Saturday 29 March 2008

HADIAH



SAYA TAK KIRA, SAYA NAK BALIK!!

21 Mac 2008, Jumaat
Beaudesert Campsite,
Cannock Wood,Rugeley,Staffordshire.
Sekitar 9 malam.


Ya Allah!!!
Kesejukan apakah ini?
Entah mengapa, pada malam itu, hati saya merungut kecil.
Astaghfirullahal azim...

Saya betul-betul tertekan.
Sangat tertekan.
Saya gagal menumpukan sepenuh perhatian kepada ceramah pertama Ustaz Mazrul.
Guru yang bertanggugjawab menyampaikan pengisian untuk SPRING CAMP 2008.

SPRING CAMP dianjurkan untuk menjadi wadah ilmu kepada pelajar bukan aliran agama yang sedang bertatih seperti saya.
Pelajar yang baru sahaja bertaaruf dengan Sang Dakwah di bumi UK ini.


USUL 20 daripada Imam Assyahid Hassan Al Banna menjadi fokus utama pesta ilmu kami pada kali ini.


Pada awalnya, Ustaz Mazrul mengetengahkan intipati pengisian pertama.
Tentang signifikan Al Quran terhadap kehidupan ummat sejagat.
Tentang Generasi Al Quran.
Saya benar-benar tertarik.
Terpana dengan hujah dan syarahnya.

Namun...
Ketika hampir tamat tempoh 45 minit pertama,
Ketika beliau mengajar kami tentang bacaan Al Quran,
Hukum tajwid, sebutan makhraj, hukum bacaan.
Malang telah menimpa saya.

Entah mengapa tiba-tiba, saya diuji.
Badan saya menggeletar.
Kesejukan di luar seolah-olah meresap tulang belulang saya.
Seolah-olah saya sedang ditinggalkan kesejukan di luar dewan kecil itu.
Seolah-olah saya sedang duduk di dalam kepekatan malam yang dihembus angin kencang.

Nafas saya semakin laju.
Degupan jantung turut berdegup kencang.
Saya memandang sahabat saya, Nurul Iman yang duduk bersebelahan saya.
Dia sedang mendengar dengan tekun.
Benar-benar tekun.

Saya tidak sampai hati untuk mengganggu konsentrasinya.
Hati saya melarang saya untuk mengganggunya.
Tetapi, tubuh saya ingkar.
Perlahan-lahan, tangan saya menyentuh bahunya.

"Iman...." saya berbisik perlahan.
"Wani....kenapa?" dia memandang saya, ada riak sedikit cemas pada air wajahnya.

Saya menarik nafas dalam-dalam.
Saya memandang redup wajah sahabat baik saya ini dalam-dalam.
Seolah-olah meraih simpati.
Seolah-olah memohon agar ada insan memahami.
Apa yang sedang saya rasai.

.................................................................................................................................

Saya sudah nekad.
Saya mahu pulang!


Saya tak kira, saya tak tahan.
Saya mahu pulang!

Kesejukan camp site di celahan hutan ini benar-benar meragut kesabaran saya.
Jujurnya, saya tidak menyangka langsung Spring Camp ini akan bertukar menjadi "Winter Camp".
Mana tidaknya, seawal 4.30 pagi, ketika saya membuka pintu kabin tempat kami menginap untuk pergi ke bilik air, salji turun dengan lebat sekali.

Bumi ALLAH ini sekali lagi diliputi keputihan salji.
Disebabkan bilik air terletak di luar, saya dan peserta yang lain berjalan terbongkok-bongkok menahan kesejukan pagi ditambah kehadiran salji dan angin dingin yang sungguh angkuh bertiup.

Angkuhnya angin bertiup tanpa menghiraukan kesejukan kami, getus hati saya yang semakin membengkak. Ketika ini si syaitan dan iblis mula berbisik jahat. ASTANGHFIRULLAH AZIM..

Kali ini, saya sudah membulatkan niat.
Saya mahu pulang awal.
Kak Han, satu-satunya senior Sheffield saya yang mengikuti SPRING CAMP ini akan pulang sehari awal iaitu pada hari Ahad, berikutan terdapat sedikit hal yang perlu dibereskannya.

Saya masih ingat ketika itu.
Seusai sahaja pengisian pertama tamat, saya mendapatkan Kak Han.

"Kak Han, kita nak ikut akak balik awal. Kita tak tahan lagi, " saya mengadu pada Kak Han.

