Sunday, 10 August 2008

Berjalan, Melihat dan Mentafsir- Siri Akhir



“Ya...Mereka Perlukan Kita....”

Jumaat, 1 Ogos 2008.

Sekitar perkarangan Asrama Puteri SMKAKK.

Sekitar 4.30 pagi.

“Perhatian kepada semua pelajar puteri!! Bangun sekarang!! Seperti biasa , kamu semua dikehendaki turun ke surau untuk solat subuh berjemaah jam 5 pagi nanti!! Arahan ini wajib kepada semua pelajar!! Tidak perlu diulang-ulang!!,” laungan salah seorang pelajar puteri berloghat Sabah mengisi keheningan subuh di perkarangan aspuri.Laungan itu menghasilkan gema yang memantulkan suara. Sayup-sayup kedengaran.

Saya terjaga daripada lena. Sedikit terkejut.

“Astaghfirullahalazim..Amboi..garangnya..,” desis hati saya. “Pengawas asrama barangkali,” saya menelah.

Di luar kamar TV, terdengar derapan tapak kaki pelajar puteri yang sibuk mengurus diri sebelum para pengawas memulakan rutin mengambil nama pelajar yang lambat ke surau. Saya menyusun langkah menuju ke arah pintu. Perlahan-lahan daun pintu dikuak.

Memang benar jangkaan saya. Kelihatan pelajar puteri sibuk sekali dengan urusan masing-masing. Riuh rendah keadaan pagi itu.

Saya segera menyarungkan selipar. Kemudian, langkah diatur menuju ke bilik air untuk menyegarkan anggota. Tiba-tiba langkahan terhenti seketika. Saya mendongak ke langit. Terpana seketika.

“Subhanallah...,” terpacul kalimah agung itu secara tiba-tiba daripada mulut saya.

Saya merenung sekali lagi ke arah langit. Kali ini lebih lama. Tidak berkedip.

Fajar mula merekah kemerahan di ufuk timur. Bumi Sabah ini teramat indah bagi saya. Keindahan yang sukar dimengertikan.

Saya paling suka waktu fajar. Pada waktu inilah saya beroleh ketenangan pada awal hari. Saya menghirup udara segar sepuas-puasnya. Sesekali kedengaran kicauan burung turut bersama memuji kebesaran Ilahi.

Jauh di sudut hati,saya yakin tiada sesiapa yang mampu melakar kembali keindahan pagi itu serupa sepertimana hebatnya Sang Pencipta mengatur segala-galanya.

Hatta pelukis ulung dunia pun tidak akan berjaya melukiskan kecantikan itu ke kanvasnya.Sasterawan agung juga tidak akan berupaya menghuraikan keindahan panorama itu menerusi bahasa pena.

Tidak semena-mena lensa retina saya beralih arah. Wajah adik-adik SMKAKK pula mengambil tempat. Saya perhatikan gerak geri mereka yang sudah mula bersiap-siap ke surau. Sesekali mereka menghadiahkan saya senyuman yang tersungging di bibir beserta ucapan salam. Senyuman mereka itu saya balas, “Waalaikumsalam dik..”

Raut wajah polos anak-anak remaja ini tiba-tiba menyentuh tangkai hati.

Entah mengapa rasa simpati mula menjalar ke segenap saraf.

“Adik-adik ini perlu dibantu!!,” getus hati saya.

.......................................................................................

"Kasihan Mereka..."

Kamar TV asrama puteri

Hari yang sama, kira-kira 8.30 pagi.

“Contoh apa nak digunakan ya?” saya mengomel sendirian sambil jari jemari lincah mengetuk papan kekunci “Nurul Iman” kesayangan saya. Nurul Iman ini sudah seperti jantung pengarang saya, ke hilir hilir setia menemani.

Saya merenung Slide Powerpoint yang masih belum siap lagi.

Malam semalam kami tidur agak lewat. Atas cadangan bernas Ukht Nazirah Azman, kami, fasilitator muslimat bersetuju untuk mengambil satu slot selepas solat zuhur bersama –sama pelajar muslimat daripada tingkatan 1 hingga 6 atas. Biasanya, waktu ini disenggangkan untuk pelajar muslimat mendengar tazkirah sementara menunggu pelajar muslimin pulang daripada mengerjakan solat Jumaat.

Saya terkenang perbualan kami pada malam sebelumnya.

“Wani, tadi semasa waktu makan, adik-adik tu tanya kenapa tak ada slot untuk diorang? “ Nazirah bertanya. Ketika itu, kami baru sahaja selesai menikmati hidangan makan malam di dewan selera.

“Adik-adik mana?” saya menyoal sambil merenung wajah teman saya ini.

“Adik-adik form 1, form 2,form 3 form 4..semua lah..diorang cakap..diorang pun nak juga sesi dengan kita, takkan form 5 je..,” jawabnya lagi.

Saya termenung. Lama berfikir.

“Kita buatlah satu slot untuk diorang Wani...kasihan kita tengok..Beria-ria betul diorang..Kita tadi tak sampai hati nak jawab “No” kat diorang..Serba salah dibuatnya,” pujuknya lagi.

Teman seperjuangan saya ini memang prihatin. Teringat saya kepada watak “Nur Mumtazah” yang amat prihatin dan halus jiwanya terhadap nasib anak bangsa sendiri dalam novel “Syabab, Musafir Kasih” tulisan novelis kegemaran saya, Fatimah Syarha.

Akhirnya, setelah bermusyawarah dengan teman fasilitator muslimat, kami bersetuju untuk “memberi” sesuatu kepada adik-adik ini. Setelah berbincang dan merancang butir-butir pengisian , akhirnya tugas untuk menterjemahkan mesej pengisian dalam bentuk slide powerpoint dan lisan diserahkan kepada saya.

Jadi, pagi itu, masa yang berbaki tinggal beberapa jam sahaja lagi saya gunakan sebaik mungkin untuk menyiapkan slide dan menyusun butiran talk saya. Tidak lama..lebih kurang 30 -40 minit masa diberi.

Secara mudahnya, “perkongsian” pada kali ini berkisar tentang peri pentingnya meletakkan matlamat hidup yang betul, konsep syariatullah dan sunnatullah serta saya menyentuh sedikit kepentingan beradab terhadap ibu bapa , guru dan rakan.

Di sini, saya harus akui bahawa saya tidak sehebat seperti beberapa teman lain yang mampu menyampaikan talk melalui olahan idea dan kajian sendiri . Saya belum lagi mencapai ke tahap itu. Segala isi penyampaian kali ini disumbangkan oleh teman akhawat , mutiara ilmu daripada beberapa penceramah terutamanya Al Fadhil Ustaz Hasrizal dan slide-silde juga diadaptasi daripada slide milik teman seperjuangan. Sekalung apresiasi saya tujukan untuk antum semua.

“Wani, banyak lagi ke?. Ada apa-apa nak ditolong tak?” tiba-tiba pertanyaan Azie menyapa telinga.

Lamunan saya termati.

“Insyaalah, kita ok. Tak apa..tak apa..sikit lagi je ni..,” balas saya.

Haish..mengelamun sahaja kerja saya..Bila mahu siap kerja? Saya segera menumpukan semula perhatian ke skrin computer riba saya ini.

..................................................................................

“Macam-macam”

Hari yang sama (Jumaat).

Perkarangan Asrama Puteri .

Kira-kira jam 10 pagi.

Sambil mengendong “Nurul Iman” (lap top saya), saya merayau-rayau mencari bilik yang kosong dan sunyi di persekitran aspuri. Suasana ketika itu sunyi sepi tanpa kehadiran pelajar yang kini berada di bilik kelas masing-masing.

Sudah menjadi “habit” saya, sejam dua sebelum menyampaikan pengisian di khalayak ramai, saya akan mengambil masa untuk bersendirian bersama-sama “Nurul Iman” terlebih dahulu. Masa ini saya akan gunakan untuk mencerna isi yang terkandung dalam slide presentation sebaik mungkin agar saya lebih bersedia dan tenang menghadapi audience/mad u’.

