukan berbanding perkara-perkara yang lain.

Masakan tidak, kesuburan hati menuntut jagaan rapi melalui siraman iman yang segar setiap hari dan taburan baja mahmudah yang berkualiti sepanjang masa.

Dan yang paling penting, ia menuntut elemen istiqamah.
Istiqamah sepanjang masa, tidak mengenal musim.

"Kena ingat, keadaan hati sangat memberi kesan terhadap dakwah. Hati rosak sikit, habislah dakwah," inilah peringatan yang sering diulang-ulang oleh Sang Naqibah.

Kali ini, saya tidak meneruskan pertanyaan lagi.
Saya terdiam.
Hanya tunduk merenung lantai.

...........................................................................................................................................................



"Walaupun saya ni Naqibah untuk kumpulan sitting ni, suka saya nak clarify yang naqibah does not equal to ustazah ke cikgu ke..jauh sekali nak menggenggam ijazah ilmu syariah ke ilmu wahyu ke. Saya memang tak ada semua tu! Memang tak ada!
Saya sama sahaja seperti orang lain, still seorang student, pergi lectures, buat assignment..Cuma, saya berada di sini, berbekalkan sedikit ilmu dan pengalaman, saya hanya bertindak sebagai "coach". Dalam usrah ni,kita sebenarnya sama-sama belajar, mana yang salah ditegur dan dibetulkan, yang baik, kita kongsi bersama. Dalam usrah, kita nak lalui proses pembelajaran atau tarbiyah. Dan bila sebut tentang tarbiyah, ia lebih bersifat coaching rather than preaching, " akhirnya terluah juga apa yang terbuku di hati.

Pada awal pertemuan pertama, saya lebih banyak mendalami tanggapan dan perasaan mereka terhadap usrah berbanding "mengajar" atau mengadakan "sesi preaching" tentang apa itu usrah, rukun-rukun usrah, adab-adab usrah dan sebagainya.
Kerana saya tahu, mereka sudah arif tentang itu semua.
Perkara yang bersifat teoritikal itu sudah mereka pelajari sejak di bangku sekolah.
Cuma bezanya, ketika usrah, bagaimana untuk kita mempraktikkan teori-teori tersebut dalam kehidupan.

Saya masih ingat luahan hati mereka.

"Sebenarnya kitorang dah tahu semua perkara pasal apa itu usrah, rukun-rukun usrah, apa itu iman, apa itu ihsan..Kitorang dah belajar benda-benda tu sejak kat sekolah lagi. KAMI DAH TAHU. Cuma, dalam usrah ni, apa yang kitorang mahukan ialah macam mana nak MENGHAYATI APA YANG KAMI TAHU TU DALAM KEHIDUPAN SEBENAR," ujar salah seorang mad'u baru saya ini.

Saya merenung lembut ke dalam anak matanya.
Cuba menyelam ke dasar hatinya.

Benar.
Kebenaran setiap butir pertuturannya itu tidak dapat disangkal lagi.
Tidak perlu bersusah payah untuk menjadi seorang Naqib/Naqibah jika tugasnya hanyalah "berceramah/preaching" apa yang tercetak pada kertas silibus usrah.
Tetapi cabaran yang lebih getir tertumpu kepada bagaimana seorang "coach" itu menjiwai apa yang dibawanya lalu "memindahkan" penjiwaan tersebut kepada mad'unya.

Saya melepaskan keluhan berat.

Sesungguhnya tugas ini amat berat.

Penjiwaan melibatkan hati dan perasaan.
Dan di sinilah kesuburan dan keikhlasan hati memainkan peranan.

Luahan demi luahan mengisi keheningan petang itu.

Satu nama disebut pada petang itu.
Empunya nama juga merupakan seorang naqibah dan pendakwah.
Dahulunya pernah menetap di Sheffield, namun kini dia sudah berhijrah ke tempat lain.
Tidak banyak yang saya tahu tentang kakak ini, yang pasti dia adalah kawan baik kepada Naqibah saya.

"Entahlah Wani, setakat ni, dialah the best Naqibah yang kitorang pernah ada. Tapi , the best yang dimaksudkan kat sini, bukanlah bermakna dia telah membawa bawa usrah yang luar biasa, atau penyampaiannya yang hebat. Tak..Tak..Dia menjadi the best bukan kerana itu. Penyampaiannya biasa-biasa sahaja, tapi kitorang tersentuh dengan keikhlasan hatinya, " jelas seorang mad'u saya dengan penuh perasaan.

Saya mengangkat kening.

"Keikhlasan hati?
Masakan mampu mereka tahu sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak?" Persoalan ini saya pendamkan dalam hati.

"Wani tahu tak, dia tak pernah missed ajak kami ke usrah. Setiap minggu hantar text, ajak pergi usrah. Walaupun towards the end, kami dah start rasa berat nak pergi usrah, dan kadang-kadang mula ponteng usrah, tapi dia tak pernah marah. Tak pernah nak sindir-sindir. SEKALI PUN TAK PERNAH!..Dia sabar layan kerenah kami, masa nak exam, dia masak untuk kami. Dan dia sebenarnya tahu, kami dah semakin malas nak datang usrah dan memang tak akan datang usrah, tapi dia masih tidak lupa mengajak kami ke usrah. Sekali pun tak pernah lupa! Tak pernah serik ajak kami pergi usrah! Dia memang sabar dengan kami," hati saya bergetar mendengar pengakuan mereka.

Saya terkedu.
Tetiba hati menjadi sebak.

"Tapi itu lah, dia dah tak ada kat sini sekarang..Manusia ni memang tak pernah nak hargai bila benda tu berada di hadapan mata. Bila benda tu dah tak ada, baru sibuk-sibuk nak hargai, " sayu sahaja suara mereka.

"Tapi Wani, Wani bila dah dengar cerita ni, Wani janganlah rasa takut pula. Kami bukan nak expect yang tinggi-tinggi daripada Wani sebagai Naqibah. Tak..Bukan!!.Bukan kami nak Wani selalu masakkan kami atau bawa topik yang best-best..Bukan!..Bukan!..Tapi cukuplah ada perasaan IKHLAS nak bawa usrah ni," ujar mereka, seoalah-olah memberikan motivasi kepada saya.

Memang IKHLAS tidak dapat dilihat dengan mata, namun, ia dapat dirasa dengan hati.
Tetapi percayalah, hati yang subur sahaja mampu membuahkan nilai keikhlasan.

Untuk kali keduanya, saya melepaskan keluhan berat sekali lagi.

Banyak yang telah saya pelajari pada hari itu.
Saya telah melalui satu lagi "kelas" dalam "sekolah kehidupan".