Ya, benar.
Fizikal saya sudah lemah.
Minda saya sudah tidak gagah sepertimana ketika saya membuat keputusan untuk menyertai Spring Camp ini.
Sepatutnya, saya harus berada di situ sehingga hari Isnin.
Saya seolah-olah sudah tawar hati untuk menyempurnakan kembara ilmu saya ini.
Saya seolah-olah mahu melangkau hari Sabtu dan terus berada pada hari Ahad
Hari Ahad yang membolehkan saya pulang.
Hari yang membolehkan saya bebas daripada cengkaman kesejukan dan kesakitan.

Tetapi sebenarnya, saya tidak sedar.
Ketika saya hati saya meronta-ronta ingin pulang.......

Di dunia sebelah sana....
Bergegar dengan gegak gempita sambutan pesta kemenangan..
Kemenangan atas kegagalan seorang lagi anak Adam...

Saya tidak sedar....
Ketika saat sifat kesabaran yang cuba saya pertahankan selama ini mulai retak..
SYAITAN dan IBLIS melonjak-lonjak kegembiraan.
Makhluk durjana ini bertepuk tangan keriangan..

Astaghfirullahal azim..

Saya benar-benar tidak sedar..
Benar-benar lalai..

Sehinggalah pada keesokan hari....

.......................................................................

Sabtu, 22 Mac 2008
Pengisian kedua.


"Ana nak tanya antum semua, macam mana sahabat-sahabat, ulama-ulama dahulu menuntut ilmu?" suara Ustaz Mazrul memecah keheningan pagi di dalam dewan kecil itu.

Senyap seketika.

"Cuba antum bayangkan, macam mana rasullulah belajar Al Quran daripada Jibril?" soalan demi soalan diajukan kepada kami.

Ustaz Mazrul menyambung...

" Setiap kali Rasullulah pulang, baginda menggigil ketakutan. Keadaannya menakutkan. Baginda berada dalam keadaan yang sukar. Begitu juga sahabat-sahabat, ulama-ulama..mereka juga menuntut ilmu dalam keadaan yang amat getir dan sukar. Macam ulama-ulama dahulu, contohnya ketika menuntut ilmu Al Quran dengan guru mereka, setiap kali mereka membuat kesalahan, PAAPP!!, mereka dipukul oleh guru, salah, paap!! salah..paap!! " terang Ustaz Mazrul dengan bersungguh-sungguh, sambil menunjukkan gaya memukul anak murid di hadapan kami.

Terdengar gelak tawa kecil daripada sesetengah peserta. Termasuk saya.
Geli hati melihat telatah Ustaz Mazrul barangkali.

" Eh, kenapa ketawa?" sergah Ustaz Mazrul.

"Ana bagitahu antum semua supaya antum tahu dan hargai betapa susahnya sahabat-sahabat dan para ulama menuntut ilmu. Semangat mereka kuat. Tidak macam antum semua. Hari ini, semuanya senang. Dimanjakan. Ada orang sediakan makanan, belajar di dalam bangunan yang selesa, memang betul-betul dimanjakan, " sambung Ustaz yang sudah memiliki dua orang puteri ini.

PANGG!!!!!!!!!!

Ketika itu, saya terasa seperti ditampar.
Saya benar-benar terpukul dan tersindir dengan kata-katanya.
Seolah-olah sindiran itu ditujukan khas untuk saya.

Saya seperti baru terbangun daripada lena yang panjang.
Lena yang mengasyikkan dan melalaikan.

Ya! Benar kata-kata Ustaz.
Saya terlalu dimanjakan.
Hingga menjadi lemah.
Tidak mampu menahan ujian sekecil ini.

Kesejukan dan kesakitan....
Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan kemiskinan, kelaparan dan kesusahan yang dialami para sahabat dan ulama yang gigih menuntut ilmu dan berjihad.
Mereka bergelumang dengan tohmahan dan seksaan.

Abu Hanifah mati dipenjara kerana ilmunya..
Ibnu Mukhtar direnggut nyawanya oleh sang algojo penjajah demi maruah ummah dan WATAN
Al Banna dibunuh kerana menunjukkan jalan kepada anak WATANnya jalan untuk kembali..
Ibnu Qutb mati di tali gantung kerana kasihnya kepada agama, WATAN dan negaranya..
Di situlah lahirnya "DI BAWAH LEMBAYUNG AL QURAN" ..
Daripada jari jemarinya yang menggerakkan qalam..