“Hah..jumpa pun..macam sesuai je bilik ni,” saya membaca papan tanda di atas pintu masuk bilik tersebut. Terpampang perkataan “BILIK SAKIT”.

Hati saya yakin mengatakan bilik ini sudah tentu tidak berpenghuni. Saya segera masuk dan mencari tempat yang sesuai untuk menyempurnakan tugas saya.

Bilik itu sederhana besar.Terdapat 4 buah katil tersusun di bahagian kiri bilik. Suram sahaja suasana.

Tiba-tiba...mata saya menangkap kelibat satu objek di bahagian kiri saya.

“Ya Allah!! Apa tu?” Debaran mula mencengkam. Perlahan-lahan, saya mendekati objek itu.

“Astaghfirullahal azim...,” saya beristighfar panjang. Sekujur tubuh terbaring lesu di atas katil.

Saya menerpa ke arah tubuh lemah ini.

“Adik..adik..,” saya memanggil manggil gadis yang tidak saya ketahui namanya sambil menepuk-nepuk lembut pipinya.

Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Teramat lemah sekali.

“Adik..kenapa ni? Sakit ya?” , saya meraba dahinya. Panas.

Kemudian saya menyentuh leher dan kakinya. Tersangat panas.

Mata saya liar memerhatikan sekeliling tempat pembaringan gadis ini. Di sebelah kiri bantalnya, kelihatan kertas tisu yang telah digunakan. Namun apa yang menarik perhatian saya ialah, terdapat tompokan darah pada tisu itu.

Darah?!!

Kerisauan semakin memuncak.

Saya menyeluruhi wajah gadis belasan tahun ini. Kelihatan kerak tompokan darah yang sudah mengering di sekitar hidungnya.

Sambil mengelus lembut ubun-ubunnya, saya bertanya lagi, “ Hidung adik keluar darah ya?”

Lantas dia menggeleng geleng kepala. Saya menjadi hairan.

“Habis, darah pada tisu ni datang dari mana?”

“Batuk darah,” ujarnya pendek.

Haemoptysis??! terpacul term perubatan itu dalam benak saya. Saya mengetap bibir, risau.

Kali ini saya tidak mampu berdiam diri. Haemoptysis atau batuk berdarah adalah symptom yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun termasuk doktor.

“Adik, kita pergi jumpa doctor ya?” saya memujuknya, lembut.

Dia mengangguk lemah.

Dengan segera, saya meluru ke bilik TV untuk memaklumkan kepada rakan akhawat. Mujurlah ketika itu, Ukht Farhanah dan Ukht Hani berada di bilik tersebut. Memikirkan saya masih punya tanggungjawab untuk menyempurnakan “talk” pengisian pada tengah hari itu, saya meminta jasa baik kedua-dua teman saya ini mendapatkan kebenaran daripada pihak sekolah untuk menemani adik tersebut ke pusat rawatan.

Sementara itu, saya teringat bahawa adik tadi belum menjamah sesuap makanan pun pagi itu. Tanpa membuang masa, saya segera ke kantin berdekatan. Seusai menghulurkan sekeping not lima ringgit dan mengucapkan terima kasih kepada pengusaha kantin, saya kembali ke bilik sakit.

Setelah beberapa ketika, akhirnya kami mendapat kebenaran membawa adik tersebut ke pusat rawatan di Kota Kinabalu. Mujurlah Ustazah Raniah menawarkan diri untuk membawa mereka bertiga ke sana lantaran ketiadaan kenderaan sekolah pada waktu itu. Jika tidak, tentu sahaja kami terpaksa menyusahkan Akh Azri atau Akh Hairul Adhan (Sheffield Hallam) yang ketika itu sibuk dengan urusan masing-masing di MRSM Kota Kinabalu.

Selain Ukht Farhanah dan Ukht Hani , teman fasilitator muslimat yang lain juga keluar ke Bandar Kota Kinabalu atas urusan tertentu. Ukht Azie pula berada di bilik computer sekolah menyelesaikan urusannya. Maka tinggallah saya sendirian di aspuri. Terkial-kial saya membuat persiapan terakhir sebelum waktu Zuhur menjelma.

Macam-macam pula berlaku pada hari ini. "Ada hikmah barangkali," fikir saya.

.............................................................................................................

"Hayya 'alal Falah"

Sabtu, 2 Ogos 2008.

Selepas Maghrib, Bilik Kuliah Bangunan Tekonologi Kejuruteraan SMKAKK.

“OK..Sekarang ni, masuk dalam kumpulan LDK masing-masing dan bincangkan apa yang kamu nak buat selepas SPM,” begitulah lebih kurang bunyinya arahan Ketua Fasilitator Muslimin, Akh Hijaz. Malam itu, Akh Izzat bertanggungjawab menyampaikan talk “What to do after SPM”, kemudian disusuli sesi LDK bersama-sama semua fasilitator.

Alhamdulilah, masuk hari ketiga ini, para pelajar semakin bersemangat dan berani mencuba tatkala diajukan sebarang soalan.

“Alhamdulillah..alhamdulilah..alhamdulilah.. ,”saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Saya percaya, kesemua fasilitator juga sama-sama mengurut dada kelegaan melihat perubahan yang amat ketara pada adik-adik ini. Perubahan amat jelas ketika sesi LDK Study Skills yang dikendalikan oleh Ukht Nazirah Azman yang bertanggungjawab memperkenalkan teknik “Mind Mapping” kepada para pelajar petang tadi. Setiap kumpulan berebut-rebut giliran untuk mempersembahkan hasil kerja kumpulan masing-masing.

Pada mulanya, terkejut juga kami melihat perubahan drastik ini. Imej pelajar yang pada mulanya layu, kaku dan beku menghilang entah ke mana. Kini mereka berubah wajah. Dan yang paling penting, mereka sudah punya momentum untuk berjaya.

“Alhamdulilah,”..kalimah tahmid meniti lagi di hujung bibir.Saya mengulum senyuman sendirian.

Mungkin inilah berkat izin Allah dan kesungguhan penceramah jemputan kami, Akh Mukhtar Suhaili serta usaha keras para fasilitator yang tidak jemu menyuntik semangat jihad dan tekun berusaha ke dalam sanubari adik-adik yang tercinta ini.

Saya masih ingat lagi,sepanjang kem berlangsung, kata-kata seumpama ini sering dilaungkan bukan sahaja oleh Akh Muhktar Suhaili, tetapi oleh kesemua teman fasilitator.

Adik-adik mesti ada matlamat untuk berjaya!!”

“Adik-adik mesti berani mencuba untuk berjaya!!”

“Adik-adik mesti tekun berusaha untuk cemerlang!!”

“Adik-adik kena kuatkan semangat dan tak boleh putus asa!!”

Ya..orang Islam mesti berusaha untuk menjadi orang yang berjaya. Masakan tidak, lahir sahaja ke muka bumi, kalimah “ hayya ‘alalfalah” sudah dilaungkan ke telinga si kecil.

Sekali lagi, saya tersenyum sendirian. Sekurang-kurangnya, esok pagi –pagi, kami sudah boleh meninggalkan anak-anak harapan bangsa ini dengan hati yang lebih tenang.

...........................................................................................

Tribute khas: Sayangku Fatimah.

(*Nama watak Fatimah adalah nama samaran individu sebenar.)

Ketika itu, saya meninggalkan sebentar anak-anak buah LDK saya. Sengaja saya membiarkan mereka memikirkan sendiri apa yang ingin mereka lakukan selepas SPM dan mencatatnya di atas kertas.

Saya melangkah menuju ke bahagian belakang bilik kuliah itu.

Sekilas, saya mendapati seorang pelajar puteri duduk termenung sendirian.

Dengan cermat, saya mendekatinya dan duduk bersimpuh di samping gadis belasan tahun ini.

“Fatimah, Fatimah tengah buat apa ni?” saya menyapanya dengan pertanyaan.

Anak gadis ini menggeleng-gelengkan kepala.

“Fatimah tak nak ikut macam kakak-kakak form 5 buat ke?,” .

