Friday 12 September 2008

APABILA TIRAI MULA BERLABUH

MASA SAYA SUDAH BERLALU.

Alunan muzik SMS yang masuk mengejutkan lamunan.

Perlahan-lahan saya membuka pesanan ringkas tersebut.

“Salam. Wani, pasal rumah tu, ada masalah apa-apa? Wani, nak tanya ni..iron nak kena bawa ke? Rice cooker tu beli yang biasa je eh? Voltage dia sama dengan UK ke? , tanya seorang rakan saya yang akan ke Sheffield.

Biasalah tu, pertanyaan begini memang perkara biasa bagi rakan-rakan yang baru pertama kali terbang ke luar negara.

Sekejap-sekejap nanti, message lain pula menjenguk.

“Assalamualaikum, Wani. Kak Saliza ni.Macam mana kalau akak bayar deposit lepas sampai UK? Wani..lagi satu kan, ok tak kalau akak bawa basikal?

Ya Allah..pulak? Inilah pertama kali saya dengar ada orang nak bawa basikal ke UK. Orang lain merungut terlebih muatan- seorang kakak post grad ini pula berniat untuk membawa basikal. Basikal kesayangan, barangkali.

Tak kurang juga dengan kehadiran mesej adik-adik yang membuatkan saya menggaru kepala yang tidak gatal. Masakan tidak, generasi terbaru ini, begitu kreatif merekacipta ejaan SMS yang baru dan pendek. Melihat SMS sebegini, entah mengapa processor otak saya menjadi lembab , jenuh saya menggayakan cara mengeja dan membaca mengikut suku kata. Setelah beberapa ketika, barulah saya habis membaca dan memahami satu khidmat pesanan ringkas.

Khidmat pesanan kompleks barangkali!

Jika diimbas kembali, beginilah keadaan saya setahun yang dulu. Sibuk membuat persiapan itu dan ini. Pakaian, 1001 rempah ratus untuk masakan, buku, visa, passport, borang claim lap top dan sebagainya.

Entah apa macam barang lagi. Penuh satu bagasi.







Agaknya inilah habuan yang paling dinantikan-nantikan oleh adik junior ini ya..



Ketika itu, kurang rasanya ruang untuk berfikir mempersiapkan bagasi yang satu lagi . Bagasi yang lebih penting iaitu persiapan jiwa, mental dan rohani. Mungkin minda ketika itu lebih teruja untuk terbang ke angkasa dan menjejakkan kaki ke bumi UK yang diidam-idamkan.

Saya ada mem “forward”kan karya nasihat seorang rakan saya ke Yahoo Group Road to Sheffield-khas pelajar yang akan ke Sheffield. Saya forwardkan bukan sekadar mahu memeriahkan suasana. Bukan itu tujuan saya.

Kerana bukan hobi dan tabiat saya untuk melakukan kerja-kerja “forward memforward” email tanpa makna. Di celah kemeriahan mereka mempersiapkan itu dan ini, saya memandang mereka daripada sudut kaca mata yang lain.










Masih teringat ketika saat membelah awan tinggi.




Melihatkan keadaan adik-adik yang bakal tiba menyertai kami di bumi perantauan umpama melihat bayangan diri sendiri setahun yang lalu.

Fikiran masih kosong dan mentah. Tidak pasti apa cabaran yang bakal terbentang ketika berada dalam permusafiran. Yang terkandung di benak fikiran, ialah excitement untuk fly, persiapan bagasi dan dokumen penting yang perlu dibawa. Itu sahaja!

Saya faham perasaan itu.

Kerana saya pernah melalui saat itu.

Pernah.

Dulu.

Kini, masa itu sudah berlalu dan sudah tentu banyak perkara yang sudah berubah.

Jujurnya, kali ini, tidak banyak persiapan material yang saya siapkan walaupun tempoh penerbangan berbaki tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ditambah pula, beberapa hari yang lalu, saya diserang demam yang agak teruk, tidak banyak aktiviti luar atau membeli belah yang saya lakukan. Saya lebih banyak membaca dan menulis untuk koleksi sendiri.

Sesekali melayan kerenah adik-adik junior yang memerlukan bantuan.

Seperti adik-adik yang risau berkaitan persiapan bagasi ke luar negara, saya juga tidak terkecuali daripada dilanda badai kerisauan.

Namun, kerisauan saya bukan terletak pada bagasi realiti yang ingin disumbatkan ke dalam perut kapal. Kegelisahan saya ini lebih berpaksi pada kekuatan mental dan rohani yang bakal menemani jasad saya ini.


Kota London yang mula menyapa kehadiran saya.


Hampir setahun bermusafir di tempat orang, banyak pahit manis daripada episod kehidupan yang telah ditelan. Begitu banyak kerenah manusia yang disaksikan. Begitu tegar melalui lorong-lorong dugaan dan cabaran. Maka, serpihan pengalaman lalu membuatkan saya lebih banyak berfikir dan menilai apakah diri saya kini sudah bersedia untuk menghadapi satu lagi lembaran diari hidup yang terbentang di depan mata?