Saya semakin sebak.

Nabi Muhammad SAW...
Jika dijadikan perbandingan..
Bagindalah raja segala raja...
Yang paling banyak menerima seksaan kaumnya...
Yang paling banyak menerima ujian Tuhannya...
Yang paling tulus dan ikhlas terhadap ummatnya...
Bagindalah penghulu di syurga


Saya termenung lagi...

Saya tanya iman saya...
Siapalah saya..
Siapalah juga saya di sisi mereka ini..
Saya terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan manusia agung lampau ini..

SUBHANALLAH..
ASTAGHFIRULLAH...

Perlukah saya melayani segala kerenah dan bisikan nafsu yang tidak pernah puas?
Sedangkan jiwa saya kosong dengan ilmu...
kontang dengan pengalaman...
Sedangkan masa semakin suntuk..
Dengan pelbagai tanggungjawab sebagai hamba Rabbul Jalil, anak, pelajar...
Dan kini saya bercita-cita mahu menjadi seorang daie..
Dan beberapa bulan lagi, saya bakal menerima adik-adik di Sheffield ini..

Masa semakin suntuk..
Sedangkan tanggugjawab semakin bertambah..
Memang benar kata-kata Al Banna..

"Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada"

Dengan tanggungjawab yang tidak pernah habis..
Bisakah saya bersenang-lenang di rumah?
Bisakah saya menggoyangkan kaki tanpa berbuat apa-apa?
Bisakah saya bermanja-manja dengan segala keselesaan yang ada?
Bisakah saya mengeluh dengan sedikit ujian kesejukan dan secebis kesakitan?

TEPUK DADA TANYA IMAN..

Hari itu, lama saya menghisab diri.
Bermuhasabah diri.
Kali ini, saya perlu bangkit.
Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Saya perlu cekal.
Ilmu perlu dituntut.
Pengalaman perlu ditimba.
Untuk menghadapi jalan dakwah yang bukannya mudah.
Jalan yang bukannya dihamparkan dengan karpet merah.
Saya perlu tabah.

Alhamdulillah.
ALLAH beri saya kekuatan untuk bertahan untuk mengutip permata berharga di majlis ilmu ini.
ALLAHUAKBAR!


KLIK SINI UNTUK MENONTON VIDEO ( BROTHERS) SPRING CAMP UK 2008



.................................................................................................................


"ANTARA MALAYSIA, NEGARA KAU DENGAN PELESTIN...MANA YANG LEBIH PENTING?"

Di hadapan lap top Nurul Iman
Yahoo Messenger.
14 Januari 2008

3 bulan yang lalu, ketika projek Amal Palestin baru dilancarkan, saya pernah ditanya satu soalan oleh salah seorang senior saya di Sheffield.

Dia salah seorang senior yang saya kagumi. Dan agak aktif dalam penyertaan berbentuk masyarakat termasuk kempen memperjuangkan keamanan Palestin.
Hujung minggu yang lalu ketika itu, dia telah menyertai satu aktiviti untuk Palestin.
Dan setelah itu, dia terfikir satu soalan.
Dan dia mengajukan persoalan yang bermain-main di benak fikirannya itu kepada saya.

senior: adakah aku dah lakukan yang cukup untuk negara sendiri?
senior:sebab kita sebagai muslim bertanggungjawab terhadap penjuru( negara) kita.
senior:dalam masa yang sama, kena tolong penjuru (negara)yang lain.
senior:macam mana tu cik iman muslihah?
iman_muslihah:soalan anda tu..maksudnya, anda rasa anda telah melakukan sesuatu untuk palestin, tetapi anda tertanya-tanya adakah anda telah melakukan sesuatu untuk negara sendiri?
senior: benar.


Ketika itu, secara jujurnya, saya tidak tahu apakah jawapan yang terbaik yang boleh saya berikan.
Idea untuk menjawab soalan itu seolah-olah terperangkap dan terapung-apung di dalam kotak fikiran saya tetapi sukar untuk saya luahkan dalam bentuk perkataan.
Dan secara ikhlas saya katakan padanya, saya belum ketemu jawapan terbaik yang boleh saya jawab.

Namun, ketika saat saya mula berkenal-kenalan dengan USUL 20 (USUL ISYRIN) di Spring Camp 2008, tulisan Assyahid Imam Al Banna, Al Mursyid Rahimahullah, tiba-tiba soalan yang pernah ditanya oleh teman saya itu datang menerjah ke dalam minda saya.