Melihat tiada respon daripadanya, saya meneruskan kata-kata, “ OK, mari sini akak ajar Fatimah. Fatimah dah ada target untuk PMR?” Saya bertanya lagi.

Sekali lagi, dia menggeleng-gelengkan kepala sambil tersengih. Seolah acuh tak acuh sahaja dengan pertanyaan saya.

Saya menghembuskan nafas, lemah.

Fatimah, adalah pelajar tingkatan 3 di sekolah itu. Anak Sabah ini merupakan anak pekerja buruh kontrak dan ibunya merupakan seorang suri rumah tangga. Anak sulung daripada dua beradik ini tersangat pemalu dan kadangkala sifatnya yang pemalu itu membataskan dirinya untuk bertindak berani mencuba seperti rakan-rakannya yang lain. Sesungguhnya anak gadis ini menjadi perhatian kepada semua fasilitator muslimat lantaran sifatnya yang agak unik itu .

Saya teringat saat ketika kami mula-mula tiba di sini. Saya kira , agak kecoh juga seluruh sekolah apabila dikhabarkan ada mahasiswa “oversea” sedang bermukim di sekolah mereka. Setiap kali melepasi para pelajar, pasti sahaja kami akan disapa dengan senyuman . Kemudian mereka akan berbisik-bisik sesama sendiri. Malah , dari kejauhan lagi, mereka sudah memandang-memandang ke arah kami. Tidak kira, di asrama, dewan makan, surau..kami sentiasa menjadi perhatian. Tidak kurang juga yang menghendap-hendap kehadiran kami!!

Saya teringat saat kami mengenali gadis istimewa bernama Fatimah ini. Ketika itu, seusai menikmati hidangan makan malam, kami duduk berehat-rehat di dalam kamar TV. Saya yang ketika itu sedang mengemas pakaian terlihat kelibat bayang-bayang sedang terhendap-hendap di sebalik tingkap besi Nako berdekatan pintu. Perlahan-lahan saya menolak pintu sedikit.

Terkejut saya . Rupa-rupanya seorang pelajar puteri terpacak di tepi tingkap , sedang memerhatikan kami yang sedang berehat dan duduk bersembang sesama sendiri tanpa pengetahuan kami.

“Eh adik, buat apa ni terhendap-hendap? Jomlah masuk, jumpa kakak-kakak,” saya mempelawanya, mesra.

Dia tidak menjawab. Hanya menggeleng-gelengkan kepala.

“Alah..janganlah malu. Jomlah masuk,” pujuk saya.

Sekali lagi, tiada kata-kata yang keluar daripada mulutnya. Yang ada hanyalah gelengan kepala. Kemudian, dia melarikan diri. Entah di mana dia bersembunyi.

“Astaghfirullahalazim..adik..adik..,” kali ini giliran saya pula menggelengkan kepala.

Dariapada raut wajahnya,saya seolah-olah dapat membaca sesuatu. Gadis ini terlalu pemalu. Bagus sebenarnya menjadi seorang pemalu. Bukankah sifat pemalu itu perhiasan kaum muslimah? Namun, malu yang tidak bertempat juga akan mendatangkan banyak masalah. Bagaimana hendak berjaya jika malu bertanya dan takut untuk mencuba?

Saya meggelengkan kepala lagi.

..................................................................................................

Keesokan harinya, pada waktu yang sama, saya terlihat kelibat gadis semalam. Masih terhendap-hendap. Kali ini, kami buka pintu seluas-luasnya. Sengaja kami berbuat begitu agar sesiapa sahaja di kalangan pelajar bebas keluar masuk dan bertemu dengan kami untuk bertanyakan apa sahaja soalan.

Setelah merisik-risik, barulah saya tahu nama gadis pemalu ini ialah Fatimah. Klasik namanya.

“Fatimah..marilah sini..Jomlah masuk,” saya memujuk lagi.

Dia tidak berganjak. Masih terhendap-hendap di situ. Entah apa yang disegankan, saya juga tidak pasti.

“Fatimah..Fatimah dengarlah cakap kakak ni..Fatimah nak jadi budak baik ke budak nakal? Kalau nak jadi budak baik, mari sini masuk..duduk sebelah kakak,” kali ini pujukan saya seakan-seakan sedang memujuk kanak-kanak pra sekolah pula. Haih..tak mengapalah..janji dapat pujuk.

Rupa-rupanya, berjaya juga taktik saya. Tembok perasaan segannya mulai cair. Perlahan-lahan dia memasuki kamar TV dan duduk bersila di sebelah saya.

Ketika inilah saya mula mengenali anak gadis ini. Latar belakangnya, keluarganya, kegemarannya.

Tidak hairanlah gadis ini terlalu pasif dan kurang keyakinan diri. Dia tidak seperti sebahagian besar rakan-rakan sebayanya di semenanjung atau di sekolah elit seperti Sekolah Menengah Sains Kuching yang datang daripada keluarga yang senang. Pernah diceritakan ayahnya berhempas pulas bekerja dan bersusah payah memohon bantuan biasiswa untuk anak sulungnya ini meneruskan pelajaran peringkat menengah di sekolah ini. Kesan daripada itu, dia terlambat mendaftar dan keciciran selama beberapa tempoh.

Perasaan hiba mula bersarang di hati.

Saya menanamkan tekad. Esok, malam sabtu merupakan malam terakhir kami di sini. Saya perlu membawanya turut serta bersama-sama dalam program kami yang terakhir.

Saya tidak peduli sekalipun dia bukan pelajar tingkatan lima.

Saya tidak peduli jika dia bukan di kalangan pelajar yang diundang.

Saya tidak peduli jika akan ada mata aneh yang memandang.

Yang saya peduli ialah, pelajar ini perlukan bimbingan dan perlu ditatang.

..............................................................................

Suasana perbincangan yang hingar bingar mengejutkan saya secara tiba-tiba. Para fasilitator sibuk melayani anak buah masing-masing. Rancak benar nampaknya. Alhamdulilah, sedikit sebanyak, mereka mula nampak betapa pentingnya untuk memanfaatkan masa tatkala SPM bakal berlalu.

Saya kembali fokus kepada anak gadis ini.

“Fatimah...,” saya memanggil namanya sekali lagi.

“Fatimah, betul ke ni Fatimah belum ada matlamat untuk berjaya ?” saya mengulang kembali pertanyaan yang sama.

Tiada jawapan. Dia hanya menyeringai sahaja.

“Fatimah, kakak nak cakap ni..Fatimah dengar elok-elok ya..,”

“Fatimah..Kalau Fatimah tak ada matlamat, Fatimah susah nak berjaya macam orang lain. Fatimah ingat lagi tak, Fatimah pernah bagitahu kakak, waktu prep, Fatimah selalu berbual-bual sahaja, sikit sahaja kerja rumah yang Faatimah buat. Fatimah cakap, Faatimah tak baca buku sangat. Fatimah tak boleh buat macam tu ..Kakak susah hati kalau Fatimah tak belajar rajin-rajin..,” saya menarik nafas dalam-dalam.

Dia hanya tunduk memandang lantai.

“Fatimah, kakak tengah cakap dengan Fatimah ni..Cuba Fatimah pandang sini..Fatimah..pandang kakak ni...,” . Perlahan-lahan dia mengangkat mukanya. Saya merenung matanya yang cerlang.

“Fatimah..Fatimah tak kasihan pada ayah ? Penat ayah Fatimah kerja siang malam..mesti ayah letih cari duit. Duit tu nanti ayah nak bagi Fatimah untuk beli buku. Tapi kalau Fatimah tak baca buku, sia-sia sahaja ayah kerja kuat-kuat,” psiko sahaja bunyinya,tetapi itulah yang mampu saya luahkan. Tidak sampai hati saya mengenangkan ibu dan ayah yang bekerja kuat tetapi anak-anak kurang menyedari pengorbanan mereka.

Suasana yang agak bising di persekitaran tidak saya peduli. Yang saya pedulikan ialah Fatimah di hadapan mata saya ini.