Kerana sejajar dengan pertambahan usia, cabaran yang menjenguk juga akan bertambah hebatnya.

Apakah bentuk ujiannya?

Tak siapa tahu.

Kecuali Dia.

Adakah saya terlalu banyak berfikir?

Entahlah.

......................................................................................................................


TIADA KEBETULAN DALAM KEHIDUPAN!!


Seimbas lalu, saya melihat terlalu banyak peristiwa yang berlaku dalam hidup saya. Peristiwa yang mematangkan dan memberi pengajaran. Saya pasti, ia berlaku kepada semua insan yang berlindung di bawah langit Tuhan. Saya kira, setiap yang berlaku pasti berada di dalam lingkungan rencana Allah yang maha Tahu atas apa yang ditakdirkan.

Tiada istilah “kebetulan” . Tiada.

Sesungguhnya di dunia ini, tiada ruang bagi “kebetulan” yang membuta tuli dan kejadian luar dugaan yang mendadak. Semuanya ditulis dengan begitu teliti dan rapi oleh Sang Pencipta.

Kerana:

إِنَّا آُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

49. “Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu itu dengan ukuran yang

rapi”- Surah Al Qamar


“Setiap yang berlaku pasti ada hikmah”


Kata-kata ini sangat klise, bukan?

Sangat biasa didengari. Sudah biasa dituturkan. Kadang kala hilang keistimewaanya.

Namun sejauh mana kita “mengimani” apa yang kita tuturkan?

Saya pernah mengirim emel kepada teman-teman Halaqah Online saya-halaqah yang dianggotai oleh bukan sahaja teman KMB tetapi juga teman baru dari tempat lain seperti Ukhti Maisarah Isa dari India.

Kami bercakap tentang penerimaan hikmah , qada’ dan qadar yang berlaku dalam kehidupan seharian. Benar kata teman-teman saya seperti Ukhti Rusna Rusli (Czech) dan Ukhti Dina Rasyid (Leicester), kita hanya akan dapat merasai kebenaran bait kata-kata “Setiap yang berlaku pasti ada hikmah” apabila kita benar-benar diuji.

Memang benar. Setiap perkara dan kejadian ada hikmahnya, tetapi hikmah itu adalah

suatu hikmah ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak

kepada pandangan manusia yang singkat. Oleh kerana itu, ia menuntut kesabaran dan ketabahan untuk menggali hikmah sebuah ujian Allah.

Saya teringat, ketika Kem Eksplorasi Minda baru-baru ini, saya sering diasak dengan pertanyaan dan luahan berbentuk:

“Kak, saya dah usaha banyak dah..mcam-macam saya dah buat, tapi kenapa susah sangat nak dapat result bagus?”

“Kak, saya tengok, kawan saya study biasa-biasa sahaja, saya pula pulun macam apa..Tapi kenapa result dia lagi ok?”

“Kak, kenapa saya tak pandai macam dia?”

Jawapan saya tersangatlah mudah:(Memang mudah untuk menuturkannya)

Lumrah kehidupan.

Manusia ada pelbagai jenisnya. Setiap ciptaan pula ada uniknya. Dan setiap aturan ada hikmahnya. Yang penting, usaha yang mematuhi piawaian sunatullah dan syariatullah. Dan juga doa tawakal yang berterusan. Jangan ada sifat putus asa. Walaupun secebis.

Usaha dan usaha. Insyaalah, adik pasti boleh!

Mudah bukan jawapannya?

Namun, untuk merealisasikannya, hanya Allah tahu liku-liku yang perlu dilalui.

Dan kini, siri kehidupan baru saya akan bermula, iaitu sebaik menjejak ke bumi tempat saya berjuang.

Maka, akan bermula kembara mengotakan kata-kata itu.

Debaran kian terasa.

.........................................................................................................

HADIAH UNTUK SAYA.


Pagi ini, saya dihadiahkan dengan perkhabaran yang sungguh menggembirakan.

Sebaik sahaja, saya login yahoo messenger, tertera pesanan offline daripada teman baik saya.

rusna rusli: salam waniee

rusna rusli: alhamdulillah...

rusna rusli: dah lepas anatomy... wanie.. tima kasih ye doa, semangat...

Alhamdulilah, setinggi kesyukuran saya panjatkan. Sudah lama saya mahu mendengar perkhabaran ini daripada teman saya yang berhempas pulas berjuang di medan peperiksaan.

Akhirnya doa saya diperkenankan.

Berita ini saya terima ketika awal waktu Duha. Keberkatan pagi Duha Ramadhan ini begitu lembut menyapa sanubari. Lantas, dahi ini saya sentuhkan pada bumi.

Menyembah Tuhan bumi.

Sebagai tanda manifestasi kesyukuran seorang hamba atas kejayaan yang digapai oleh teman kesayangan yang dirinduinya.

Betapa saya bersyukur atas nikmat ini.

Sekalung tahniah diucapkan. Tahniah bukan semata-mata kerana bakal memperoleh sekeping sijil “PASSED” daripada university.