USUL PERTAMA:

Islam adalah menyeluruh. Mencakup dalam semua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan WATAN, atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.


Usul pertama ini benar-benar meninggalkan kesan terhadap hati saya.
Penerangan Ustaz Mazrul satu persatu mengikut setiap key word dalam usul ini sangat jelas dan mantap.

Namun, key word yang benar-benar mencengkam minda saya ialah WATAN atau sebutan dalam bahasa arabnya WATHON.

"Apakah dimaksudkan WATHON?" tanya Ustaz Mazrul.

Seingat saya, tiada sesiapa pun berjaya memberi jawapan yang paling tepat.

"WATHON juga dipanggil tanah air dalam bahasa melayu. Jadi, jika ana tanya, apakah WATHON antum, apakah yang akan antum jawab?" ujinya lagi

"Malaysia," jawab kami.

Ustaz terdiam sebentar. Kemudian menyambung.

"WATHON ialah negara Islam dan negara-negara yang pernah menjadi jajahan negara Islam," jelas Ustaz Mazrul.

"Jadi, sebenarnya WATHON meliputi banyak negara, Semenanjung Hijjaz, Palestin, Iraq, Iran, Afrika, Spain, Turki, Malaysia, Indonesia dan semua negara yang pernah dikuasai kerajaan ISLAM dahulu, " tegas Ustaz Mazrul.

"WATHON kita bukannya terhad kepada Malaysia sahaja, tetapi semua sekali negara ISLAM dan negara yang pernah dikuasai ISLAM adalah WATHON KITA, TANAH AIR KITA," bersemangat sekali hujah Ustaz Mazrul.

"Jadi atas dasar inilah, dasar WATHON inilah, kita perlu ambil berat terhadap saudara-saudara kita di tempat lain, contonhnya Palestin, Iraq , Afghanistan, Afrika dan lain-lain kerana mereka itu juga adalah WATHON kita, tanah air kita, saudara kita!," kata-kata Ustaz Mazrul kali ini benar-benar melekat di hati saya.

Ya! Mereka adalah WATHON kita.
Kita menganggap mereka tanah air kita bukan atas dasar mahu menjajah kerana tamakkan harta atau kuasa atau bahan-bahan galian berharga mereka seperti sang algojo penjajah barat.
Tetapi, atas dasar kasih sayang dan semangat persaudaraan yang diikat dengan akidah yang benar.

Inilah semangat yang ditiupkan oleh Hassan Al Banna dan Syed Qutb.

Dan ketika inilah, soalan yang ditujukan oleh senior saya ini datang menyapa.
Saya telah berjumpa jawapan yang terbaik yang mampu saya berikan.

WATHON atau Tanah Air kita bukanlah Malaysia semata-mata.
Tanah di mana Islam pernah bertapak dan bumi di mana saudara kita menetap adalah WATHON kita.
Tidak ada diskriminasi atau garis pemisahan antara Malaysia,Palestin, Afghanistan dan lain-lain.
Garis sempadan yang dilukis di atas peta bumi Allah ini hanyalah rekaan penjajah.
Dipisahkan dengan passport dan Visa.
Dengan harapan umat Islam berpecah belah.

Kerana itulah para pejuang Islam ini bangkit.
Menyatukan WATHON ISLAM.
Membuang sikap ke"aku" an dan menyemai bibit ke"kita"an.
Agar umat Islam saling membantu dan menyayangi.

Benar!
Mengapa perlu kita membantu saudara-saudara kita di Palestin, Afghanistan, Iraq, Indonesia, Malaysia dan kesemuanya ?

Kerana mereka juga WATHON kita.
Allahuakbar!!

...............................................................................................................



KITA TAK SENGAJA. MAAF!

Jumaat, 28 Mac 2008
Cardiff
Sekitar jam 1 petang

Beberapa jam lagi, saya akan kembali ke Sheffield.
Seminggu saya berkelana dari Spring Camp di Birmingham, kemudian saya ke Leicester melawat sahabat saya Wan Maisarah dan akhir sekali turun ke Cardiff menjenguk akhawat di sana.

Di sana, saya berpeluang bertemu sekali lagi dengan insan yang baru muncul dalam hidup saya.
Ukhti yang baru saya kenali di Spring Camp 2008.
Ukhti yang saya gelar dengan nama yang serupa dengan sahabat baik saya di Leicester, Mai.
Seperti Wan Maisarah, sahabat baru ex KYUEM yang menuntut jurusan Physics ini juga punya keistimewaan yang sukar untuk saya terjemahkan dalam bentuk kata-kata.