“Fatimah..Fatimah tahu tak..dari jauh, kakak-kakak dan abang-abang datang nak jumpa adik-adik di sini, nak jumpa Fatimah,”.

“Kakak –kakak dan abang-abang datang dari semenanjung sebab nak bagi adik-adik semua semangat untuk berjaya,” saya terdiam seketika. Kemudian mengambil nafas dalam-dalam.

“Kakak-kakak dan abang-abang datang ke sini pakai duit sendiri , Fatimah. Tapi kami tak kisah,”

“Kakak-kakak dan abang-abang kadang-kadang penat Fatimah. Tapi kami tak kisah,”

Saya menatap wajahnya dengan penuh harapan.

“Dah hampir dua minggu kakak tak jumpa mak dan ayah kakak. Adik-adik akak pun, akak dah lama tak jumpa. Akak memang rindu kat diorang. Tapi akak tahu akak ada tugas yang lebih penting di sini. Tapi tak apa..akak tak kisah. Tapi Fatimah, akak akan kisah kalau Fatimah tak mahu belajar sungguh-sungguh,” dada saya tiba-tiba mula berombak. Sebak.

“Jadi akak harap Fatimah berubah lah..Jadi lebih rajin..Kena ada matlamat..Kena kuat berusaha. Fatimah tak boleh leka lagi. Fatimah faham apa yang akak cakap ni?” saya bertanya lembut tetapi bernada tegas. Saya berusaha menyembunyikan suara yang mula bergetar.

Dia mengangguk lemah.

“Alhamdulilah..sekarang ni, ambil kertas ni, Fatimah kena tulis apa yang Fatimah nak buat lepas ni..Apa yang Fatimah nak ubah..Ingat , kalau dulu, Fatimah suka main-main, jadi lepas ni Fatimah kena serius belajar. Kalau dulu Fatimah malas berusaha , jadi lepas ni, Fatimah kena rajin. Boleh tak Fatimah?

Dia mengangguk lagi.

“Ok , kakak nak tengok kakak-kakak form 5 kejap, Fatimah buat ya apa yang akak minta? Fatimah kena bersungguh-sungguh lepas ni. Nanti, bagi kertas ni pada akak, akak nak tengok, ok?” saya menepuk-nepuk belakangnya.

Saya tersenyum tawar.

...........................................................................................................

Alhamdulilah, malam itu,tercapai juga hasrat saya meluahkan apa yang terbuku di dalam dada.

Sebelum melelapkan mata , kami sempat melayan beberapa orang adik-adik yang datang bertandang ke bilik TV pada malam itu. Maklumlah, malam terakhir. Berduyun-duyunlah adik-adik yang datang menumpang tidur di dalam bilik itu.

Fatimah juga turut serta. Sebelum saya terlena kepenatan, saya mengeluarkan uncang yang berisi duit syiling mata wang United Kingdom.

“Fatimah, ni nama dia one pound. Nilainya sama dengan RM6.30,” terang saya.

“Wah, banyaknya! Duitnya kecil sahaja, tetapi mahal ni,” ujarnya dalam loghat Sabah. Teruja nampaknya.

Saya tersenyum melihat keletahnya. Saya menyambung lagi.

“Haa..yang ini 50 pence. Di sini, kita panggil sen, tetapi di sana dipanggil pence atau 50 p. Lebih kurang RM 3 lebih ni..,” luah saya lagi.

Saya mengeluarkan lagi syiling yang berbaki di dalam uncang itu.

“Fatimah ambillah semua ni. Buat kenang-kenangan. Takpun, kalau Fatimah dah besar nanti, Fatimah datang ke UK, Fatimah boleh guna duit ni, ya?” saya cuba menyuntik semangatnya.

Malam itu, entah pukul berapa saya terlena. Letih benar. Tetapi keletihan itu cukup bermakna.

.........................................................................................................

Ketika Itu...Ia pun Mula Berlalu..............

Ahad, 3 Ogos 2008.

Masih di dalam perut pesawat AK5105 ( Kota Kinabalu- Kuala Lumpur)

Saat tanah semenanjung mula melambai-lambai..

“Wah..sengalnya tengkuk,” saya memicit-micit tengkuk.Saya tersedar daripada lena. Agak lama juga saya tertidur di dalam pesawat itu.

Kini tamat sudah pengembaraan Kem Eksplorasi Minda Borneo –Jom Jauhlah 2008. Pesawat AK 5105 meluncur laju membelah angkasa.

Bumi Borneo pula semakin jauh ditinggalkan. Ditinggalkan dengan seribu satu kenangan.

Saya menggosok-gosok pelupuk mata. Keletihan masih terasa.

Saya membongkokkan badan sedikit dan mencapai beg galas Nike berwarna biru tua di bahagian bawah tempat duduk. Lalu saya mengeluarkan diari dan beberapa bungkusan hadiah yang saya tidak tahu apa kandungannya.

Diari itu saya selak helaian demi helaian. Bukan untuk membaca apa yang tercoret di dalam diari tersebut, tetapi saya mencari helaian kertas dan kad ucapan yang dibingkiskan oleh anak-anak Borneo yang telah kami tinggalkan beberapa jam yang lalu.

Raut wajah adik-adik silih berganti .

Fatimah, Aiza, Nana, Athirah, Dayana, Saddam, Khaidir..dan yang lain-lain..tidak mampu saya senaraikan semuanya di sini...

Tidak lupa juga kepada Aina yang rupa-rupanya mengalami luka pada tonsil. Inilah punca batuknya mempunyai tompokan darah. Semoga cepat sembuh ya dik.

Suasana yang bening benar-benar mengusik jiwa.

Pagi tadi bukan pagi yang mudah bagi kami. Masa kian menghampiri penghujungnya. Semasa kami mula meninggalkan perkarangan sekolah, berduyun-duyun adik-adik puteri berkumpul di luar asrama.

Ada yang menghadiahkan kami dengan senyuman yang merekah.

Ada yang masih menggosok-gosok mata yang merah.

Ada pula yang mengesat pipi yang basah.

Walau apa pun reaksi mereka, saya perlu tabah. Saya sudah bertekad untuk meninggalkan mereka dengan semangat berani berjihad sebagai azimat perjuangan.

Jadi, saya tidak boleh menangis di hadapan mereka. Tidak boleh. Noktah.

“Fuh..,” saya menghela nafas.

Saya mengalihkan pandangan ke arah kad-kad ucapan di atas pangkuan riba. Kad ucapan hasil kerja tangan mereka yang berwarna merah jambu menarik perhatian saya. Kad yang direka khas untuk fasilitator muslimat itu disampaikan kepada saya sebagai wakil .

Saya meneliti setiap bait ucapan yang mereka titipkan untuk kami.

“Thank you for everything. Kini , kami sudah ada MATLAMAT sendiri!!”- Balqis

“Doakan kejayaan kami, tunggu kami di oversea!!”- Mohd Hansar

“Banyak perubahan yang berlaku in myself. Pengorbananmu amat bermakna”- Dayana

“Doakan kejayaan kami khususnya saya yang ingin menjadi seorang doctor!!”- Khaidir.

Akhir sekali, saya melirik ke arah sekeping kad kecil berwarna jingga.

“Sesungguhnya Pengorbananmu Membawa 1001 Makna Buat Kami”

- SMKAKK 08-

Tidak semena-mena pandangan saya semakin kabur.

Entah mengapa mata ini mula berkaca.

Saya meraba pipi.

Panas.

Dan tiba-tiba basah.

Saya tertewas akhirnya.

Saturday, 9 August 2008

BERJALAN, MELIHAT DAN MENTAFSIR- SIRI 1


Ketika Itu, Ia pun Bermula.....


3 hb Ogos 2008

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Jam 12.10 tengah hari.

Hmm..nak duduk di mana ya?” , saya berbisik sendirian.

Saya cuba memanjangkan leher sambil mata saya melilau mencari tempat duduk yang masih kosong di dalam perut pesawat bernombor AK 5105 yang akan berlepas dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur tepat jam 12.30 tengah hari.