Sememangnya, petang itu merupakan petang yang panjang bagi saya.

Wednesday 8 October 2008

Kembara Hamba


Sebab tu Kita kena Mengembara!!!


Penghujung Ramadhan
Waktu berbuka
Kebabish, Wicker Street,
Sheffield


Alhamdulilah, baru sahaja beberapa hari saya menjejakkan kaki ke Sheffield, Allah pertemukan saya dengan seorang rakan baru yang amat saya kagumi ilmu dan personalitinya.

Shahirah namanya- Gadis manis yang sedang menuntut di Morocco dalam bidang syariah.

Sempena cuti musim panas di Morocco- bumi tempat tumpah darah Pengembara Ulung- Ibnu Battutah, Shahirah melapangkan masanya menziarahi ibu saudaranya (isteri abang Bock) di Sheffield dan menetap di sini selama hampir 3 bulan lamanya.

Maha Suci Allah , sebaik-baik perancang, rupa-rupanya Shahirah itu pula merupakan rakan sekolah Munirah (teman serumah saya). Maka bermulalah persahabatan baru yang saya rasakan cukup menarik.

Petang itu, kami sudah berjanji untuk menikmati juadah berbuka bersama-sama di restoran Kebabish yang terletak di Wicker Street. Seperti yang dijangka, setiap kali bersama-sama dengan Shahirah, ada sahaja pengisian mutiara ilmu yang dihidangkan kepada kami (saya , Atikah, Munirah).

Petah berkata-kata, bijak menyusun bicara yang penuh hikmah, sarat dengan ilmu dan pengajaran. Inilah yang boleh saya simpulkan tentang Shahirah.

Namun, kata-katanya yang paling menyerap ke dalam hati saya ialah ketika dia berbicara tentang "kembara".

"Sebenarnya, kita cukup bertuah dapat pergi ke luar negara untuk belajar, tengok negara orang, macam mana orang lain hidup.," tuturnya.

Saya merenung anak matanya. Cuba menangkap mesej yang cuba disampaikan.

"Sebab bila kita mengembara, sebenarnya kita dalam proses untuk cuba mendekatkan diri kepada Tuhan..percaya tak?" dia cuba membangkitkan persoalan. Memanaskan perbualan.

Saya sekadar mengangguk-angguk. Membiarkan dia untuk menyambung butir percakapan.

"Bila kita berjalan..mengembara..melihat alam Tuhan, ciptaan Tuhan, kita sebenarnya lebih dekat dan dapat merasai kewujudan dan kekuasaan Tuhan. Contoh, kita berada di tempat di mana Islam itu asing, barulah masa tu hati kita bila-bila masa sahaja boleh terdetik betapa bertuahnya kita "mempunyai Islam". Masa itulah mungkin hati kita tergerak untuk menghargai kehadiran Islam dalam hidup kita," sambungnya lagi.

Ya..benar..

" Absence Makes the heart Grow Fonder"

Lumrah manusia, apabila kita jauh daripada sesuatu, mungkin pada waktu itu, barulah perasaan untuk menghargai datang mencucuk-cucuk sanubari.

Kerana itu itulah kita perlu memecahkan "dinding keselesaan" yang selama mengelilingi kita.

Kita pecahkan "dinding" dan keluar bertebaranlah di muka bumi Allah yang maha luas.

Keluar berjalan untuk melihat alam.

Keluar berjalan meninggalkan sedikit keselesaan dan keterbiasaan.

Keluar berjalan untuk mentafsir kebesaran Tuhan.

Kembara Hamba mencari Tuhan.


......................................................................................................................


Bersempena cuti musim sejuk yang bakal menjelang, hati saya sudah melonjak-lonjak untuk kembali "mengembara" .

Mengembara untuk meninggalkan sebentar sedikit keselesaan.
Mengembara untuk melihat aturan kejadian Tuhan.
Mengembara untuk menguis sekelumit ilmu milik Tuhan.
Mengembara untuk mengharumkan kuntuman ukhuwwah sesama akhawat yang sekian lama tidak ketemu.

Yang paling saya nanti-nantikan ialah berkenalan dengan akhawat baru!

Insyaalah, saya dan rakan-rakan akan bermusafir ke bumi Scotland, nun jauh di utara.
Bersama menuju ke Perhimpunan Musim Sejuk Scotland 2008, kali ini membawa tema "Experience the Difference".
Selain bersiap siaga untuk menceduk limpahan ilmu daripada tokoh-tokoh hebat lagi terkemuka,
hati saya begitu dahagakan nikmat keindahan alam ciptaan Tuhan yang pernah saya kecapai dalam jaulah-jaulah terdahulu.


Terasa seperti bumi Scotland sedang melambai-lambai memanggil ke sana.


LOCH LOMOND


LOCH LOMOND
Ski at Glenshee ( courtesy of www.inda2681.fotopages.com)



Ski at Glenshee ( courtesy of www.inda2681.fotopages.com)LOCH LOMOND


Saya tidak mahu menyimpan "keterujaan" saya ini seorang diri.
Apa lagi kawan-kawan, ayuh kita gemparkan perhimpunan pada kali ini!

Ayuh daftar sekarang!









AYUH..KITA GEGARKAN!!! -PERHIMPUNAN MUSIM SEJUK 2008-



MAJLIS SYURA MUSLIMUN

Dengan penuh syukurnya membawakan




AYUH!! KITA GEGARKAN!!

Tuesday 7 October 2008

Jika diikutkan Hati...

Selasa, 7 Oktober 2008
Havelock Street,
Sheffield, UK


Hampir sepurnama lamanya saya tidak mencoretkan sebarang penulisan di blog ini.
Jika bulan Ogos yang lalu, saya berjaya mencatat 7 entries, tetapi pada bulan September ini, halaman Halawatul Iman seakan-akan sepi tidak berpenulis.

Bukan saya sengaja, tetapi himpitan tugas-tugas lain benar-benar menyesakkan saya.
Lalu, "kecintaan saya untuk menulis" ini dipendamkan untuk seketika.
Dipujuk untuk bersabar.

"Nantilah Wani, biar semua benda settle, baru menulis,"

Namun, pagi tadi, saya ditegur oleh seorang sahabat/saudara/kakak yang amat saya kagumi- Kak Aisyah.
Namun, saya lebih senang memanggilnya Kak Aisyah Muharikah, bersempena nama blognya yang cukup membangkitkan semangat saya untuk menulis.

Setelah bertanya khabar disulami sedikit perbincangan, tiba-tiba Kak Aisyah membangkitkan satu topik yang akhirnya mengheret saya untuk kembali up date blog ini hari ini juga.