Sementara menunggu waktu bertolak pada jam 4.25 petang, saya menumpang di bilik Mai.
Setelah meminta izin untuk menggunakan lap topnya, saya pun leka melayani artikel "Detik-detik Hidupku..Hassan Al Banna.."

Tiba-tiba Mai bersuara..

" Ni, dah tercabut ke?"

Saya menoleh ke arahnya.
Mata saya menangkap sesuatu yang berada di tangannya.
Key chain hadiah pemberian Iman ketika di Spring Camp 2008.

Saya terkedu.

Sepantas kilat, saya bingkas bangun daripada kerusi dan mencapai key chain tersebut.

Key chain yang menyimpulkan dua utas rantaian.
Salah satunya menyimpulkan patung kecil arnab yang sangat comel dan satu rantaian lagi tergantung papan plastik kecil berwarna ungu.

Tetapi, sayangnya, rantai yang mengikat patung kecil arnab itu hilang dari pandangan.
Ketika itu, saya rasakan waktu seolah-olah terhenti.
Saya berdiri kaku.
Termangu-mangu.

Saya dapat rasakan..
Hati saya retak ..
Betul-betul hampa..
Satu demi satu bahagian hati saya retak..
Satu persatu..

Saya memandang wajah redup Mai yang juga terkedu melihat saya.

Dan tidak semena-mena..
Hati yang retak meniti belah tadi..
Pecah berkecai..
Sepertimana jatuh berderainya air mata saya yang sudah lama bertakung..
Puas saya tahan..akhirnya luruh juga

Entah mengapa..
Lagu yang sungguh syahdu bergema di ruang bilik mai..
Lagu yang datang daripada telefon bimbit Mai..

Lagu yang benar-benar merenggut ketenangan jiwa saya.
Saya tidak tahu sama ada lagu tersebut bersimpati terhadap saya..
Atau mengejek kelalaian saya menjaga hadiah pemberian seorang sahabat.

Mai bangun..lalu menyentuh bahu saya..seakan-akan memujuk..


"Tak apa, tak apa.., " saya menggelengkan kepala.
"Tak apa, patung tu hilang. Yang paling penting, papan plastik ni tak hilang," saya cuba memujuk diri sendiri.

Saya menarik nafas panjang-panjang.
Agar air mata tidak tumpah lagi.
Agar dada tidak sebak lagi.

Saya merenung kepingan plastik berwarna ungu itu.
Terukir perkataan..

" A SISTER IS A FRIEND FOREVER"

Di bahagian belakangnya, ada tertulis " IMAN ..WANI"
Memang sengaja saya menulisnya sendiri.
Setelah Iman menyerahkan hadiah itu ketika di SPRING CAMP 2008, saya menggantungkan key chain tersebut di beg saya.
Perlahan-lahan..saya seluk poket beg dan mencapai sebatang pen.
Lalu saya tulis perkataan nama kami berdua.

"IMAN WANI"

Saya kembali ke kerusi dan merenung lap top Mai.
Sambil menggenggam tulisan nama kami di atas kepingan plastik tersebut.

Saya teringat lagu yang sungguh menyentuh hati saya tadi.
Saya menoleh ke arah Mai.

"Mai, lagu tadi tu, lagu apa ya?"
" Oh, tajuk lagu tu "KAU PERGI JUA"," jawabnya.

Bergetar tubuh saya ketika itu.
Saya tidak pasti mengapa.

Saya kembali memandang artikel "Detik-detik Hidupku" di skrin lap top.
Fikiran saya menerawang jauh.
Tulisan yang terpampang di atas skrin seolah-olah larut dan hilang.

Saya cuba menghilangkan sisa-sisa air mata.
Namun, apabila wajah sahabat saya, Nurul Iman, datang singgah di benak fikiran, saya menjadi sebak semula.
Saya tidak tahu di mana hadiah itu tercicr, tetapi saya amat pasti, ia berada di bumi Cardiff.
Bumi Cardiff yang banyak meninggalkan seribu satu makna dalam hidup saya.
Entah mengapa hati saya mahu kembali ke Cardiff satu hari nanti.


Kini..
Saya redha. Saya pasrah.