Tengah hari itu, cuaca agak terik. Panas. Peluh sudah mula memercik .

Entah mengapa pada hari kepulangan semula rombongan fasilitator Kem Eksplorasi Minda Borneo ke tanah semenanjung , pesawat Air Asia itu seakan-akan penuh dengan penumpang yang agak ramai. Jenuh saya mencari “seat” yang masih belum bertuan.

Sambil menggalas “Nurul Iman” yang setia menemani kembara saya sejak dua minggu yang lalu, akhirnya lensa mata saya menangkap satu “seat” yang masih kosong.

“Alhamdulilah..ada pun kosong,” saya menghela nafas. Lega.

Seusai membaca doa menaiki kenderaan, saya bersandar lesu di tempat duduk entah nombor ke berapa.

Saya tidak ambil tahu dan saya tidak mahu ambil tahu.

Kerana apa yang saya tahu, kelopak mata saya sudah terlalu berat.

Badan sudah mula merengek keletihan.

Saya mendongak ke atas, merenung syiling pesawat dengan pandangan kosong.

Mengelamun seketika.

Perlahan-lahan...saya mula tenggelam dalam lamunan sendiri.

Perlahan-lahan..lamunan saya bertukar menjadi semakin pudar..warnanya menjadi semakin kelam..

Dan akhirnya..gelap.

...........................................................................................................

DIVISYEN 1- SARAWAK BUMI KENYALANG

Khamis, 24 hb Julai 2008.

Terminal LCC, Sepang.

Kira-kira 10.45 pagi

Hello, assalamualaikum Farhana. Ya..Ya..kita on the way ni dengan Wina dan Mai. Tak apa..tak apa..awak tunggu sahaja di depan "Asian Kitchen" tu..nanti kita sampai tak lama lagi,”

“Hello, assalamualikum. Ya..Azie..Ha ah...Kumpul di depan "Asian Kitchen" ya..Nanti kita jumpa..”

Sekejap-sekejap kedengaran ring tone “Allah Knows” alunan suara Zain Bikha daripada Nokia Express Music saya menandakan panggilan masuk.

Kadangkala kedengaran pula ring tone “You are Very Special” alunan penyanyi yang sama. Kali ini mesej pula bertalu-talu masuk ke dalam in box saya.

Begitulah pagi saya sebelum keberangkatan kami ke medan jihad Kem Eksplorasi Minda Borneo- Jom Jauhlah. Sehari sebelum pemergian kami, saya sudah mendapat “command” daripada Tuan Pengarah Kem .

“Wani, enti alert tak dengan up date terbaru dalam yahoo group?”

Saya yang sudah beberapa hari tidak mengakses internet lantaran kesibukan saya menguruskan tempahan dan pembayaran stock baju di kuala Lumpur untuk jualan palestin mula terpinga-pinga. Tambahan pula, flat ibu saudara saya yang menjadi tempat saya bermastautin selama beberapa hari sebelum berangkat ke Pulau Borneo memang tiada akses internet.

“Eh, up date apa ya?,” Saya menjawab pertanyaan Tuan Pengarah tadi dengan satu pertanyaan lain.

“Mulai esok, enti akan bertindak sebagai Ketua Fasilitator Muslimat dan Nazmi sebagai Ketua Fasilitator Muslimin. Enti tolong ambil kedatangan fasilitator muslimat dan serahkan tag nama kepada mereka. Tag nama tu ada pada Erwina, “ ujarnya satu persatu.

Saya mengangguk kecil. Faham. Arahan diterima.

..............................................................................................................................


Hilang Penat Saya...


Sabtu, 26 hb Julai 2008.

Dewan Seminar, Sekolah Menengah Sains Kuching.

Kira-kira jam 9.30 pagi.


Baik adik-adik . Sebelum akak akhiri presentation akak hari ini, akak ingin berkongsi tips-tips kejayaan yang akak ambil daripada Pakar Motivasi terkenal, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah. Adik-adik kenal tak?” sengaja saya menguji adik-adik pelajar tingkatan 5 di sekolah elit dalam daerah Kuching ini.

“Kenal!!!” jawab adik-adik ini. Hingar bingar bilik seminar itu untuk seketika.

Sememangnya audience saya ini sangat responsif dan ceria. Saya secara peribadinya tidak menyangka langsung sambutan yang diberikan oleh para pelajar sungguh berada di luar jangkaan.

Memang betul kata Ustaz Hasrizal,hilang penat lelah si penceramah jika audience menunjukkan respon yang baik semasa sesi ceramah. Saya juga mendapat tempiasnya. Bersemangat saya dibuatnya ketika menyampaikan talk tentang “STUDY SKILLS-INTRODUCTION TO INTENSIVE REVISION (IRP)” kepada para pelajar ini.

Pelajar di sini cukup bertuah kerana serba serbinya cukup.Kemudahan infrastruktur dan ICT nya cemerlang. Malahan ,mereka ini terdiri daripada sekelompok pelajar terpilih.

Maka kami tidak mengalami masalah yang besar untuk menaikkan semangat dan motivasi mereka kerana sememangnya mereka sendiri sudah bermotivasi untuk berjaya.

Sememangnya saya tidak mengambil masa yang panjang untuk merencana butiran persembahan talk saya pada malam sebelumnya walaupun sebenarnya saya baru sahaja menerima dan menatap buat kali pertamanya slide “Introduction to IRP” yang disediakan oleh Ukht Izzati Rosli pada hari kami tiba di bumi Kenyalang itu.

Jazakillah kepada Ukht Izzati kerana bersusah payah mencari bahan. Cumanya, saya perlu mengubahsuai bentuk persembahan saya agar lebih “natural” kerana audience saya pada kali ini meliputi pelbagai bangsa dan agama. Berbekalkan nasihat dan cadangan penambahbaikan ikhlas daripada para sahabat fasilitator, alhamdulilah, saya akhirnya berpuas hati dengan sedikit pengubahsuaian slide pada malam itu.

Saya mengerling kea rah jam tangan milik ibu kesayangan di pergelangan tangan. Jarum jam menunjukkan 1.30 pagi.

Esok pagi, saya perlu bangun seawal yang mungkin kerana masih banyak lagi tanggungjawab “memberi” yang perlu saya dan fasilitator lain tunaikan.

Erti Hidup Pada Memberi.

Ya! Naluri untuk memberi semakin sebati dalam diri .

Sang malam semakin menyepi.

Sunyi.

.............................................................................................................................................

DIVISYEN II- SABAH BUMI BAWAH BAYU

“Ish..Kenapa Pula ni??"

Selasa, 29 Julai 2008.

Di dalam perut pesawat Air Asia AK5902.

Dalam perjalanan dari Kuching ke Kota Kinabalu.

Aduh!!” berdesing telinga saya menahan kesakitan.

Sakitnya bukan main perit. Allah sahajalah yang tahu.Lama- kelamaan kesakitan itu semakin menggila. Seakan akan mahu pecah gegendang telinga saya gamaknya.

Entah mengapa kali ini kesakitan yang disebabkan ketidakseimbangan tekanan dalam tiub Eustachio dan persekitaran luaran amat dahsyat. Saya memandang Ukht Azrin (Ireland) dan Ukht Hani ( Mesir) yang duduk sebaris bersama-sama saya seraya bertanya,

“Korang rasa sakit tak??!” pertanyaan ini saya tujukan kepada mereka berdua. Manalah tahu jika hanya saya seorang sahaja yang merasai kesakitan yang sedikit sebanyak mencemaskan saya.

Kelihatan sahabat saya ini mengangguk –anggukkan kepala sambil menyeringai kesakitan.

Dengungan telinga sebelah kanan saya semakin kuat. Seingat saya, puas saya menelan air liur dan mengulum gula-gula dalam cubaan mengurangkan ketidakseimbangan tekanan. Semuanya tidak berhasil. Hampa.

Tiba-tiba frekuensi bunyi persekitaran semakin perlahan.

“Astaghfirullahal azim..ish..kenapa ni?” saya beristighfar panjang.

Telinga kanan saya saya gagal menangkap sebarang bunyi.