Muharikah Zainordin: penulisan awak saya suka
Muharikah Zainordin: cuma nak cadangkan tulis pendek2
Muharikah Zainordin: tapi banyak entry
Muharikah Zainordin: sebab kalau panjang2 orang tak dapat follow
Muharikah Zainordin: huhuhhu
norshazwani othman: huhuhuhu
norshazwani othman: mmg nak selalu tulis
norshazwani othman: tapi masalahnya, tak ada masa
Muharikah Zainordin: tulis pendek2
Muharikah Zainordin: jangan panjang2
norshazwani othman: kalau dah tulis sekali, pun dah cukup rasa best..
Muharikah Zainordin: orang akan lebih mudah nak baca
Muharikah Zainordin: train tulis 10 ayat

Memang benar setiap kali saya memasukkan entry terbaru, saya pasti ramai yang tak sanggup baca karangan saya yang panjang berjela itu. (huhu)
Kadangkala ia berlaku tanpa kesengajaan, ditambah pula dengan "kemiskinan" saya dengan masa lapang, saya terpaksa "suppress" kan coretan penulisan saya dalam satu entry.

Selepas berminggu lamanya blog dibiarkan bersawang, barulah halaman ini dijenguk untuk di update.
Memang tak istiqamah!!

Namun, saya benar-benar menghargai perhatian dan nasihat Kak Aisyah. Mengetahui Kak Aisyah sudi menjenguk blog saya pun sudah menjadi satu penghormatan bagi saya. Mungkin kerana saya sangat mengagumi cetusan buah fikirannya melalui penulisannya.

Sebelum ini, saya lebih kerap ditanya tentang tips-tips penulisan oleh rakan-rakan dan adik-adik yang baru menceburkan diri dalam penulisan blog. Saya hanya memberi sekadar yang termampu. Masakan saya layak memberi nasihat itu dan ini sedangkan pengalaman saya sendiri masih berusia setahun jagung.

Saya sebenarnya tidak menyedari kewujudan minat ke arah penulisan ini sehinggalah saya "diseru" untuk menulis blog oleh sahabat baik saya, Nazirah Azman.
Maka tanggal 29 Oktober 2007, lahirlah blog HALAWATUL IMAN ini. Alhamdulilah hingga kini, saya masih lagi mampu bertahan untuk menulis walaupun kadangkala terdapat insiden yang kurang enak untuk diceritakan.

Mengimbau koleksi penulisan saya yang terdahulu, saya dapati lama kelamaan, saya agak cenderung ke arah penulisan cerpen. (Namun saya dapat merasakan dengan kapasiti entry saya yang selalunya berjela-jela, boleh jadi entry-entry tersebut boleh dipanggil novel ^_^ ).

Saya masih ingat satu ketika dahulu, gara-gara bentuk penulisan saya yang sebegitu rupa, saya pernah dipelawa untuk menulis cerpen kanak-kanak untuk satu penerbitan. Namun, dengan berat hati, saya terpaksa menolak lantaran deadline yang begitu hampir dan kerja-kerja yang melambak-lambak.

Hakikat saya menulis bukan untuk semata-mata mempamerkan kebolehan saya menulis. TIDAK SAMA SEKALI.
Kerana saya tidak sama sekali menyimpan cita-cita menjadi "orang sastera".

Tetapi saya berhajatkan agar penulisan saya ini menjadi satu "produk yang bermanfaat" hasil daripada proses pemikiran, pentafsiran dan penelitian saya sendiri terhadap lautan pengalaman hidup yang pernah direntasi.
Jika Doraemon itu wujud di alam realiti ini, mungkin boleh sahaja saya namakan medan penulisan ini sebagai "Mesin Muhasabah Diri"! (Sekadar berseloroh).

Dan lebih tinggi lagi cita-cita saya jika satu hari nanti saya mampu "mengeksploitasi" kemahiran menulis untuk tujuan dakwah. Moga dipermudahkan.


Tidak lama dahulu, sekali lagi, penulisan saya pernah ditegur oleh seorang rakan yang juga tidak kurang hebatnya dalam dunia penulisan. Ketika itu, saya baru selesai menulis entry "Hadiah" bertarikh 29 Mac 2008. Antara potongan perenggan yang menjadi perhatian ialah:

Bumi ALLAH ini sekali lagi diliputi keputihan salji.
Disebabkan bilik air terletak di luar, saya dan peserta yang lain berjalan terbongkok-bongkok menahan kesejukan pagi ditambah kehadiran salji dan angin dingin yang sungguh angkuh bertiup.

Saya disarankan untuk melihat dan mengkaji semula penggunaan ayat "salji dan angin dingin yang sungguh angkuh bertiup" kerana ia dilihat kurang sesuai.
Mungkin ia kedengaran "macam best" dari segi tatabahasa dan lenggok sasteranya. Namun, katanya jika dilihat pada hakikat kejadian alam, alam ini dicipta oleh Allah mengikut sunnatullah. Tidak kiralah kuat atau perlahan kah tiupan angin itu, kesemuanya itu berlaku mengikut landasan sunnatullah, bukan kerana keangkuhan alam itu.
Kerana sesungguhnya alam itu tidak pernah angkuh kepada Tuhan.

Terkesima juga saya mendengar pendapat ini. Terlalu banyak betulnya.
Kadangkala apabila kita terlalu asyik menulis, kita mungkin mengabaikan sesetengah perkara yang mungkin dilihat kecil pada mata kasar kita, walhal ia mungkin memberi impak yang kurang diingini.

Saya kira saya perlu berhenti di sini dahulu untuk mengelakkan "accident" dan menulis lebih panjang lagi. Jika diikutkan hati memang saya mahu menulis dengan lebih kerap, moga saya mampu memanfaatkan masa dengan lebih bijak lagi pada masa akan datang.

Oh ya..tips Kak Aisyah tadi sangat berguna..Tulis pendek-pendek..tapi kerap..Train menulis 10 ayat..Tapi..err..dah berapa ayat dah saya tulis kali ni ya? hehe..

.......................................................................................

Oh ya..saya rindu betul pada adik-adik di bumi Kenyalang dan Bumi Bawah Bayu..


Video Sekolah Sains Kuching



Jaulah Kuching



Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu



Persembahan Pelajar SMKAK




Jazakallah kepada Ketua Fasilitator, Akh Hijaz atas video-video ini!

Oh ya..adik-adik penasyid SMKAK nanti boleh jumpa geng Munawwar untuk diuji bakat! ^_^




Friday 12 September 2008

APABILA TIRAI MULA BERLABUH

MASA SAYA SUDAH BERLALU.

Alunan muzik SMS yang masuk mengejutkan lamunan.