Iman, kita minta maaf.
Kita tak sengaja rosakkan hadiah Iman.
Kita tahu, tu hadiah daripada Iman untuk hari jadi kita ke 21.
Hari ni genap seminggu key chain tu menemani beg kesayangan kita.
Tapi hari ni pula hadiah tu rosak dan hilang.
Kita betul-betul tak sengaja.
Kita minta maaf sangat.
Teruk betullah kita ni.
Maaf Iman.

..............................................................................................



HADIAH

AHAD, 30 MAC 2008
Di hadapan Laptop kesayangan..


Pada 19 Mac yang lalu, genaplah usia saya 21 tahun.
Alhamdulilah.
Terlalu banyak hadiah yang saya terima.
Terutama hadiah IMAN dan ISLAM serta denyutan nadi yang masih dimiliki oleh tubuh saya.

Juga..
Hadiah daripada sahabat-sahabat dan teman baik saya.
Ucapan dan doa yang amat saya hargai.

Saya punya ibu bapa dan keluarga yang penyayang.
Saya memiliki sahabat dan teman yang pengasih.
Saya dikurniakan biah yang baik.

ALHAMDULILLAH..

Sheffield,..
Walaupun jauh dari rumah dan keluarga tercinta di Malaysia,
Namun..
Saya berasa cukup bahagia.
Dengan ikhwan dan akhawat yang cukup baik.

Dan baru-baru ini,
Kembara cuti Spring saya dari Birmingham, Leicester dan Cardiff benar-benar menjadi permata hidup yang amat berharga.
Satu lagi hadiah hari jadi saya.

Angka 21 bukan sebarangan angka.

Bertambah angka bermakna bertambah tanggungjawab.
Bertambah angka bermakna berkurang tempoh hayat.

Terima kasih Tuhan atas Hadiah yang amat bermakna ini.

















19 comments:

rusnarusli said...

salam, wanie... da paham da wathon tu... menarik2... kte tengok video kat blog iman... subhanallah salji lebatnyeeee... mcm bukan spring... kuasa Allah... sama gak kat prague dulu waktu winter salji kejap ja tp last week cam slalu je wlaupun x lebat... eh, cite pasal salji lak... sis, take care ye... miss u :D

norshazwani othman said...

wslm...jazakillah rusna!! tapi apalah sangat sejuk tu kalau nak dibandingkan dengan kepanasan yg diterima oleh sahabat2 dulu yg berjuang demi islam. panas dibakarlah, dipanggang, dijemur..ya allah..peritnya..

Hafiz Ismail said...

huk!!huk!!batok lak..
ahaaa..spring camp tu mmg satu kenangan yg paling bagus.xpenah2 rase tsiksa camtu.bukan ko sorg je yg nk balik awal,aku pun ade rase gitu gak.tp nk bikin camne kan?just go on la dgn flow tu.tapi itu la,bila hati n pikiran xberada di sana,maka yg masuk pale otak,masuk dlm jiwa ni pun minimum sgt ah.
satu pengajaran yg best pd aku masa spring camp tu.kan ade video seorg buta yg membaca quran tu kan?bygkan kite jadi dia.xnmpk kan?so nk baca camne kan?makanye,inisiatifnye satu je,hapal.dan menghapal bukan sesuatu yg mudah (lagi2 jenis slow motion cam gua ni).dan sesuatu yg best nye,dia paham ape yg dia baca.meresap dlm ati.
cube bandingkan dgn kita..setakat mana penghayatan kite pd Al_Quran??adakah sehingga membuat kita benar2 beriman kepada Allah,fully?adakah benar2 kite mengambil apa yg dah perintahkan kpd kite,fully??
haha..betape kerdilnye insan bernama manusia ni.asal dari air yg hina tapi still bermegah2 kat atas muka bumi ni,bermegah2 di hadapan Allah.berani bikin ape je ikut ati n trend skrg.
alangkah bagusnya andai aku setegas dan sekuat Umar..

