Saturday 29 December 2007

........tiada tajuk.....................



HAH? LEEDS?!


Jumaat, 15 Disember 2007, 9.30 pm
56 Brunswick Street

"Ya Rab...Ya Rab.."
1 Unread message

Nokia 5310 saya menjerit lagi.
Terganggu sedikit konsentrasi saya terhadap kata-kata akhawat yang sedang menyampaikan pengisian usrah malam itu.Sebentar lagi saya akan menyampaikan sedikit presentation.
Saya tidak pasti sama ada ianya pengisian berbentuk ilmiah atau sekadar tazkirah.

Yang saya tahu, ia adalah berbentuk sharing moment.
"Saat perkongsian".
Perkongsian perasaan.

'Nantilah baca message', saya mendesis.

.....................................................................

"OK, jalan baik-baik tau. Kalau jatuh, bangun sendiri..hehe..," sengaja saya berlawak.
Lawak tipikal.
Saya menghantar akhawat seusrah yang bertandang hingga ke pintu rumah.

Setelah itu, saya mencapai Nokia 5310 Xpress music saya.

1 unread message.
From: Kak Nikmun

"Salam. Wani, Tikah. Esok akak cuti, jom pergi Leeds. Ada kawan kat sana kan? Nak melawat diorang tak?"'

HAH?..LEEDS?

Saya menelan air liur. Terpana seketika.



PAGI YANG LUAR BIASA.


Sabtu,22 Disember 2007, 2.30 pm
Somewhere between United Kingdom and Ireland
Ryanair Plane.

Petang itu, dalam perjalanan ke Ireland untuk PUISI 2007,fikiran saya melayang lagi. Memang menjadi kegemaran saya mengelamun ketika dalam perjalanan ke sesuatu tempat.
Tidak kiralah saya sedang menaiki kereta, bas , atau kapal terbang.
Saya lebih suka mengelamun daripada berbual panjang.
Bukan sebarangan mengelamun.
Tapi yang pasti fikiran saya jauh melayang meninggalkan jasad.
Melayang kepada peristiwa pagi itu.

.................................................

Pagi itu, seperti biasa, saya bangun awal. Selepas memberikan "sentuhan terakhir" terhadap luggage yang akan saya bawa ke PUISI 2007, saya ke dapur. Berkira-kira apa agaknya sarapan yang akan menjadi habuan perut-perut yang akan bergerak jauh hari ini.

saya: PUISI 2007,IRELAND (Tengah hari)
atikah: PMS, FRANCE (Pagi)
arome: UK TOUR (Malam)

Kebetulan, saya punya tetamu yang bermalam di rumah malam tadi, Kak Ida dan Kak Nik Aida. Sengaja saya mengajak mereka tidur di rumah saya selepas mendengar pengisian dan tazkirah daripada Ustazah Marhamah yang datang jauh dari Malaysia.

Pagi itu, semuanya seperti biasa. Tiada apa yang istimewa. SANGAT BIASA.
Hinggalah tiba satu ketika......


"Teaks, jaga diri baik-baik,"
Seingat saya, empat perkataan ini sahajalah yang saya katakan pada sahabat baik saya ini semasa menghantarnya ke muka pintu rumah.
Tetapi, lama saya mendakap tubuh sahabat saya ini.
Erat.
Sunyi sepi. Dua-dua membisu seribu bahasa.
Tidak semena-mena pipi terasa hangat.
Mata terasa berair.
Pelukan bertambah erat.

Tiba-tiba pagi itu, bukan lagi PAGI YANG BIASA.
Kerana untuk pertama kalinya saya terlihat manik-manik jernih yang gugur daripada mata seorang sahabat.
Sahabat yang sukar menelah perasaannya.

Tiada kata-kata puitis.
Tiada ucapan selamat tinggal yang mendayu-dayu.

Yang ada hanyalah dua jasad yang berdiri kaku.
Dengan bertemankan hati yang sayu.



MAHAL LAH.....

Ahad, 23 Disember 2007 , 12.30 pm
Dalam perjalanan ke Mount Malleray,Waterford , Ireland.