Perlahan-lahan saya membuka pesanan ringkas tersebut.

“Salam. Wani, pasal rumah tu, ada masalah apa-apa? Wani, nak tanya ni..iron nak kena bawa ke? Rice cooker tu beli yang biasa je eh? Voltage dia sama dengan UK ke? , tanya seorang rakan saya yang akan ke Sheffield.

Biasalah tu, pertanyaan begini memang perkara biasa bagi rakan-rakan yang baru pertama kali terbang ke luar negara.

Sekejap-sekejap nanti, message lain pula menjenguk.

“Assalamualaikum, Wani. Kak Saliza ni.Macam mana kalau akak bayar deposit lepas sampai UK? Wani..lagi satu kan, ok tak kalau akak bawa basikal?

Ya Allah..pulak? Inilah pertama kali saya dengar ada orang nak bawa basikal ke UK. Orang lain merungut terlebih muatan- seorang kakak post grad ini pula berniat untuk membawa basikal. Basikal kesayangan, barangkali.

Tak kurang juga dengan kehadiran mesej adik-adik yang membuatkan saya menggaru kepala yang tidak gatal. Masakan tidak, generasi terbaru ini, begitu kreatif merekacipta ejaan SMS yang baru dan pendek. Melihat SMS sebegini, entah mengapa processor otak saya menjadi lembab , jenuh saya menggayakan cara mengeja dan membaca mengikut suku kata. Setelah beberapa ketika, barulah saya habis membaca dan memahami satu khidmat pesanan ringkas.

Khidmat pesanan kompleks barangkali!

Jika diimbas kembali, beginilah keadaan saya setahun yang dulu. Sibuk membuat persiapan itu dan ini. Pakaian, 1001 rempah ratus untuk masakan, buku, visa, passport, borang claim lap top dan sebagainya.

Entah apa macam barang lagi. Penuh satu bagasi.







Agaknya inilah habuan yang paling dinantikan-nantikan oleh adik junior ini ya..



Ketika itu, kurang rasanya ruang untuk berfikir mempersiapkan bagasi yang satu lagi . Bagasi yang lebih penting iaitu persiapan jiwa, mental dan rohani. Mungkin minda ketika itu lebih teruja untuk terbang ke angkasa dan menjejakkan kaki ke bumi UK yang diidam-idamkan.

Saya ada mem “forward”kan karya nasihat seorang rakan saya ke Yahoo Group Road to Sheffield-khas pelajar yang akan ke Sheffield. Saya forwardkan bukan sekadar mahu memeriahkan suasana. Bukan itu tujuan saya.

Kerana bukan hobi dan tabiat saya untuk melakukan kerja-kerja “forward memforward” email tanpa makna. Di celah kemeriahan mereka mempersiapkan itu dan ini, saya memandang mereka daripada sudut kaca mata yang lain.










Masih teringat ketika saat membelah awan tinggi.




Melihatkan keadaan adik-adik yang bakal tiba menyertai kami di bumi perantauan umpama melihat bayangan diri sendiri setahun yang lalu.

Fikiran masih kosong dan mentah. Tidak pasti apa cabaran yang bakal terbentang ketika berada dalam permusafiran. Yang terkandung di benak fikiran, ialah excitement untuk fly, persiapan bagasi dan dokumen penting yang perlu dibawa. Itu sahaja!

Saya faham perasaan itu.

Kerana saya pernah melalui saat itu.

Pernah.

Dulu.

Kini, masa itu sudah berlalu dan sudah tentu banyak perkara yang sudah berubah.

Jujurnya, kali ini, tidak banyak persiapan material yang saya siapkan walaupun tempoh penerbangan berbaki tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ditambah pula, beberapa hari yang lalu, saya diserang demam yang agak teruk, tidak banyak aktiviti luar atau membeli belah yang saya lakukan. Saya lebih banyak membaca dan menulis untuk koleksi sendiri.

Sesekali melayan kerenah adik-adik junior yang memerlukan bantuan.

Seperti adik-adik yang risau berkaitan persiapan bagasi ke luar negara, saya juga tidak terkecuali daripada dilanda badai kerisauan.

Namun, kerisauan saya bukan terletak pada bagasi realiti yang ingin disumbatkan ke dalam perut kapal. Kegelisahan saya ini lebih berpaksi pada kekuatan mental dan rohani yang bakal menemani jasad saya ini.


Kota London yang mula menyapa kehadiran saya.


Hampir setahun bermusafir di tempat orang, banyak pahit manis daripada episod kehidupan yang telah ditelan. Begitu banyak kerenah manusia yang disaksikan. Begitu tegar melalui lorong-lorong dugaan dan cabaran. Maka, serpihan pengalaman lalu membuatkan saya lebih banyak berfikir dan menilai apakah diri saya kini sudah bersedia untuk menghadapi satu lagi lembaran diari hidup yang terbentang di depan mata?

Kerana sejajar dengan pertambahan usia, cabaran yang menjenguk juga akan bertambah hebatnya.

Apakah bentuk ujiannya?

Tak siapa tahu.

Kecuali Dia.

Adakah saya terlalu banyak berfikir?

Entahlah.

......................................................................................................................


TIADA KEBETULAN DALAM KEHIDUPAN!!


Seimbas lalu, saya melihat terlalu banyak peristiwa yang berlaku dalam hidup saya. Peristiwa yang mematangkan dan memberi pengajaran. Saya pasti, ia berlaku kepada semua insan yang berlindung di bawah langit Tuhan. Saya kira, setiap yang berlaku pasti berada di dalam lingkungan rencana Allah yang maha Tahu atas apa yang ditakdirkan.

Tiada istilah “kebetulan” . Tiada.

Sesungguhnya di dunia ini, tiada ruang bagi “kebetulan” yang membuta tuli dan kejadian luar dugaan yang mendadak. Semuanya ditulis dengan begitu teliti dan rapi oleh Sang Pencipta.

Kerana:

إِنَّا آُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

49. “Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu itu dengan ukuran yang

rapi”- Surah Al Qamar


“Setiap yang berlaku pasti ada hikmah”


Kata-kata ini sangat klise, bukan?

Sangat biasa didengari. Sudah biasa dituturkan. Kadang kala hilang keistimewaanya.

Namun sejauh mana kita “mengimani” apa yang kita tuturkan?

Saya pernah mengirim emel kepada teman-teman Halaqah Online saya-halaqah yang dianggotai oleh bukan sahaja teman KMB tetapi juga teman baru dari tempat lain seperti Ukhti Maisarah Isa dari India.