Hafiz Ismail said...

wani,aku sbnrnye xminat sgt org nangis sbb mende2 gitu.tapi time tu,idak le aku sangka2 ko nangis lak.
relax beb,satu 'objek' tu bukan simbolik segala2nye.yg penting ape yg terjalin tu okeh?be cool eh..kalo mende2 yg kecik ni xleh handle,ape lagi mende2 yg beso nanti.face reality.idop ni macam2 dtg nanti.ade time dia dtg cam angin bayu je.slow tapi melalaikan.ade time dtg cam tsunami,besar dan menggerunkan.

norshazwani othman said...

jazakillah mai..

terima kasih atas nasihat.
But setiap orang dilahirkan dengan sifat yang berbeza. stiap manusia unik dengan pelbagai sifat. kerana itu, allah mencipta manusia dengan pelbagai rupa, bangsa dan sifat..agar kesemua mereka melengkapi antara satu sama lain.

mungkin bagi mai,key chain itu hanyalah objek. ya, memang key chain itu adalah objek. tetapi disebabkan key chain itu dihadiahkan oleh sahabat yang amat disayangi, key chain itu bukan lagi objek. tetapi ia adalah hadiah.
rasanya, key chain iman beli di kedai hadiah atau greeting card shop yg boleh didapati di mana-mana. mungkin harganya tidaklah semahal atau bagi sesetengah org, "objek2" itu hanya dipandang sebelah mata, tetapi..nilainya bukanlah terletak pada itu semua. Nilainya terletak pada keihkhlasan hati org yg memberi dan kesannya melekat bersama-sama hadiah yg diberikan.
jangankan key chain, kalau iman hanya bagi sehelai tisu sebagai hadiah pun, kite akan menangis kalau tisu itu terkoyak atau hilang ditiup angin.
Menangis bukan kerana sedih tak tentu pasal, tetapi menangis kerana terlalu sayang.
Kadangkala, menangis bukan tanda kita lemah. Setiap org, ada pendapat tersendiri tentang keperluan utk menangis. Begitu juga kita.

Mungkin kita baru kenal dan belum tahu hati budi masing-masing. Masih banyak yg belum mai tahu tentang kita dan kita pun masih kabur tentang mai. sebab itu dalam entry kali ni, kita gambarkan mai sebagai seseorang yg sukar diterjemahkan kerana terdapat sesuatu yg istimewa tentang mai yg kita tak pasti apa dia. Tapi kita tahu, ada seseutau yg unik about u. sesungghnya, setiap perkataan yg ditulis dlm entry halawatul iman ini, walaupun nmpak berbunga dan berkias, tetapi ia ditulis dan disusun dengan makna yg mendalam. Bukanlah sekadar omongan kosong..insyaalah.

wallahualam..

norshazwani othman said...

sebenarnya mai, kita tahu awak menangis masa video org buta tu. kita, kak nida, iman, aminatul munirah, wan maisarah, azrin aqilah, farhana (semua dr leicester dan leeds)..tahu tentang itu. walaupun org2 leicester tak join spring camp, tapi mereka tahu tentang sajak mai, tentang mai. kami bercerita tentang mai. tentang mai yg istimewa. mai tahu tak, potensi yg ada pada mai sgt tinggi? jika digunakan utk dakwah, alangkah beruntungnya islam..subhanallah..

sebab itu, kadangkala menangis bukan tandanya kita lemah, bukan tandanya, kita tak mampu hadapi cabaran masa depan..bukannya tanda kita tak akan mampu handle benda2 besar..kadangkala menangis boleh buat kita tabah , faham dan cekal. tetapi bukan semua org sama. Mungkin lain org, lain ragam. Bagi hamba yg selalu menangis meratapi kelemahan diri di hdpn Rabbnya, dia akan sentiasa sedar dan berusaha memperbaiki diri. Fitrah mnusia memnag unik..allahuakbar..

Hafiz Ismail said...

adeh..segan lak aku.nk kena kak nieda ni.hesss...

eheh,aku dak le kata ko lemah pun.aku snri ade gak nangis.tapi dah begitu dlm ati aku,aku xminat sgt org nangis.idak aku perlekeh or pape.okeh??clear aaa..

tah..aku xnmpk ape istimewanye aku,aku xnmpk potensi aku.aku makluk bese je.yg tahu hanya Yang Maha Tahu..

norshazwani othman said...

jangan risau mai..kita tak pikir apa2 pun yg negatif ..jauh sekali rasa diperlekehkan..amalkan husnu zhon..barulah jiwa tenang, wajah ceria..insyaalah..

kita pun, tak minat juga menangis..tapi nak buat mcm mana, dah mmg sifat mcm ni, sgt mudah tersentuh..sebab tu agaknya, sejak di kmb, org selalu menangis apabila mendengar tazkirah n video2 usrah kita...sbb kita pun mudah menangis dan mudah juga membuat org menangis..hehe..tapi bukanlah menangis kerana perkara2 buruk..moga dijauhkan..

apa2 pun semoga coretan pengalaman n penulisan kali ini bermanfaat.

wallahualam.

