Saturday 12 April 2008

ADA APA DENGAN SYUKUR?



ADA APA DENGAN SYUKUR?


Selasa, 1 April 2008.
11 pagi.
Upperthorpe Sport Center.

"Thank you for teaching me," kanak-kanak Pakistan berusia 10 tahun itu menuturkan bicara, sambil tersenyum manis.

Entah mengapa, apabila mendengar kata-katanya, saya berasa terharu.

"Oh, dear. You are so sweet. It's fine. I do love teaching kids," saya merangkul erat bahunya. Saya benar-benar dapat merasakan keikhlasan kanak-kanak ini tatkala ucapan terima kasih meniti di bibirnya.

" So next time, bring along your goggle and we can go diving in the pool together ya?" saya mengikat janji dengannya.

"Alright," dia mengangguk setuju.

Habsah, seorang kanak-kanak cilik yang baru saya kenali di Upperthorpe Sport Center, Sheffield. Pada mulanya, dia kelihatan malu-malu juga berbanding adiknya untuk berbual-bual dengan saya. Tetapi, setelah lama saya cuba memesrakan diri, dia bertukar menjadi peramah.

Namun, entah mengapa ucapan terima kasih yang diluahkan sebentar tadi begitu berbekas di hati saya.
Saya berasa begitu dihargai oleh seorang kanak-kanak yang belum begitu arif untuk membincangkan tentang erti kasih sayang dan berbudi bahasa.

Mungkin bagi sesetengah kanak-kanak, terutamanya di Malaysia, mereka hanya akan mengucapkan terima kasih apabila disuruh oleh ibu dan ayah mereka. Saya masih ingat lagi, ketika masih bergelar kanak-kanak, apabila saya mendapat sesuatu pemberian daripada orang lain, ibu saya pasti akan berkata..

" Mak cik Rahimah bagi hadiah tu, Wani kena cakap apa?"

Ketika itu, sambil terkebil-kebil , barulah saya akan mengucapkan " terima kasih mak cik".

Mengucap terima kasih hanya apabila disuruh.

Secara jujurnya, bukan saya seorang sahaja mengalami situasi ini. Perkara yang sama juga berlaku kepada teman sepermainan saya. Dan tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa perkara tersebut masih berlaku bukan sahaja di kalangan kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa pada hari ini.

Berada di rantau orang, saya dapati walaupun negara barat sering dikaitkan dengan keruntuhan akhlak, namun banyak perkara yang saya pelajari daripada mereka, iaitu MORAL.

Mereka amat terkenal dengan amalan bersopan santun, peramah, bermanis muka dan bertolak ansur. Secara peribadi, saya amat kagum dengan tutur bicara mereka yang sungguh sopan dan manis. Tidak kira di kedai, stesen bas, pasar hatta di tepi jalan sekali pun, mereka suka tersenyum dan berkata sopan. Mungkin tidak semua begitu, tetapi percayalah kebanyakan mereka yang saya temui membuat saya berasa senang bersama mereka.

Contohnya, di kaunter kedai, setelah selesai urus niaga, mereka selalunya akan berkata sambil menghadiahkan senyuman,

" Thank you LOVE, please come again,"

Saya masih ingat lagi, ketika saya berada di Nothern General Hospital, staff dan pesakit di situ tidak keberatan melayan saya seperti sebahagian daripada mereka. Saya masih ingat lagi, seorang pesakit jantung melayan saya dengan baik dan menggelar saya,

"MY DEAR FLOWER"

Beginilah masyarakat barat. Sebahagian besar daripada mereka memang tertib dalam berMORAL. Tetapi, bagi kita umat ISLAM, kita sebenarnya jauh lebih istimewa lagi. Kita diajar oleh AL QURAN dan SUNNAH nabi untuk berAKHLAK.

MORAL dan AKHLAK adalah dua perkara yang berbeza.

MORAL berkait rapat dengan mematuhi tatatertib yang telah digariskan untuk memenuhi kehendak dan hak masyarakat.

MORAL dilakukan kerana ia adalah "perkara yang patut dilakukan mengikut tafsiran akal".

AKHLAK pula jauh lebih indah.

AKHLAK menjadi indah kerana ia dilakukan atas dasar mangharap keredhaan Allah.

Saya masih ingat ketika mendengar pengisian PUISI 2007 di IRELAND pada Disember yang lepas, Ustaz favourite saya, Ustaz Hasrizal memperincikan perihal akhlak dalam konteks " Saya Mestilah Muslim dari Segi Akhlak", karya Al Fadhil Fathi Yakan.

Ketika itu, saya duduk tekun mendengar kata-kata berhikmah daripada Ustaz Hasrizal.

"Apa itu akhlak?" ustaz bertanya sambil matanya melilau memerhatikan para peserta PUISI 2008.
"Dengar makna AKHLAK ni betul-betul. Mengikut Imam Ghazali, AKHLAK adalah sesuatu yang dilakukan TANPA PERLU JUSTIFIKASI AKAL, ia bersifat autopilot,".

Berkerut dahi saya mendengar tafsiran AKHLAK.