Kami bercakap tentang penerimaan hikmah , qada’ dan qadar yang berlaku dalam kehidupan seharian. Benar kata teman-teman saya seperti Ukhti Rusna Rusli (Czech) dan Ukhti Dina Rasyid (Leicester), kita hanya akan dapat merasai kebenaran bait kata-kata “Setiap yang berlaku pasti ada hikmah” apabila kita benar-benar diuji.

Memang benar. Setiap perkara dan kejadian ada hikmahnya, tetapi hikmah itu adalah

suatu hikmah ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak

kepada pandangan manusia yang singkat. Oleh kerana itu, ia menuntut kesabaran dan ketabahan untuk menggali hikmah sebuah ujian Allah.

Saya teringat, ketika Kem Eksplorasi Minda baru-baru ini, saya sering diasak dengan pertanyaan dan luahan berbentuk:

“Kak, saya dah usaha banyak dah..mcam-macam saya dah buat, tapi kenapa susah sangat nak dapat result bagus?”

“Kak, saya tengok, kawan saya study biasa-biasa sahaja, saya pula pulun macam apa..Tapi kenapa result dia lagi ok?”

“Kak, kenapa saya tak pandai macam dia?”

Jawapan saya tersangatlah mudah:(Memang mudah untuk menuturkannya)

Lumrah kehidupan.

Manusia ada pelbagai jenisnya. Setiap ciptaan pula ada uniknya. Dan setiap aturan ada hikmahnya. Yang penting, usaha yang mematuhi piawaian sunatullah dan syariatullah. Dan juga doa tawakal yang berterusan. Jangan ada sifat putus asa. Walaupun secebis.

Usaha dan usaha. Insyaalah, adik pasti boleh!

Mudah bukan jawapannya?

Namun, untuk merealisasikannya, hanya Allah tahu liku-liku yang perlu dilalui.

Dan kini, siri kehidupan baru saya akan bermula, iaitu sebaik menjejak ke bumi tempat saya berjuang.

Maka, akan bermula kembara mengotakan kata-kata itu.

Debaran kian terasa.

.........................................................................................................

HADIAH UNTUK SAYA.


Pagi ini, saya dihadiahkan dengan perkhabaran yang sungguh menggembirakan.

Sebaik sahaja, saya login yahoo messenger, tertera pesanan offline daripada teman baik saya.

rusna rusli: salam waniee

rusna rusli: alhamdulillah...

rusna rusli: dah lepas anatomy... wanie.. tima kasih ye doa, semangat...

Alhamdulilah, setinggi kesyukuran saya panjatkan. Sudah lama saya mahu mendengar perkhabaran ini daripada teman saya yang berhempas pulas berjuang di medan peperiksaan.

Akhirnya doa saya diperkenankan.

Berita ini saya terima ketika awal waktu Duha. Keberkatan pagi Duha Ramadhan ini begitu lembut menyapa sanubari. Lantas, dahi ini saya sentuhkan pada bumi.

Menyembah Tuhan bumi.

Sebagai tanda manifestasi kesyukuran seorang hamba atas kejayaan yang digapai oleh teman kesayangan yang dirinduinya.

Betapa saya bersyukur atas nikmat ini.

Sekalung tahniah diucapkan. Tahniah bukan semata-mata kerana bakal memperoleh sekeping sijil “PASSED” daripada university.

Tetapi tahniah atas pingat kejayaan yang digapai dengan segenggam ketabahan dan keringat kecekalan.

Tiba-tiba kenangan lalu menjelma di ingatan.

Saya tidak akan melupakan saat ketika saya memerlukan kehadiran seorang teman untuk memberi kata-kata azimat dan perangsang, inilah dia sahabat saya yang tidak jemu membakar api semangat. Memori itu masih segar dalam ingatan.Terima kasih sahabat.

Saya doakan rakan-rakan lain terutamanya di Republic Czech akan menggenggam kejayaan yang sama. Sama-sama kita doakan.

Entah mengapa minggu ini saya begitu bertuah.

Dua hari yang lepas, sahabat baik saya di Australia, Ukhti Ezzathy pula menelefon bertanya khabar. Seingat saya, berbulan lamanya saya tidak mendengar suaranya. Bukan salah siapa, tatapi masing-masing punya urusan tersendiri.

Terkejut juga saya mendapat panggilan itu. Banyak perkara yang kami kongsikan. Tetapi secara jujurnya, saya lebih banyak menguasai perbualan. Bercerita itu dan ini. Setelah hampir berbulan lamanya tidak up date cerita masing-masing, akhirnya banyak kisah yang terluah.

Ada satu ketika, tiba-tiba suaranya seakan-akan tenggelam di hujung corong telefon.

“Kenapa Ezzathy ni senyap je? Khusyuk sangat dengar kot..” saya cuba menyerkap jarang.

Namun, selang sehari, baru saya tahu, diamnya itu ada makna. Ada sesuatu yang disembunyikannya. Selepas meneliti pesanan yang ditinggalkan untuk saya, baru saya mengetahuinya.

Rupa-rupanya dalam kesunyian di corong telefon itu, ada tangisan yang mengiringi. Ada esakan yang cuba disorokkan.


Ya Allah. Enti menangis Ezzathy? Tapi kenapa?


Saya menjadi bingung. Entah di mana pula silapnya tutur kata saya. Bingung lagi.

Seingat saya, petang itu, saya cuma bercerita perjalanan kehidupan yang telah saya harungi tiga empat bulan kebelakangan ini. Saya tidak pasti bahagian mana pula yang menyentuh hatinya.

Ezzathy..Ezzathy..

Saya tersenyum sendiri.

...........................................................................................................................

APABILA TIRAI MULA BERLABUH..

Beberapa hari lagi, saya kembali ke United Kingdom. Bumi di mana tempat saya berjuang. Beberapa bulan berada di tanah air, saat yang berlalu begitu bermakna bagi saya. Mungkin tidak banyak yang mampu saya “berikan” sepanjang berada di tanah sendiri terutamanya kepada keluarga dan teman.

Saya pernah meninggalkan “wasiat” kepada anak buah kumpulan saya ketika malam terakhir saya berada di SMKA Kota Kinabalu. “Wasiat” yang saya pinjam daripada kata-kata Al Fadhil Ustaz Hasrizal:

“Adik-adik, akhir sekali akak nak pesan. Akak yakin, bukan akak seorang je yang simpan harapan ini, tapi semua kakak dan abang fasilitator juga pasti mempunyai harapan yang sama.

Adik-adik tak akan rasa apa yang kami rasa, mengembara sejauh ini, kemudian berjumpa orang yang tak pernah kami kenal semata-mata untuk "memberi" sesuatu.