Kali ini, saya berada di dalam bas pula. Beberapa jam lagi, insyaalah sampailah kami ke destinasi Kem PUISI 2007. Hati dan minda saya memang sudah tidak sabar-sabar lagi hendak ditarbiyah secara intensif selama 4 hari 3 malam.

Saya mengerling ke kiri saya. Nyenyak nampaknya Nazirah tidur dengan kepalanya bersandar pada bahu saya. Mana tidaknya, puas kami berbual sambil bertukar cerita. Apabila kepenatan, masing-masing terlena.

Saya melemparkan pandangan jauh-jauh ke luar tingkap.
Hijau. Bukit. Pokok.
Biru.Langit.Awan.

Sekali lagi, saya membiarkan fikiran melayang...
Kali ini ia melayang ke Leeds...
............................................

Sabtu, 16 Disember 2007,
13 Lyddon Terrace, LS2 9LA, LEEDS.

"Tak sangka, Wani datang Leeds hari ni!" ungkap Iman, ceria.
"Kita pun tak sangka, Iman. Kak Nik Mun buat surprise semalam. Tiba-tiba nak datang Leeds. Terkejut betul," saya membalas sambil merenung raut wajah gadis manis ini.

Saya memang tidak menyangka saya akan dapat bertemu Iman pada waktu ini. Pernah saya memujuk hati untuk menyimpan sahaja hasrat bertemu sahabat-sahabat di Leeds pada cuti Esther sahaja lantaran kesibukan mereka.
Tetapi Allah ada rencana-Nya yang tersendiri.
Rencana-Nya yang agung.

2 hari satu malam di Leeds memberikan saya satu pengajaran yang tersendiri.
Pengajaran yang sangat unik.

Rata-rata sahabat-sahabat di Leeds tinggal di hall yang sangat mahal. Bukan permintaan mereka, tetapi sudah terpaksa. Akibatnya mereka terpaksa berjimat cermat dalam berbelanja.

Saya masih ingat lagi beberapa potong dialog yang menjentik hati saya...

Ketika itu, kami sudah bersiap-siap hendak keluar ke city. Jari jemari saya pantas membutangkan jaket satu demi satu. Begitu juga sahabat yang lain. Kedengaran suara seorang sahabat saya, Nurul Dina Alia memecah suasana.

"Inilah satu-satunya baju yang kita beli kat UK ni. Murah sikit kat Primark tu. Duduk sini, kena jimat cermat, tak berani nak beli macam-macam. Takut tak cukup duit," tuturnya perlahan.

Jari jemari saya terhenti daripada membutangkan jaket. Saya memandang wajah Dina. Tiada sedikit pun riak mengeluh.
Saya terdiam.

....................................................

Kami mengambil bas untuk ke city. Bas percuma kata mereka. Memang disediakan percuma untuk ke city. Alhamdulillah ini menjadi satu kelegaan yang besar kepada students di sana.
Dalam perjalanan, saya terdengar Dina dan Aminatul Munirah bercerita tentang lawatannya ke satu tempat bersejarah di Leeds. Rancak betul mereka berceloteh.

Saya menjeling ke arah Iman. Senyap sahaja.

"Eh Iman, senyap je. Tak ada nak cerita apa-apa ke?" saya bertanya.

"Oh, kita tak pergi Wani," jawabnya.

"Eh, kenapa pula?" laju saya bertanya. Hairan.

"Mahallah tambang bas wani. Kalau ada bas yang free, kita memang nak pergi," .

"Berapa tambang bas tu, Iman?", saya bertanya lagi, tanpa henti.

"GBP 2.50,",jawabnya ringkas.


GBP 2.50? Mahal?
Kali ini, hati saya pula yang bertanya, mulut hanya terkunci.

Saya tidak bertanya lagi.
Sekali lagi, saya terdiam.

..........................................

Hidangan makan malam sudah disediakan. Hidangan yang agak sederhana. Tetapi saya tahu ia mengandungi makna.

Saya mengeluarkan cheese cake yang sempat saya beli di Morrisons semasa berjalan-jalan di city tadi. Memang sengaja dibeli untuk dimakan bersama-sama. Mungkin secara logik, tidak cukup untuk santapan lebih 10 orang ketika itu, tapi saya percaya pada keberkatan makanan yang dikongsi. Kadangkala, bukan kuantiti atau kualiti makanan yang menjamin kekenyangan, tetapi keberkatan yang terselindung di sebalik benda yang dikongsi itulah yang membawa seribu makna.