Saya kaget. Debar dalam dada tambah memukul.

Saya menutup mata rapat-rapat.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Kemudian, perlahan-lahan saya menghembuskannya.

Setelah beberapa ketika akhirnya pesawat yang kami naiki ini berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Alhamdulilah, saya mengurut dada lega. Namun, apa yang merisaukan saya, saya masih kehilangan deria pendengaran telinga kanan saya.

Sewaktu semua fasilitator sudah siap sedia mendengar taklimat daripada Tuan Pengarah Program, Akh Azri Bohari, saya masih lagi termangu-mangu. Hanya telinga kiri saya sahaja yang masih berfungsi. Itupun sedikit berdengung. Cuak juga saya.

Cuak..cuak..

Saya meninjau persekitaran, memandang kiri dan kanan. Kelihatan teman-teman fasilitator yang lain normal dan bersahaja. Saya cuba berlagak tenang.

Di tengah-tengah celahan fasilitator muslimat yang sedang berkumpul,saya melemparkan pandangan ke hadapan. Cuba memberi tumpuan kepada taklimat Tuan Pengarah Program.

Namun sayang seribu kali sayang. Kata-kata Akh Azri tidak mampu saya dengari dengan baik. Setelah dia menamatkan taklimat ringkasnya, saya segera mencuit bahu Ukht Azrin atau lebih mesra dipanggil Kirin.

“Kirin, Azri cakap apa tadi? Boleh tolong ulang tak? Wani tak dengar langsung dia cakap apa..,” saya bertanya sambil mengerutkan dahi.

Kasihan Kirin, bersusah payah dia menerangkan serba ringkas ulangan taklimat Akh Azri . Kadangkala dia terpaksa mengulang-ulang butiran percakapannya lantaran kegagalan saya mendengar dengan baik.

Rupa-rupanya, pada kali ini saya dan beberapa orang fasilitator yang lain ditugaskan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu (SMKAKK). Kebanyakan teman fasilitator lebih kurang sama dengan teman-teman ketika di Sekolah Menengah Sains Kuching, bezanya bilangan kami dikurangkan kerana sebahagiannya dipindahkan ke MRSM Kota Kinabalu. Rakan sejawatan saya kali ini juga digantikan dengan Akh Hijaz Ridzwan kerana Ketua Fasilitator Muslimin yang terdahulu sudahpun terbang kembali ke semenanjung atas urusan tertentu.

Kini, kami menanti pemandu bas SMKAKK datang menjemput kami.Hampir berjam –jam lamanya kami menunggu. Sementara itu, rakan-rakan fasilitator muslimat jenuh mengajar saya bermacam cara untuk menghilangkan dengungan di telinga.

Akhirnya muncul juga “heroin” yang sedikit sebanyak “menyelamatkan” saya daripada dibelenggu masalah “pekak telinga sebelah kanan”. Terima kasih kepada Ukht Azriah , teman yang baru saya kenali yang kini sedang mengambil jurusan Science Computer Engineering di United States of America.Walaupun cara yang diajarnya itu agak pelik dan menyebabkan saya menjadi bahan ketawa oleh teman akhawat, namun hasilnya sangat memuaskan hati.

.........................................................................................................................

Sang matahari mula merangkak jauh manakala maghrib pula bertandang. Warna ufuk langit mula merona jingga.

Alhamdulilah, bas akhirnya sampai. Agak lewat sebenarnya.

Sepanjang perjalanan, saya banyak berdiam diri. Pandangan dilemparkan jauh-jauh ke luar tingkap.Jauh di dalam benak fikiran, otak saya ligat berfikir.

Sekolah yang bakal kami tujui ini 100% adalah pelajar muslim.Sudah disepakati (sekurang-kurangnya bagi diri saya secara peribadi) , salah satu objektif penglibatan diri dalam kem ini adalah sebagai memenuhi tuntutan dakwah, terutama kepada adik-adik yang lahirnya sebagai muslim.

“Di sinikah platform dakwah kami akan bermula?”

“Adakah kondisi “pelajar sekolah agama” memberi jaminan tugas dakwah kami lebih mudah dilaksanakan?,”

“Bagaimana agaknya respon pelajar-pelajar yang bakal kami temui kali ini? “

Persoalan demi persoalan menerjah ke dalam sangkar fikiran.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah;

“Mampukah kami meneruskan ekspedisi “Erti Hidup Pada Memberi” ini?”


.........................................................................................

"Tolong ya...Tolonglah Adik-adik tu.."


Khamis , 31 Julai 2008.

Bilik TV, Blok A, Asrama Puteri SMKAKK

Sekitar jam 11 .30 malam

Runsing...runsing..

Saya benar-benar runsing. Bukan saya seorang sahaja yang runsing, malah saya percaya hampir semua teman fasilitator berkongsi kerunsingan.

Malam itu, setelah sesi “Sharing Moment” bersama wakil Ireland (Ukht Farhanah) dan UK (Akh Afif Leeds), kami, fasilitator muslimat duduk berbincang sesama sendiri di penempatan kami, bilik tv asrama puteri.

“Kita risaulah...kita tengok adik-adik kat sini macam tak ada semangat je..,” akhirnya terluah juga apa kerisauan yang terbuku di dada saya.

“Ha ah, lah..diorang macam belum ada matlamat diri sendiri,” tokok Kirin, teman rapat saya.

Benar kata Kirin, mereka lagaknya seperti belum ada matlamat yang jelas dan jitu . Entah di mana motivasi diri yang seharusnya perlu ada pada saat SPM hanya tinggal kurang daripada tiga bulan.

Saya masih ingat lagi, ketika sesi “Ice Breaking/ Sesi Compass “ pada petang itu, saya cuba meneliti para pelajar sekolah agama yang kesemuanya bertudung labuh dan bersongkok kemas. Sejuk mata memandang.

Namun, kesejukan hati itu tidak lama bertahan.

Masakan tidak, tidak keterlaluan jika saya nyatakan, para pelajar kurang atau hampir tidak responsif! Mereka seolah-olah kaku. Beku. (Maaf jika pernyataan saya ini bersifat kurang wajar atau agressif, namun inilah perasaan saya yang paling jujur dan ikhlas mampu saya luahkan.)

Tiba-tiba peristiwa pagi tadi hinggap ke kotak ingatan saya. Ketika itu, barisan fasilitator berkenal-kenalan dengan barisan pihak pentadbiran yang sungguh budiman. Selain melakukan sesi taaruf, kami didedahkan dengan isu-isu dan masalah pelajar yang membelenggu pihak sekolah dengan harapan kedatangan kami ini mampu memberi sinar harapan baru kepada pihak sekolah dan pelajar khasnya. Tersentuh naluri saya mendengar kesungguhan mereka untuk membangunkan anak bangsa.

Tetapi detik yang benar-benar meragut ketenangan saya ialah ketika saat kami, fasilitator muslimat dipeluk erat oleh dua orang guru penolong kanan,Ustazah Raniah dan Cik Kertina, kata-kata mereka masih terngiang-ngiang di telinga saya,

“Tolong ya...tolonglah adik-adik tu....”.

Kata-kata yang simple, tetapi entah mengapa ia seakan-akan amanat yang maha berat terpikul di bahu.

“Insyaalah ,cikgu...,” bisik hati saya. Sayu.

.............................................................................................


Saya akui tugas kami pada kali ini memang sangat mencabar berbanding pengalaman mengendalikan program di sekolah yang lepas.

Cabarannya bukan terletak pada kekurangan kemudahan infrastruktur sekolah dan asrama kerana kami sedar kembara kami ini bukannya bermatlamat “memburu” keselesaan. Sebaliknya kembara ini direncanakan untuk “memburu” insan yang memerlukan.

Cabaran terbesar kami terletak pada usaha untuk meniupkan semangat “ghairah” memburu kejayaan duniawi dan ukhrawi serta berani meletakkan matlamat hidup sendiri. Biar saya tekankan sekali lagi...BERANI meletakkan matlamat hidup sendiri..