Percayalah, adik-adik tak akan rasa apa yang kami rasa SEHINGGALAH adik-adik sendiri berada di tempat kami. Adik-adik tak akan rasa bagaimana rasanya “MEMBERI” sehinggalah adik-adik sendiri keluar untuk “MEMBERI”. Jadi, selepas ini, sungguhpun kami dah pulang, dan mungkin tak akan berjumpa kembali, jika ada keizinan, pergilah buat sesuatu untuk “MEMBERI”. Pergilah..”


Dan kini, pejam celik sudah tiba masanya saya bersiap-siap untuk kembali. Tidak sangka begitu cepatnya masa berlalu.

Tempoh perjuangan saya di perantauan masih bersisa empat tahun, Insyaalah.

Saya seringkali juga mendengar hasrat teman-teman akhawat yang menyimpan hasrat untuk menyambung beberapa tahun lagi di bumi orang, mencuba pengalaman bekerja. Tak kurang juga disogokkan cerita betapa tidak ada “life”nya bekerja sebagai housemanship officer di Malaysia. Saya tidak pula menafikan. Memang ada kebenarannya apabila melihat sendiri keadaan doctor muda di hospital Muar yang sangat sibuk ketika saya menjaga ibu saudara yang sakit selama beberapa hari sebulan lalu.

Namun, setakat ini, hati saya belum pula menyimpan cita-cita itu. Niat untuk terus pulang ke Malaysia seusai graduasi masih tersimpul utuh.

Keluarga saya berada di Malaysia.

Hati saya juga berada di Malaysia.

Namun perancangan Allah, siapa yang tahu?

Thursday 28 August 2008

Ogos: Edisi Istimewa Untuk Saudara Daripada Saudara

"Nama Siapa disebut Dulu.."

Jumaat, 14 Ogos 2008
Rumah Wan Maisarah
Petang


"Eh..jap..jap..kita nak angkat kain jap..," ujar Wan Maisarah. Berlari-lari anak teman saya ini mengosongkan ampaian di hadapan rumahnya.

Petang itu,sebaik sahaja usai minum petang di rumah Mai, kami segera bersiap-siap mahu ke Wisma PKNS Shah Alam. Meronda-ronda.
Saya dan Kirin sebenarnya baru sahaja sampai dari Melaka. Kami bercadang mahu ke Kolej Mara Banting pada keesokan hari untuk melawat guru-guru yang dirindui.

Sedang saya menyarungkan kasut, tiba-tiba sahaja Kirin bersuara.

"Wani..Wani..hari tu kan, masa kat rumah Nazie, kitorang baca blog Wani. Pasal Kem Borneo tu,"

"Ya?" saya memandangnya.

"Ha ah..Ya Allah..Tahu tak..kitorang masa tu, dengan Hani, Nazie..rebut-rebut cari nama siapa ditulis dulu kat dalam entry tu..,"tambahnya sambil tergelak.

"Hah??!..Ya Allah..Apakah??",melopong seketika. Tiba-tiba rasa mahu tergelak.
Orang tulis suruh baca, dia pergi tengok nama siapa naik dulu pula..

"Eh..apa..apa?..tengah cakap pasal apa ni?" sampuk Mai yang baru selesai dengan kerjanya. Bersiap-siap dengan kunci kereta Persona di tangan kali ini, kami mula maju ke arah kereta milik ibunya.

"Ada ke diorang ni..Kita susah payah tulis entry blog Kem Borneo tu, dia, Nazie, Hani pi seronok-seronok pula berebut tengok nama siapa naik dulu dalam entry," ujar saya seolah-olah mengadu.

"Ha'ah Mai..Nazie masa tu frust je nama dia tak keluar-keluar masa awal-awal..Haha..," Kirin cepat-cepat menyampuk lagi. Kedengaran tawanya, girang betul. Kemudian, diajuknya baris ayat entry saya yang menyebut namanya.

"Eleh, banggalah tu.., "sindir saya. Tergelak lagi.

"Eleh..ye ke? Kalau nak ikutkan, nama kita naik dulu..," tukas Mai. Selamba sahaja mukanya.

"Eh, kita ada sebut nama awak ke Mai?" saya tiba-tiba menjadi pelik.
Seingat saya, watak-watak utama dalam entry sebut kebanyakannya terdiri daripada ahli kumpulan fasilitator Sekolah Menengah Sains Kuching dan SMKA Kota Kinabalu. Mai bukan termasuk dalam kumpulan tersebut.
"Iya-iya je budak ni.."

"Eh..ada lah!. Nama kita, awak tulis awal sekali. Lagi awal daripada Kirin. Awak tulis masa pagi-pagi tu..awak naik kereta pergi LCCT naik kereta dengan kita dan Wina," jelasnya.
Sedikit bangga barangkali.

"Laa..Pulak?"
Saya menepuk dahi.
"Wah, itu pun boleh dikira ke? Watak kodi je tu.., "desis saya dalam hati.

2 x 5 je Mai ni..

Inikah kerja mereka? Tengok nama siapa naik dulu dalam entry blog?
Tak matang betul. (^_^) hehe
.............................................................


DULU-DULU..

Haih..inilah rakan-rakan baik saya. Teman-teman seperjuangan saya.
Kami memang rapat. Sangat mesra.
Macam saudara sendiri.
Ini baru kami bertiga.. Jika ditambah Ezzathy, Teaks,Iman, Nazie,Rusna, Lah, Nani, Wina a.k.a Syaheera dan lain-lain..
Gamat jadinya.

Sesekali, teringat saat kami di KMB..
Manis betul.

Terutama setiap kali selepas solat berjemaah di surau blok E.
Benarlah fadhilat solat jemaah ini sungguh menakjubkan.
Perlahan-lahan ia menyimpul hubungan ukhuwwah yang penuh warna warni.

Waktu Subuh, terutamanya ketika hujung minggu setelah membaca mathurat bersama, kami akan "serang" Dewan Selera beramai-ramai.

Seperti biasa, Nazie lah yang akan menadah telinga mendengar "ceramah pagi" daripada kami kerana dia lah yang paling kerap lambat bersiap ke DS. Selalu tercicir kereta api.

Selalunya kami akan berkumpul ramai-ramai dahulu di hadapan bilik TV.

"Eh, mana Nazie? Tadi kat surau, kata nak pergi breakfast sama-sama.."
"Ish..ni mesti lambat lagi ni..Nak kena ni..selalu lambat," Iman sudah mula mengomel.

"Jom..kita ramai-ramai panggil dia..,"
"Jom..1..2..3.. NAZIE!!!CEPATLAH, LAPAR NI !!!"

Dari jauh, sayup-sayup kedengaran suara Nazirah.