Ketika saya mengeluarkan makanan yang saya beli itu, saya diserang pertanyaan-pertanyaan yang membuatkan saya bingung sebentar.

"Eh, siapa pula yang beli ni..mahallah..,"

"Eh, wani teringin nak makan cheesecake ke? Kenapa tak cakap? Kita boleh buatkan. kalau beli macam ni, mahallah.."

"Eh, banyaknya duit..beli benda macam ni,"

Seingat saya, makanan itu hanyalah berharga 79 pence, produk Morriosons yang standardnya sama sahaja seperti Tesco, Asda.
Saya bingung sebentar.

Tetapi, menariknya...tidak sampai beberapa minit, habis licin "makanan kontroversi" itu.
Kami berkongsi. Hanya menggunakan sudu, sesekali menyuapkan cheesecake itu antara satu sama lain. Sesekali, saya mencuri pandang ke arah Kak Aiza, naqibah mereka yang datang melawat mereka. Walaupun sibuk dengan course Medic tahun keempat, tidak sedikitpun menjadi alasan untuk katakan, "Sorrylah adik-adik..akak busy,"
Disuapkan dahulu adik-adiknya sebelum menjamah potongan cheesecake yang sedikit itu.

Hati saya sayu. Sudah lama saya tidak merasa suapan seorang kakak.

Memang saya anak sulung. Sayalah kakak, sayalah abang.
Tetapi memori berada di Kolej Mara Banting membawa saya kepada satu raut wajah yang tenang.
Kak Alia Rasyid.
Seringkali pangkuannya menjadi sasaran saya meletakkan kepala apabila saya teringin berbual-bual dengannya.
Saya rindu.

...............................................................

IMAN, KITA LEGA SANGAT...

Ahad, 18 Disember 2007,
Leeds.

Keesokan harinya. Seperti biasa, saya bangun awal. Sunyi sedikit rumah ini. Mungkin terlalu awal.
Setelah bersiap, saya ke dapur.
Saya ternampak kelibat Iman.

"Iman tengah buat apa?"tanya saya.
"Buat scramble egg je wani," tuturnya, sambil tangannya sibuk menghancurkan telur.
"Biar kita buat air, buat air teh boleh?," saya bertanya sambil mata melilau mencari bekas teh.
"Suka hati Wani lah. Apa-apa pun boleh," .

Hanya kami berdua di dalam dapur.
Tiba-tiba kedua-duanya terdiam.
Tiada komunikasi.
Yang ada, hanyalah bunyi percikan telur di dalam kuali.
Yang ada hanyalah bunyi lagaan sudu dan teko ketika saya mengacau teh.
Sepi sahaja.

"Iman...."saya bersuara. Sedikit bergetar.
"Ya..Wani.." kali ini, kedengaran pula getaran suara Iman.
"Kita sebenarnya lega. Lega tengok Iman sekarang,"saya berhenti mengacau teh. Saya memusingkan badan, memandang Iman.
"Kenapa Wani?"sahabat saya ini menyambung pertanyaannya.
"Sebelum ni, kita tertanya-tanya, macam mana Iman kat Leeds, macam mana kawan-kawan kat Leeds..susah ke, senang ke...Kita dah banyak kali jumpa Mai, kita lega tengok dia happy. Tapi kita belum pernah jumpa Iman sejak datang UK. Tapi hari ini, kita sangat lega, Iman," saya berhenti sebentar, menghela nafas.
"Terima kasih, Wani,"redup matanya merenung saya.
"Kita lega tengok Iman gembira duduk serumah dengan kawan-kawan yang mengambil berat. Kita lega tengok Iman dapat kawan macam Koca, tempat Iman luahkan perasaan.
Kita lega tengok Iman dapat kakak-kakak macam Kak Aiza, Kak Hajar.
Kita betul-betul lega, Iman," luah saya.

Ketika itu, mata sahabat saya sudah mula berkaca.
Saya menahan rasa.