"Apa benda itu?" saya bertanya sendirian.

Ustaz seolah-olah tahu ada peserta yang kurang jelas dengan penjelasannya, lantas menyambung perbincangannya.

" Baiklah saya bagi contoh. Katakan Ahmad, sedang berjalan-jalan. Tiba-tiba dia nampak sampah. Dia pun berfikir, "nak kutip ke, tak nak. Kalau aku kutip, dapatlah aku jaga kebersihan, bagus tu. Tapi, kalau aku tak kutip pun, mungkin ada orang lain akan kutip. Hmm..tapi, kalau aku kutip pun, apa salahnya,". Lalu, dia pun mengutip sampah itu dan membuangnya ke dalam tong sampah. Jika kita lihat, perbuatan Ahmad ini sebenarnya bukanlah sebuah AKHLAK walaupun dia telah bertindak membuang sampah tersebut,".

Sambung Ustaz lagi,

"Sekarang katakan Ali pula sedang berjalan-jalan. Dia ternampak sampah, dengan pantas, tanpa berfikir panjang, dia terus mengutip sampah tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah. Haaa..yang ini barulah dikatakan AKHLAK,".

Subhanallah..saya sudah nampak perbezaan antara MORAL dan AKHLAK. Sejak dahulu lagi, saya memang mengagumi cara Ustaz ini memberi analogi dalam pengisiannya. Analogi yang sungguh pintar.

Jika dilihat, AKHLAK tidak memerlukan justifikasi akal untuk dilakukan.
Ia dilakukan kerana dipandu oleh hati yang disuntik keimanan.
Ia dilakukan tanpa perlu kita berfikir siapa yang akan memperoleh faedah daripada perbuatan itu.
Ia dilakukan tanpa perlu kita berfikir apa pandangan orang terhadap perbuatan kita itu.

AKHLAK merupakan tindakan refleks yang tercetus daripada kesuburan hati yang dibajai dengan iman dan mahabbah.


Begitu juga perbuatan bersyukur dan berterima kasih.
Bersyukur dan berterima kasih adalah sebahagian daripada akhlak Islamiyah.



...............................................................................


BERSYUKURKAH KITA?


Jumaat, 4 APRIL 2008
5.30 pm
5 Filey Street


Pada hari ini, Allah telah memberi kesempatan yang amat berharga kepada saya. Allah telah memberi peluang kepada saya dan ahkawat seusrah saya untuk menganjurkan majlis tahlil arwah dan khatam Al Quran.
Setibanya saya daripada pulang mengembara dari Birmingham hinggalah ke Cardiff, kami warga Sheffield dikejutkan dengan kepulangan ayahanda sahabat kami, Aisyah Salim ke rahmatullah.
Mendapat berita yang mengejutkan ini, dia segera pulang ke pangkuan keluarganya di Malaysia.

Innalillahiwainna ilaihi rajiuun.
Seorang lagi anak Adam dipanggil pulang menghadap Ilahi.

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya hati seorang anak kehilangan ayah.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa laranya hati seorang isteri kehilangan suami.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa dukanya hati sebuah keluarga kehilangan imamnya.

Namun, kuasa Allah itu mengatasi segala-galanya.
Allah satu, Dialah yang terbaik untuk kita.

Dan, pada hari ini, melihatkan akhawat yang berpusu-pusu datang menghadiri majlis tahlil ini membuatkan hati saya amat tersentuh.
Sudah lama rasanya kami, terutama pelajar undergraduate tidak berkumpul bersama-sama.
Namun, hati bertasbih melihat keprihatinan para akhawat yang datang semata-mata untuk berkongsi kesedihan dan menyedekahkan bacaan yasin dan tahlil untuk ayahanda sahabat tercinta.

Buat pertama kalinya saya mengepalai pengurusan majlis yang melibatkan ramai akhawat yang majoritinya merupakan ahli SHEFFIELD MALAYSIAN STUDENTS ASSOCIATION (SMSA).
Walaupun ketiadaan Aisyah, kami tetap meneruskan majlis dengan harapan agar keberkatan majlis ini mendapat keredhaan Allah.

Kami menghadiahkan bacaan yasin dan tahlil.
Kami juga mendirikan solat jenazah ghaib secara berjemaah. Terima kasih kepada teman yang mencadangkan idea bernas ini kerana betapa saya sedar ramai antara umat Islam pada hari ini kurang pendedahan terhadap ibadah fardhu kifayah seperti ini.

Dan yang paling membuatkan saya tersenyum lebar ialah hajat saya untuk mengadakan makan talam di kalangan akhawat Sheffield tertunai juga.
Sudah lama saya menyimpan hasrat ini.
Pertama kali, saya melihat amalan makan talam di rantau orang ini ialah ketika saya menghadiri Program Puisi 2007 kemudian diikuti di rumah akhawat di Dublin (Rumah Kahfi) dan program-program yang saya sertai di United Kingdom sendiri.
Betapa eratnya ukhuwwah terjalin hanya dengan berkongsi makanan sedulang.