"Eh, jap jap..tunggu kita..dah nak siap ni..". Terkocoh-kocoh dia berlari anak.

Kami berpandangan antara satu sama lain. Tersenyum.
Dialog biasa Nazie tu..Nazie..Nazie.. =)


.....................................................................................

Solat jemaah Maghrib dan Isyak pula menjadi waktu yang lebih menarik.
Saya secara peribadi sangat ternanti-nanti saat ini.
Masakan tidak, mendengar tazkirah yang pelbagai gaya,baik daripada senior mahupun junior.

Ada masa, pentazkirah tampil dengan gaya serius.
Ada masa, kami diperdengarkan dengan cerita teladan yang santai.
Ada masa, kami dihidangkan dengan tayangan video yang menginsafkan.
Malah, ada pula pentazkirah yang sengaja memberi tazkirah yang membuatkan orang menangis.
Kasihan kawan-kawan saya yang bengkak-bengkak mata sebab menangis.
Hmm..


Namun, saat itu sudah berlalu.
Kini kami masing-masing membawa haluan sendiri.
Terpisah jauh di perantauan orang.
Namun, tanah yang menjadi titik tolak pertemuan kami dan memberi kesempatan ruang waktu untuk berkasih dan berukhuwwah tidak akan kami lupakan.
Ia akan tersimpan kemas dalam sanubari.

Ketika diberi peluang bertemu rakan-rakan seperjuangan lama di Kem Borneo 2008,hati saya melonjak riang.
Sungguh bahagia.
Apatah lagi, pertemuan ini bukan pertemuan yang suka-suka..
Tetapi pertemuan yang diiringi misi dan visi.
Pertemuan yang menuntut pengorbanan, kesungguhan dan keikhlasan.


...........................................................................

OGOS INI..


Secara jujurnya,kehadiran bulan Ogos ini meninggalkan seribu satu kenangan yang sukar dipadam dalam kotak memori..

Selain berdebar menanti Sang Ramadhan yang semakin menghampiri, saya bersukur Kem Eksplorasi Minda telah tamat dengan kejayaan yang tersendiri.
Kemudian, saya menjejak kasih bersama guru-guru MRSM Serting yang sudah hampir 4 tahun tidak bertemu.
Di sana, kami diminta oleh kaunselor untuk mengobarkan semangat para pelajar dengan sesi motivasi.
Oh ya, terima kasih saya ucapkan kepada semua fasilitator Kem Xplorasi Minda yang menyumbangkan bahan-bahan modul tempoh hari.
Telah saya panjangkan ilmu kalian kepada adik-adik di sana.
Alhamdulilah.

Ustaz Hainizam - Inspirasi saya hingga kini.

MRSM Serting dalam kenangan




Kemudian, peluang duduk dalam usrah bersama-sama akhawat yang baru dikenali di kampung halaman saya benar-benar mengujakan saya.
Cekal sungguh semangat Kak Miswani (Galway) yang turun dari Batu Pahat untuk membimbing kami. Saya sungguh berterima kasih kepadanya yang sanggup berkorban mencurahkan ilmu kepada kami yang duduk jauh dari Lembah Klang.
Kadangkala, cemburu juga di hati melihatkan teman-teman saya di Lembah Klang ke majlis ilmu dan daurah yang sering diadakan di sana.
Bertuah betul kalian!

Tidak lupa juga Pre Departure SMSA 2008 di Bangi.
Terima kasih kepada AJK yang bertungkus lumus memastikan semuanya berjalan lancar.
Jazakumullahukhair.

Percutian bersama keluarga juga antara pengalaman yang paling berharga. Bukan mudah untuk berkumpul dengan semua ahli keluarga dan bercuti bersama-sama.
Alhamdulilah kami sekeluarga berpeluang menikmati percutian di Tiara Beach Resort, Port Dickson selama beberapa hari.
Terima kasih mak ayah! ^_^

Mak dan Ayah menjadi Pilot dan Co-Pilot. Kami?Duduk tidur di belakanglah.huhu





Kenangan yang menggamit rasa ialah ketika saya meneruskan kembara ke Kolej Mara Banting yang dirindui.
Rindu di hati untuk bertemu guru-guru tidak mampu lagi dibendung.

Syukur benar dapat bertanya khabar dan beramah mesra bersama warga KMB yang banyak mendewasakan saya.
Tiba-tiba saya teringat peristiwa lucu di bilik guru.
Ketika itu saya bersama Pn Surinam dan beberapa orang pelajarnya.

Sebaik sahaja kemi bersalaman dan berpelukan, menghilangkan rindu yang sudah lama tersimpan, beliau segera memanggil pelajar-pelajarnya yang berkeliaran di situ.

"Eh, Syahmi..lagi siapa tu..mari sini..jumpa student cikgu ni. Dari UK ni," dia memanggil sambil melambai-lambai para pelajarnya.

Kemudian, dia menyambung," Ha..mari duduk sini, kamu nak tanya apa-apa pada kakak ni, pasal university ke exam ke, tanyalah. Haa..Syahmi, kamu nak pergi Sheffield kan..ha..cepatlah tanya apa-apa..," teruja nampaknya guru matematik saya ni. Lebih teruja daripada pelajar-pelajarnya sendiri.

"Oh..akak kat Sheffield ke? Eh..akak..akak, best tak kat sana? Susah tak hidup? Kak..kak..(bla..bla)" pelajar bernama Syahmi ini mula bertanya itu dan ini tanpa henti.

Ya Allah, becok dan peramah juga mulutnya. Teringat saya kepada bekas Ketua IRP saya, Bob (Czech), memang sebiji perangainya. Ringan sahaja mulutnya, bertanya itu dan ini.

Tiba-tiba salah seorang pelajar yang dari tadi hanya mendiamkan diri, bertanyakan satu soalan yang membuatkan saya terdiam.
Terpaku seketika.

"Kak..kak..kat jari akak tu dah ada cincin..err...ada apa-apa ke?" dia bertanya, musykil agaknya.

"Erk, huh?!" terkesima.

Baru sahaja saya mahu membuka mulut, tidak semena-mena Pn Surinam terlebih dahulu telah menjawab bagi pihak saya.

"Kamu ni..saya suruh tanya benda lain, benda lain pula yang kamu tanya?!..Hish..,"bebelnya sambil menggelengkan kepala.

"Entah..apalah korang ni? Ada ke patut tanya soalan ni.." sampuk saya sambil buat-buat menjegilkan biji mata.

Sememangnya cincin ini memang berkontroversi.
Tidak kira ke mana saya pergi, pasti sahaja ada mulut yang sibuk bertanya.
Tidak kira ketika bersama teman akhawat,ketika sitting bersama-sama adik Intec, Kem Borneo, MRSM Serting, cikgu-cikgu KMB..
Jenuh saya memberi penjelasan yang sama.