Inilah harga sebuah kasih sayang, Iman. Memang Iman dan kawan-kawan lain terpaksa berjimat sebab harga flat yang mahal.
Memang Iman dan kawan-kawan lain terpaksa bersabar kerana menanggung assignment yang banyak.
Memang kadang kala Iman terpaksa menangis sebab terlalu banyak perkara yang hendak difikirkan...exam, SSC, duit.
Tetapi pulangannya, amat lumayan.
Harga sebuah flat tidak dapat menandingi harga sebuah mahabbah.
Harga sebuah kesibukan tidak dapat menandingi harga sebuah ukhhuwah.
Memang jerih, memang perit.
Tapi inilah harga yang perlu Iman bayar untuk mendapatkan secebis kasih sayang.
Kerana kasih sayang bukannya murah.

Saya tidak pasti sama ada saya menuturkan kata-kata ini kepada Iman atau hati saya sahaja yang bermonolog.
Tapi yang pasti, mata saya mula kabur. Air sudah mula menakung di tepian kelopak mata.
Cepat-cepat saya memusingkan kembali badan, menghadap dinding, berpura-pura mengacau teh yang sebenarnya sudah mula sejuk.
Saya tidak mahu membiarkan sahabat saya ini melihat keadaan saya. Kerana saya tahu, dia akan menangis dengan lebih teruk. Saya tidak mahu ada air mata yang tumpah pada hari terakhir saya berada di sini.

"Terima kasih, Wani," telinga saya menangkap suara halus yang keluar daripada mulut gadis ini.

Kali ini, tebing kelopak mata saya betul-betul lemah. Dan akhirnya, runtuh.
..................................................

Saya tersentak. Kepala Nazirah hampir tergelincir daripada tulang bahu saya.
Masih belum sampai lagi ke destinasi PUISI 2007. Memang jauh perjalanan. Pengembaraan yang amat saya harapkan seribu satu kebaikan daripadanya.
2 hari di Leeds cukup mengajar saya banyak perkara. Cukup menyentuh nurani saya.
Inilah rencana Allah.
Dan perjalanan ke PUISI 2007 ini, saya pasti ia menjanjikan sesuatu yang bermakna.
Namun semuanya bergantung kepada Pencipta Agung. Kerana Dialah sebaik-baik perancang.


Saya menanam azam. Insyaallah, akan cuba saya kutip sebanyak mungkin ilmu daripada ustaz favourite saya ini. Tapi bukanlah saya terbang beribu-ribu batu ke Ireland ini semata-mata kerana Ustaz Hasrizal yang menyampaikan. Akan saya cuba ikhlaskan niat. Insyaallah akan saya sebar-sebarkan ilmu ini.

Saya menyentuh kepala seorang lagi sahabat saya ini. Cuba menahan daripada terjatuh daripada bahu saya.

Berat juga kepala Nazirah ni. Memang patut pun berat, dia terlalu suka berfikir. Saya tersenyum sendiri.

Sesekali mata saya liar memandang kanan dan kiri. Melihat keindahan bumi Ireland.
Sesekali juga saya menjeling ke arah Nazirah yang sedang tidur.
Lenguh sedikit tangan menahan kepalanya, tapi tak mengapa. Saya bahagia.

Saya memandang ke hadapan.

BEGIN WITH END IN MIND.




Friday 14 December 2007

SAYA TAKUT. TOLONG SAYA.

SAYA RASA SAKIT.SAYA TAKUT.


Jumaat, 14 Disember 2007,

11.45 pm.

Saya rasa sakit.
Betul-betul sakit.
Jiwa saya sakit.

SAKIT.

Wahai IMANKU...
kamu bagaimana? Kamu cedera kah?

SAYA TAKUT.

YA ALLAH.....mengapa?



SAKIT TAZKIRAH, SIHAT TAZKIRAH, SEMUA BENDA TAZKIRAH.

14 November 2007,
56 Brunswick, 10.15 am.


"Sekarang, mari kita buka kepada sesiapa yang tersentuh dengan mana-mana ayat daripada Al Mulk yang kita dah baca tadi," Kak Nik Mun memecahkan keheningan pagi itu.

Pagi itu, kami berkumpul sekali lagi.

Hati-hati berkumpul kerana mengasihi-MU Bertemu untuk mematuhi-Mu Bersatu memikul beban dakwah-MU.