Kedengarannya seperti mudah, tetapi percayalah ia bukannya semudah berkata-kata...



Bersambung....

Saturday, 19 July 2008




bismillahirrahmanirrahim..

IMAM (Islamic Medical Association of Malaysia, or in Malay, Persatuan Perubatan Islam Malaysia), an official and registered association of Muslim doctors

PRESENTS





Attention to those flying overseas doing medicine, this msg is specially dedicated for you
:

- Would studying medicine be as simple as studying IB or A-Levels?

- Do I get to experience snow in Dublin?

- How many winter coats do I need to stuff into my luggage?

- Would halal food be easily available over there or do I need to eat vegetarian food all the time?

- People say that once you are in Europe, you can afford to travel all around it? Is that true? Don’t the countries far away from one to another?

- Would it be different, competing among international students than just among Malaysians? Is it that hard?

- How vulnerable am I to culture shock?

- What does the future prepare for me?

- …and so much more!


In this camp, you can have your chance to mix and mingle with the seniors who are already enriched with lifetime experiences and ‘eat more salts earlier’ (sounds familiar, huh?) For those who are worried about future medical prospects, we will enlighten you with inspiring talks from the Dean of Cyberjaya Medical University and many more doctors to come! We only offer limited places, so you won’t want to miss out! AN EARLY BIRD CATCHES THE WORM! Details for this programme are as follows:

Date: 8 and 9 August 2008
Venue: Astana Dugang Country Resort, Sg Marib, Bangi
Pick up point: From KL Sentral

Fee: RM50 (includes accommodation, food and transport for 2 days! That’s cheap, very!)

Hesitate no more! Contact … Hafeez- 013-3443106 or Nurul Iman 013-3260616 or mail to imampredeparture08@yahoo.com

Sunday, 13 July 2008

Saya Teringat Saat Itu...




DETIK HATI


7 hb Julai 2008, Isnin.

Divisyen 1:
yahoo messenger

farahin farahin: alhamdulilah
norshazwani othman: result farahin ok?
farahin farahin: emm result alhamdulilah sy dpt 41


(detik hati : syukur alhamdulilah...)
............................................................

norshazwani othman: Salam.
norshazwani othman: congrats!!
norshazwani othman: wah..dapat 45..tak bagitahu akak pun ya..
amilia: sorry..baru dapat tahu yesterday..thanks!


(detik hati: alhamdulillah..syukurnya saya)
..........................................................


norshazwani othman: mcm mana result?
redaxredox: alhamdulillah la
redaxredox: melepasi target
redaxredox: sy dpt 38+1
redaxredox: thanks sbb byk tlg n bg nasehat
norshazwani othman: alhamdullah
norshazwani othman: hebat2
norshazwani othman: syukur

(detik hati: segala puji bagi allah..syukur..)

................................................

Divisyen 2:
Yahoo mail

Hi kak wani.
Its me again Francis Felix remember? This year kmb kind of rocks since about five girls got themselves a 45 which includes Amilia. She sends her regards to you. I did not do so well in the exams but i did managed a 40..

(detik hati: hmm..did not do so well, tapi dapat 40..ermm..ye lah tu..macam-macam budak IB zaman sekarang ni..haish..)
........................................................

Divisyen 3:
Friendster

Subject: Salam Kak
Message:
Result dah keluar. Alhamdulillah, result sy ok. Tp Malay still pending lg. Thanx for d help, support and encouragement. Skrg ni jrg jumpe akak kat ym. Busy ke?? Nway, sy dh cube few times to access akak nye blog. Tp xley, rstricted. Sy kene ade blog dulu ke baru bley bukak blog akak??


(Detik hati: alhamdulilah..blog saya? haish..)



Beberapa hari lalu, result IB telah diumumkan. Tentu sekali waktu itu, adik-adik saya di Kolej Mara Banting tercinta mengalami sindrom "makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena".
Biasalah..semua orang yang melalui detik-detik pengumuman keputusan peperiksaan akan diselubungi sindrom ini. Alhamdulilah segala puji-pujian bagi Allah, adik adik saya ini berjaya melalui ujian getir ini.
Namun, walau apa pun catatan takdir yang diputuskan oleh Allah, itulah yang terbaik buat insan bergelar hamba. Kadangkala, ia kelihatan buruk di mata kita, tetapi siapa tahu ia sebenarnya keputusan yang terbaik buat kita. Begitu juga sebaliknya.

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. "

(Surah Al-Baqarah:216)

.............................................................



SAYA MASIH INGAT


Sepanjang minggu itu, saya "diserang" oleh adik adik ini, terutamanya yang ingin bertanya tentang placement di United Kingdom. Terutama sekali yang mendapat keputusan cemerlang tetapi belum punya placement lagi.

Saya masih ingat..
Situasi ini benar-benar membawa saya ke detik yang lalu.
Ketika saya masih bergelar pelajar IB.
Ketika itu, rezeki saya untuk ke United Kingdom masih lagi menjadi tanda tanya.
Saya tidak seperti kebanyakan kawan-kawan saya yang lain. Awal-awal lagi sudah dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.

Saya masih ingat..
Ada yang mendapat peluang menghadiri ke hampir semua interview universiti.
Ada yang mendapat 2 atau 3 conditional offers semenjak awal lagi.
Gembira sungguh mereka.
Tentu sahaja mereka bahagia.

Saya masih ingat...
Ketika itu, mengikut ketetapan Allah, saya hanya diberikan satu sahaja peluang menghadiri interview ke University of Sheffield.
Hanya satu.
Satu peluang inilah yang menjadi pengharapan saya.
Hanya satu.

Saya masih ingat...
Siang dan malam saya berusaha.
Bersengkang mata..
Tidak pernah mahu putus asa.
Walaupun ia selalu menggugat ketabahan dan kesabaran.
Menyebut perkataan "putus asa" sahaja, saya tidak mahu.
"Cikgu memang pantang kalau ada pelajar cikgu putus asa," kata-kata cikgu matematik kesayangan saya terngiang-ngiang di telinga.

Saya masih ingat...
Seawal 3 pagi, ditemani kesejukan pagi, saya melangkah keluar daripada bilik E111.
Membasahkan anggota dengan jirusan air pagi ibarat membiarkan kedinginan menggigit kasar hingga ke tulang hitam.
Namun, uniknya manusia ciptaan Allah ini, jika tekad sudah ditanam, bahang atau dingin tidak lagi menjadi halangan.

Saya masih ingat....
Ketika hampir kesemua kawan-kawan saya mengggenggam conditional offers daripada university masing-masing,
Saya masih tidak mendapat jawapan pasti daripada University of Sheffield..
Mereka masih berdolak dalik dalam membuat keputusan.
Mungkin sukar bagi mereka membuat keputusan mudah untuk pelajar "average" seperti saya.

Saya masih ingat..
Setiap hari dan setiap pagi saya berulang alik ke bilik guru.
Tentu sekali menghadap muka guru-guru yang tak pernah jemu mengajar saya.
Saya memang tidak sehebat kawan-kawan saya.

Saya masih ingat..
Di kelas saya, ada ramai kawan-kawan yang pandai..
Ada Zira, ada Hijaz, Bob, Zalyha, Ummi..
Mereka memang pandai.
Selalu ajar saya.

Saya masih ingat...
Saya jumpa Puan Surinam..
Saya cakap, "Cikgu, saya takutlah nak exam..saya tak pandai macam Zira, Hijaz, Zalyha..Placement pun tak tentu lagi.."
Puan Surinam pandang saya..
Dia pandang ke dalam mata-mata saya dalam-dalam..
Dia cakap..
"Wani, cikgu tak kisah kalau pelajar cikgu tak pandai..cikgu tak marah kalau pelajar cikgu tak dapat tujuh..(gred terbaik untuk setiap subjek IB), tapi cikgu akan cukup berpuas hati kalau pelajar cikgu rajin berusaha dan tidak putus asa. Cikgu tak kisah pun kalau pelajar cikgu tak pandai,".
Saya terdiam.
Saya cuba menentang pandangan matanya yang redup..
Tapi saya tak sanggup..
Lalu saya tunduk..
Sambil jari jemari saya menguis-nguis kertas latihan handout matematik...