Sebenarnya, sebelum saya pulang ke Malaysia, saya dihadiahkan sebentuk cincin milik coursemate saya, Tina sebagai tanda persahabatan.
Cincin itu sudah dimilikinya lama dahulu.

Saya masih ingat lagi, ketika itu, saya bertandang ke rumahnya.
Dia membuka sebuah kotak usang yang diisi dengan barang-barang peribadi kesayangannya. Antaranya ialah tiga ketul batu yang agak pelik.

"What's this?"saya bertanya.

"These are the stones from my village. Before the Serb damaged our house, I've collected some stones and brought them to the refugees' camp. I wished I could return home with my family again," ujarnya sayu.

"Ohh.."terharu saya mendengarnya.

"Never mind, listen..I have something to give you. Take this.."

Dia mencapai tangan saya dan perlahan-lahan dia menyarungkan sebentuk cincin ke jari manis saya.

"Oh..This is your ring, take it back, please,"

"No..no.this is my present for you. Always wear it, ok?" pujuknya.

Hmm..Entah apa khabar agaknya teman saya itu.

Surau Annur yang sudah semakin berubah wajah.










Teringat saat sama-sama mengecat dinding surau.





Giliran tazkirah juga sudah berubah nama. Teruskan adik-adik!



wah! ais krim mak su pun dah naik harga? Hm..



......................................................................................................................

Ogos:Edisi Istimewa Untuk Sahabat

Namun, di celahan kesibukan saya dengan jadual hidup sendiri,
bulan Ogos ini juga mencatat kenangan yang istimewa..
Saya menggelar bulan ini, Ogos: Edisi Istimewa Untuk Sahabat

Kerana..
Pada 21 tahun yang lalu, tiga orang insan yang sungguh istimewa dilahirkan dalam bulan ini..

..............................................................................................................................

Tribute Khas I: 9 Ogos 1987



Eid Milad Ukhti Nazirah Azman!

Semoga awak beroleh Taufiq dan Hidayah daripada-Nya. Terima kasih juga kerana sudi menjadi sahabat baik dan tabah mendengar celoteh kita yang tak henti-henti.

Sejak dari dulu kita kenal awak, memang tak berubah. Sangat bersemangat untuk menyuntik elemen tarbiyah, terutama sesama akhawat di mana sahaja awak berada.
Tak kira, di KMB, di Ireland, Borneo, di madrasah lama awak di Penang..semualah..

Alhamdulilah, syukur dan bangga punya teman yang sudi berkorban masa dan tenaga ..

Mudah-mudahan akan bertambah mekarlah bumi Allah ini dengan limpahan benih tarbiyah yang disemai.

Oh..patutlah cari semua orang tak jumpa, di sini rupanya korang berposing. Tinggalkan kita seorang-seorang pula tu ..huhu..sampai hati



.............................................................................................................................

Tribute Khas II: 24 Ogos 1987

Eid Milad Ukhti Atikah!!

Housemate saya yang seorang ini memang tak perlu diceritakan lagi kegemarannya. Semua orang sedia maklum, gadis Bangi ini memang penggemar games. Jika kami terlibat untuk merangka program yang melibatkan riadah dan permainan, inilah mukanya yang akan menawarkan diri/ditawarkan diri sebagai person in charge.

Saya berasa sungguh bertuah apabila ditakdirkan bersama dengannya di Sheffield.

Banyak suka duka dan rahsia yang dikongsi bersama.

Teaks tak pernah marah jauh sekali bermasam muka.

Sebab itulah muka dia manis macam gula. ^_^
Terima kasih kerana sentiasa setia bersama dengan kita!!

Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada awak.

.
Pembikinan hadiah Teaks: Langkah 1, mencari dan mem"print" gambar.










Langkah 2: Menggunting dan menampal.
Kemudian merakamkan kata-kata yang tersimpan di sebalik gambar.


.................................................................................................................................................

Tribute Khas III: 29 Ogos 1987


Eid Milad Ukhti Ezzathy!!

Masyaalah, tiada ungkapan yang mampu menggambarkan kerinduan saya terhadap teman saya ini.
Bila entah akan ketemu..saya tidak pasti.

Moga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Doa daripada sahabatmu ini sentiasa mengiringi.

Tidak akan henti.
Moga diperkuatkan kudrat daripada Ilahi.

Teruskan berjuang merebut mardhatillah.

Mewangikan taman-taman usrah,tarbiyah dan dakwah.

Kawan-kawan! Janganlah nakal-nakal! Dengarlah Ezzathy nak cakap ni!! huhu



......................................................................................................................................




Barakah Sunday..Masih ingatkah kalian?



Usrah bukan untuk berukhuwwah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terjalinnya ukhuwwah”.

Usrah bukan majlis ilmu, tetapi sebahagian daripada faedah usrah adalah ilmu. Ia juga bukan medan untuk isu-isu semasa, namun mengetahui perkembangan semasa adalah sebahagian daripada pencapaian usrah.

Begitu juga dengan ukhuwwah, ia bukan agenda usrah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terhasilnya ukhuwwah. Usrah adalah medan yang mencantumkan ilmu, isu semasa dan ukhuwwah, untuk suatu agenda yang lebih besar iaitu membentuk syakhsiah muslim.

Menghasilkan manusia muslim


Petikan ini saya ambil daripada Blog Saiful Islam, Entry bertajuk "Ukhuwwah Manusia Hamba".

Begitu mendalam sekali maksudnya.

............................................................................................


Muhasabah Cinta-Dedikasi untuk Saudaraku.


Pejam celik-pejam celik, kita sudah menghampiri Ramadhan sekali lagi.

Ah..begitu cepat masa berlalu. Usia semakin menginjak laju.

Sesaat pun ia enggan menunggu.

Saudaraku, izinkan diriku yang fakir ini menyeru.

Mari kita ambil sedikit waktu untuk menghisab diri yang bergelar hamba.

Hamba yang sentiasa mendambakan cinta Sang Penciptanya.


"Kata-kata cinta terucap indah

Mengalun berzikir di kidung doaku

Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku

Teringat semua yang Kau beri untukku

Ampuni khilaf dan salah selama ini

Ya ilahi.... Muhasabah cintaku..."


Dedikasi untuk semua insan yang bergelar Saudara Seislam, saya hadiahkan kalian semua dengan sebuah video bertajuk Muhasabah Cinta.

Moga Madrasah kali ini mampu mendidik jiwa supaya tunduk dan taqwa kepada Pencipta!

Salam Ramadhan kepada semua!