Tetapi tahniah atas pingat kejayaan yang digapai dengan segenggam ketabahan dan keringat kecekalan.

Tiba-tiba kenangan lalu menjelma di ingatan.

Saya tidak akan melupakan saat ketika saya memerlukan kehadiran seorang teman untuk memberi kata-kata azimat dan perangsang, inilah dia sahabat saya yang tidak jemu membakar api semangat. Memori itu masih segar dalam ingatan.Terima kasih sahabat.

Saya doakan rakan-rakan lain terutamanya di Republic Czech akan menggenggam kejayaan yang sama. Sama-sama kita doakan.

Entah mengapa minggu ini saya begitu bertuah.

Dua hari yang lepas, sahabat baik saya di Australia, Ukhti Ezzathy pula menelefon bertanya khabar. Seingat saya, berbulan lamanya saya tidak mendengar suaranya. Bukan salah siapa, tatapi masing-masing punya urusan tersendiri.

Terkejut juga saya mendapat panggilan itu. Banyak perkara yang kami kongsikan. Tetapi secara jujurnya, saya lebih banyak menguasai perbualan. Bercerita itu dan ini. Setelah hampir berbulan lamanya tidak up date cerita masing-masing, akhirnya banyak kisah yang terluah.

Ada satu ketika, tiba-tiba suaranya seakan-akan tenggelam di hujung corong telefon.

“Kenapa Ezzathy ni senyap je? Khusyuk sangat dengar kot..” saya cuba menyerkap jarang.

Namun, selang sehari, baru saya tahu, diamnya itu ada makna. Ada sesuatu yang disembunyikannya. Selepas meneliti pesanan yang ditinggalkan untuk saya, baru saya mengetahuinya.

Rupa-rupanya dalam kesunyian di corong telefon itu, ada tangisan yang mengiringi. Ada esakan yang cuba disorokkan.


Ya Allah. Enti menangis Ezzathy? Tapi kenapa?


Saya menjadi bingung. Entah di mana pula silapnya tutur kata saya. Bingung lagi.

Seingat saya, petang itu, saya cuma bercerita perjalanan kehidupan yang telah saya harungi tiga empat bulan kebelakangan ini. Saya tidak pasti bahagian mana pula yang menyentuh hatinya.

Ezzathy..Ezzathy..

Saya tersenyum sendiri.

...........................................................................................................................

APABILA TIRAI MULA BERLABUH..

Beberapa hari lagi, saya kembali ke United Kingdom. Bumi di mana tempat saya berjuang. Beberapa bulan berada di tanah air, saat yang berlalu begitu bermakna bagi saya. Mungkin tidak banyak yang mampu saya “berikan” sepanjang berada di tanah sendiri terutamanya kepada keluarga dan teman.

Saya pernah meninggalkan “wasiat” kepada anak buah kumpulan saya ketika malam terakhir saya berada di SMKA Kota Kinabalu. “Wasiat” yang saya pinjam daripada kata-kata Al Fadhil Ustaz Hasrizal:

“Adik-adik, akhir sekali akak nak pesan. Akak yakin, bukan akak seorang je yang simpan harapan ini, tapi semua kakak dan abang fasilitator juga pasti mempunyai harapan yang sama.

Adik-adik tak akan rasa apa yang kami rasa, mengembara sejauh ini, kemudian berjumpa orang yang tak pernah kami kenal semata-mata untuk "memberi" sesuatu.

Percayalah, adik-adik tak akan rasa apa yang kami rasa SEHINGGALAH adik-adik sendiri berada di tempat kami. Adik-adik tak akan rasa bagaimana rasanya “MEMBERI” sehinggalah adik-adik sendiri keluar untuk “MEMBERI”. Jadi, selepas ini, sungguhpun kami dah pulang, dan mungkin tak akan berjumpa kembali, jika ada keizinan, pergilah buat sesuatu untuk “MEMBERI”. Pergilah..”


Dan kini, pejam celik sudah tiba masanya saya bersiap-siap untuk kembali. Tidak sangka begitu cepatnya masa berlalu.

Tempoh perjuangan saya di perantauan masih bersisa empat tahun, Insyaalah.

Saya seringkali juga mendengar hasrat teman-teman akhawat yang menyimpan hasrat untuk menyambung beberapa tahun lagi di bumi orang, mencuba pengalaman bekerja. Tak kurang juga disogokkan cerita betapa tidak ada “life”nya bekerja sebagai housemanship officer di Malaysia. Saya tidak pula menafikan. Memang ada kebenarannya apabila melihat sendiri keadaan doctor muda di hospital Muar yang sangat sibuk ketika saya menjaga ibu saudara yang sakit selama beberapa hari sebulan lalu.

Namun, setakat ini, hati saya belum pula menyimpan cita-cita itu. Niat untuk terus pulang ke Malaysia seusai graduasi masih tersimpul utuh.

Keluarga saya berada di Malaysia.

Hati saya juga berada di Malaysia.

Namun perancangan Allah, siapa yang tahu?