Hafiz Ismail said...

idak le..pmpn ni kan mudah terguris..makanye takot2 gak ade yg mkn ati ulam jantong nanti..

norshazwani othman said...

ya allah..rajin betullah mai ni membalas komen org ya? hehe..

Hafiz Ismail said...

emm..agak rajin..rajin bual sbnrnye..hihi..

minal Qalb said...

Salam wani~

Jazakillah khairan kathira buat wani utk entry kali ini.
Wah~3 moga2 semakin berkat ilmu dan masa yang wani buat utk blog ni.
Salam perkenalan jugak utk mai yang unik,hehe...
Sebetulnya kita pun termasuk juga dalam manusia yang mudah alpa n merungut.
Pagi tadi baru dalam 10 darjah tapi macam dah jadi zikir pulak, sejuk...sejuk...sejuk....
Bila fikir2 balik, kalo sejuk tu ganti dengan solawat,insya Allah dapat balik utk kita.
Astaghfirullah.
Apa2 pun insya Allah kita bertemu dalam doa =)
Ma'at taufiq wannajah ya sohibah.
Kem salam teaks, iman n yang lelain eh...

norshazwani othman said...

salam..

ukhti ezzati..jazakillah..

enti..10 darjah??? panas tu... isk isk..kami ni menggelataq 1-2 darjah .huhu..takpe..nanti, teringin nak bawa enti pi UK..huhu..okies..terima kasih baca entry ni. moga bermanfaat..

wasalam..

Mysara said...

Wanie!! org2 yg name mai nie mmg unique sket =P hehe..
wanie,tq sbb kongsi mcm2 pengalaman yg awak dpt kat spring camp mase awak lepak2 kat bilik kite.sorilaa kalo x layan awak ngan baiknye. insyaAllah satu ari nnti kite smpi ke sheffield! rindu korg sumeee :)
eh..lenkali awak dtg,kena naik slide yg besar tue sbb ritu awak x dpt naik kan? hehe..be strong wanie..lawan athma awak.(its all in ur mind!!)
tata~~!

norshazwani othman said...

jazakillah wan mai =p

kita harap entry kali ni n apa yg duk membebel kat bilik awak tu mlm tu n juga waktu berkelah kat garden tu dpt diambil iktibar dan ibrah. walaupun kesejukan masa kat taman tu, tapi, dapat juga kita sampaikan apa yg dah lama bersarang kat kepala kita masa dlm tren nak gi leicester. hehe.

terima kasih atas layanan awak kat leicester. jemputlah ke sheffield juga ya?

Anonymous said...

salam'alykum wanie dearest~~
huhu.. wanie, nape wanie sedih pasal bende gantung2 tu? hehe. klaka la wanie ni. bende tu xde pape pon drp kite. kalu wanie nak kite beli lain nnt, ok? tp wanie pon thu, kalau kite x bg bende tu kat wanie pon kite sayang wanie jugak kan? becuz u are my sister, and we have the strongest thing to bond us, for the sake of Allah. isnt it? insyaAllah with that in our hearts, no matter what happens, "sisters are friends forever" ok wanie? (^^) muah2!! taking caring k! jgn sedih2. kuatkan hati. n about ut asthma, u must adapt urself to the style of breathing,and remember the do's and donts ok? jage kesihatan baik2. my prayers are always with u insyaAllah. salam sayang dr leeds!

norshazwani othman said...

eh iman.. tak payah lah beli baru..kita lagi suka yg lama tu, biarpun dah rosak..kita akan igt smpai bila2..

betullah kata mai ( cardiff) kat blog die.."aku layan metal, korg layan sentimental..tapi kdg2 aku kena juga layan korg punya sentimental" ( err ..camne ntah ayat die).

tapi apa2 pun, kite nak ckp, agaknya, kite ni sentimental sgt..haha..

Hafiz Ismail said...

pmpn ni fitrah,jiwanye lembut.so ko ni kire normal la..hehe..
lembut xsemestinye lemah,keras xsemestinya kuat.
kite sesama muslim,saling melengkapi antara satu sama lain..

p/s : still rase xbest dgn ayat 'unik' tu.kasi buang la wanie.bikin jiwa kaco je..

norshazwani othman said...

ala mai..janganlah berjiwa kacau..hehe..tapi betullah unik..nak cakap apa..hehe..