Dan yang paling membuatkan hati saya sayu ialah ketika penyampaian tazkirah.
Sudah lama rasanya saya tidak memberi tazkirah khas untuk akhawat dalam kuantiti yang ramai.
Seperti di Kolej MARA Banting yang amat saya cintai.
Sudah lama rasanya saya tidak mengeluarkan kata-kata yang membuatkan diri saya sendiri bertafakur dan menginsafi diri.

Tentang erti sebuah kesyukuran.
Kesyukuran kerana masih mempunyai nyawa, helaan nafas dan denyutan nadi.
Kesyukuran kerana masih punya seribu satu nikmat yang seringkali kita terleka akan kewujudannya.
Antaranya ialah nikmat kerana punyai ibu dan ayah yang masih bernafas.
Punyai ibu dan ayah yang masih boleh kita tatap wajah mereka.
Yang masih boleh kita kucup pipi mereka.
Yang masih boleh kita peluk erat tubuh mereka.

Namun, belum pun selesai saya menghabiskan tazkirah, kedengaran sedu sedan tangisan salah seorang akhawat berhampiran tempat duduk saya.

Tiba-tiba saya tersentak.
Mungkin isi butir percakapan saya telah mengguris perasaan mana-mana akhawat.
Astaghfirullahal azim.
Mungkin saya telah membangkitkan nostalgia lama akhawat saya itu.

Seribu kemaafan saya pohon.
Tiada niat langsung untuk membuat luka lama berdarah kembali.
Malah tiada langsung terlintas di benak fikiran untuk menyinggung mana-mana pihak.

Cumanya, ada banyak perkara perlu kita renungkan bersama.

Kadangkala, dalam kehidupan ini, kita selalu terlepas pandang.
Banyak budi dan jasa orang lain yang kita tidak perasan.
Kita terlupa untuk mengucapkan terima kasih.
Terutamanya, kepada orang yang tersayang.
Ibu dan ayah.

Jika difikir-fikirkan, entah berapa kali kita mengucapkan "terima kasih mak" setiap kali selesai makan malam hasil daripada air tangan ibu.
Jika direnung-renungkan, entah berapa kali kita mengucapkan "terima kasih ayah" setiap kali ayah menghantar kita ke sekolah.

Mungkin kita boleh menganggap perbuatan memasak untuk anak-anak dan menghantar anak ke sekolah adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh setiap ibu bapa.
Dan sesungguhnya tiada ucapan terima kasih yang perlu diucapkan untuk sesuatu yang wajib sepertimana dalam perbualan harian bahasa arab,

" La syukran a'lal wajib"

Tetapi, apalah kiranya jika kita berusaha untuk menjadi anak yang terbaik untuk ibu bapa masing-masing.
Tiada salahnya jika kita berlumba-lumba untuk menjadi anak yang tahu bersyukur dan menyenangkan hati ibu bapa.
Tiada celanya untuk kita menjadi anak yang BERAKHLAK dalam erti kata sebenar.

Secara jujurnya, saya yakin, walaupun dengan mengucapkan "terima kasih" atau "saya sayang mak dan ayah", hati mereka pasti akan mekar dengan bunga-bunga keceriaan.



APAKAH YANG LEBIH MAHAL DARIPADA SEKUNTUM SENYUMAN KEGEMBIRAAN IBU DAN AYAH?



7 comments:

minal Qalb said...

Assalamulaikum ya sohibah~

Sememangnya ana juga seringkali leka untuk mengucap syukur.
Jazakillah atas peringatan enti melalui kata-kata hikmah yang ana rasai keikhlasannya, insya Allah.

Teruskan perjuangan enti.
Sungguh, masih ramai yang memerlukan peringatan seperti ini, walaupun secara maya.
Tahniah ya sohibah atas setiap peningkatan enti.
Ana kagum dan doakan yang terbaik untuk enti, ana dan hamba Allah yang lain.
Ma'at taufiq wannajah ;)

norshazwani othman said...

wasalam..


jazakillah..ana blaja drpd enti la ya sohibati..

u were my role model since kat kmb dulu..huhu..till now actually..realy2 admire u..masyaalah sister..

okies..doakan nak exam hujung may..amin

rusnarusli said...

la syukran ala wajib... hehe... tringat ezzathy... ucap tima kasih kat manusia salah satu tanda kta bersyukur kepada Allah, ukhuwah akan bertambah erat dgn berterima kasih sbb rasa lebih dihargai..kan kan hehe...:)

norshazwani othman said...

ye rusna ku....huhu...tak sabar nak jumpa rusna..pastu buli rusna..huuhuh

As said...

thank yOu :)

Anonymous said...

salam..
terima kasih untuk post kali ini..terutamanya beza antara moral dan akhlak tu..tak pernah tau pun sebelum ini..=]

ya,tanpa ayah dan ibu siapalah kita ini..semoga kita bersama-sama dapat menyenangkan hati mereka selagi kita mampu berbuat sedemikian..huhu..tiba2 kamil jadi homesick ni..sabar2..2 bulan lg balik malaysia..=]

jazakillah..=]

norshazwani othman said...

jazakallah kamil..

selamat datang ke blog ini..huhu..