.........................................................................

MAK, KAKAK DAPAT PERGI UK!!


Tamat majlis graduasi Pelajar International Baccalaureate 2005/2007, saya dan keluarga pulang ke rumah kawan ibu saya di Putrajaya.
Kami menumpang di rumahnya sehari sebelum majlis graduasi kerana jarak rumah kami di Johor yang agak jauh.
Agak mustahil untuk kami sampai ke majlis graduasi seawal pagi jika bertolak dari Johor pada hari yang sama.

Entah mengapa hari itu, saya terdetik untuk log in ke dalam akaun email yahoo saya.

1 new message.
From: University of Sheffield, United Kingdom

Hati saya mula berdegup kencang.

Saya diterima kah atau ditolak?

Ketika itu, saya memang pasrah.
Semenjak keputusan IB diumukan, saya tidak lekat berada di rumah.
Kerap ke Selangor dan Kuala Lumpur ..
Sekejap-sekejap pergi interview untuk Ireland..
Sekejap-sekejap dipanggil interview untuk Australia..
Sekejap-sekejap pergi menguruskan hal-hal Ielts
Disebabkan saya belum menerima apa-apa tawaran rasmi sebelum peperiksaan, saya dikira sebagai pelajar yang tiada placement.
Jadi, dengan result yang sederhana, 38 points , banyaklah tawaran selepas result yang datang..alhamdulilah

Namun, di dasar hati, entah mengapa UK masih berlegar-legar..
Walaupun tahu harapan sebenarnya agak tipis
Tetapi doa dan harapan masih ada..

Bismillahirrahmanirahim..

Saya klik membuka emel tersebut.

Dear Miss Othman,
I am pleased to inform you that, based on the results that you have provided, we would like to make you an offer of a place to study Medicine here at Sheffield to start in 2007.......

Alhamdulilah....saya tidak meneruskan pembacaan emel itu hingga ke akhirnya.
Saya lantas mendapatkan ibu saya lalu merangkul tubuh yang banyak berjasa itu.

"Mak, kakak dapat belajar kat UK!!, ungkap saya bersyukur lalu mengucup wajah tua ibu saya yang sudah "meriah" dihiasi garisan halus.

Itulah panggilan saya oleh diri saya sendiri di rumah.
Saya membahasakan diri saya sebagai "kakak".
Namun, anehnya, tiada sesiapa di rumah memanggil saya kakak, termasuk adik-adik saya.
Semuanya memanggil saya "wani".
Ia bermula apabila saya diberitahu oleh ibu saya bahawa saya akan mendapat adik baru.
Ibu saya menyuruh saya berkelakuan baik dan bermula hari itu, ibu saya akan memanggil saya dengan panggilan "kakak".
Saya hanya menganggukkan kepala.
Dan bermula hari itu, saya membahasakan diri saya sebagai "kakak".
Namun, tiada sesiapa daripada keluarga saya memanggil saya "kakak".
Termasuk ibu saya yang mula-mula beria-ria mahu memanggil saya kakak.
Pelik betul..


Itu cerita 16 tahun yang lepas.
Ketika saya masih kecil.
Kini, pejam celik..
Saya dah dewasa rupanya.
Sedang belajar jauh di bumi orang..
Jauh daripada ibu dan ayah..
tetapi masih jauh lagi perjalanan yang ingin dituju..

Segala puji-pujian bagi Allah..
...............................................................................

SAYA RINDU BETUL!!

Semasa setahun bergelar senior di Kolej MARA Banting, saya melalui waktu-waktu yang sungguh bermakna.
Saya suka betul jadi senior.
Hmm..kenapa ya?

Sebab saya rasa saya sedang menjaga adik-adik yang ramai.
Kemudian, ditambah pula dengan kehadiran teman sebaya, saya rasa saya ada mereka semua sama-sama menjaga adik-adik ini.
Ketika itu, ada Ezzathy, Nazirah, Iman, Rusna, Aisyah, Mai dan ramai lagi..
Kami selalu cerita tentang adik-adik..




Tiba-tiba saya teringat papan putih di surau blok E.
Papan putih itu lah tempat kami menulis nama-nama giliran tazkirah, qiyam, tadarus setiap minggu.
Kadang kala, ada juga tangan yang nakal melukis gambar-gambar di sebelah nama pentazkirah..
Gurauan antara kakak dan adik..
Memang manis..

Sekali lagi saya teringat..
ketika itu, kami pelajar senior sedang melatih adik-adik memberi tazkirah selepas solat maghrib.
Salah seorang adik favourite kami, nana..(akak harap, nana tak kisah akak tulis kisah nana ni)
Saya sudah lupa tajuk tazkirahnya..
Tapi percayalah, ramai yang ternanti-nanti gilirannya untuk memberi tazkirah..
Penuh ekspressi dan gaya yang tersendiri..

Antara kata-kata pembukaan tazkirahnya yang saya ingat..

"Semalam Nana pergi rombongan Taska Sayangku ke Zoo Negara. Nana nampak gajah..dengan belalai yang besar..nampak zirafah..nana kagum betul tengok leher zirafah tu panjang..," bersemangat betul adik kami ni bertazkirah sambil dengan gaya tangan dan muka sekali.

Saya cuba mengaitkan cerita Zoo itu dengan isi tazkirahnya..berkerut juga dahi saya memikirkan motif tazkirah..Saya memandang beberapa rakan yang lain, ada juga "sekapal" dengan saya. Pelik betul tazkirah Nana ni..

Akhirnya, saya membuka mulut bertanya, "Nana, apakah kaitan tazkirah Nana ini dengan Zoo?"

"Oh..Nana nak terangkan betapa indahnya dan takjubnya ciptaan Allah yang menjadikan haiwan dalam Zoo tu.."jawabnya selamba.

"Ohhh..ye ke.." tetiba ramai pula yang menyahut menandakan mereka juga pun sebenarnya baru faham..

Haih..Nana..nana..begitulah gelagat adik-adik kami yang baru belajar menyampaikan tazkirah ketika itu.
Tapi itu setahun yang lalu..
Mungkin ketika ini, mereka lebih hebat daripada kami..siapa tahu?

Hampir setahun saya berada di Sheffield ini, saya tiada junior.
Kadangkala, saya rindu akan junior saya.=)

Dahulu, selang beberapa minggu, sama ada ketika sesi tazkirah atau pun usrah, saya dan sahabat-sahabat seperjuangan akan membuat sesi "motivasi" kepada adik-adik mahupun teman-teman yang bakal melalui peperiksaan.
Saya suka menghasilkan video.
Tetapi bukanlah video canggih kerana saya tidak punya kepakaran untuk membuat video secanggih teman-teman ISAC studio saya.
Dengan berbekalkan minat saya terhadap seni, saya cuba hasilkan sesuatu video untuk teman seperjuangan dan adik-adik.
Sekadar yang mampu sahaja.
Sekadar mengingatkan bahawa kehidupan adalah satu perjuangan.
Supaya kita terus tabah dan tidak mudah menyerah kalah.


Kepada adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading, akak ucapkan bi taufiq wannajah..semoga Allah bersama-sama kalian.


Tiba-tiba saya teringat lagi kepada sesuatu..
Antara koleksi video motivasi sekadar mampu yang pernah saya hasilkan.
Tiadaklah sehebat mana..
Tetapi cukup bermakna bagi saya.



TAJUK: Segenggam Tabah
WAKTU TAYANGAN: Usrah Umum Pelajar First Year 2006
Tempat: LT 1 dan LT 2
OBJEKTIF: Motivasi untuk menghadapi peperiksaan semester pertama






TAJUK: Tekad
WAKTU TAYANGAN: Usrah kelompok kelolaan saya/Tazkirah Blok E
TEMPAT: Bangunan Akademik/ Surau Blok E
OBJEKTIF: Motivasi menghadapi Peperiksaan IB bagi batch saya dan peperiksaan akhir penggal bagi Junior.