"Jihan rasa, Al Mulk ni sebuah surah yang diturunkan sebagai surah peringatan. Tazkirah. Jihan nak cerita kisah Jihan dengan pesakit psikiatri ni...." tutur saudara usrah saya, Kak Jihan Tan.

Saya suka mendengar kata-katanya.
Tuturnya petah. Ideanya bernas.

Pelajar perubatan tahun ke empat ini sering membuatkan saya membuka minda dengan lontaran pendapatnya. Kadang kala, hujahnya membuatkan saya terjaga daripada lamunan.
Saya masih ingat lagi..kata-katanya yang benar-benar meruntun hati saya.

"Penurunan Al Mulk ni sebenarnya Allah nak suruh kita sentiasa ingat with everything we encounter in this life. Every single thing in this life is tazkirah. Sakit sebenarnya tazkirah, susah is tazkirah. Even kesihatan dan kesenangan juga sebenarnya tazkirah,", gadis kacukan Cina ini berhenti seketika, mengambil nafas.

"Allah nak kita sentiasa memuhasabah diri. Masa lapang kita juga is tazkirah.Sebab semua benda yang kita buat kat dunia ni akan disoal kelak, no escape," sambungnya, begitu bersemangat.

Saya tersentak.
Masa lapang juga tazkirah? Biar betul...Saya termenung.

Medic first year di Sheffield memang tidak sesibuk mana. Terlalu banyak masa lapang jika dibandingkan dengan International Baccaulaureate yang pernah saya tempuh dengan penuh kesabaran sedikit masa dahulu.

Berapa banyak masa yang telah saya bazirkan di sini?
Dan berapa banyak lagi masa yang berbaki?

Saya benar-benar tersentak.



TAUTAN HATI.

Usrah dan Naqibah terlalu sinonim.
Terlalu intim.

Sekali lagi, Kolej MARA Banting menjadi titik pertemuan saya dengan SANG USRAH yang selama ini, tidak pernah saya kenal.
Kenapa perlu USRAH?
Ada apa dengan USRAH?
Apa pentingnya USRAH?

Atikah.
Secara jujur, saya suka peribadi Atikah.
Secara jujur, saya mengundi Atikah ketika pilihan raya Majlis Wakil Pelajar KMB kerana saya suka peribadinya, penampilannya.
Sungguhpun pada ketika itu,saya tidak pernah mengenalinya, hatta tegur sekali pun.
Hanya sesekali, dia melemparkan senyuman manisnya kepada saya.
Mungkin inilah percikan daripada tarbiyah keluarganya yang hebat.

Atikah suka bercerita.
Saya paling suka mendengar cerita tentang keluarganya.
Ibu dan ayahnya bukan calang-calang orang.
Aktif bergiat dalam usrah sejak belum berkahwin lagi.

"Siapa tidak kenal DR. LATIFF?"
Begitulah kata bapa angkat seorang lagi sahabat saya , Arome, bernama Dr. Iqbal.
Saya kagum mendengar cara asuhan anak-anak dalam keluarga ini.
Sejak kecil sudah mendengar perkataan nasyid, usrah, tamrin.
Subhanallah.

Saya memang tidak dilahirkan dalam keluarga yang berkecimpung dengan usrah.
Ibu dan ayah tidak pernah bercerita tentang usrah.
Namun begitu ibu dan ayah tidak pernah mengabaikan pendidikan agama dan rohani.
Dihantarnya saya ke sekolah agama.
Diajarnya saya mengaji al quran.
Saya bersyukur.
Terima kasih mak, terima kasih ayah.


Dr. Fuziah.
Satu lagi nama yang membawa saya mengenali usrah.
Lembut wajahnya, tenang air mukanya.
Gigih bermujahadah menyampaikan risalah kepada kami.
Tidak pernah jemu datang bertandang melawat kami.
Hujung minggu ditinggalkan sebentar anak-anak dan suami untuk mencurahkan ilmu dan bakti terhadap kami.
Surau Annur menjadi saksi ikatan halaqah kami.
Kata-katanya sampai jauh ke dasar hati.
Sesekali mengejutkan lena SANG IMAN yang tersembunyi di dalam nurani.

Usai menyebarkan kalam dakwah dan makanan rohani,
Dihidangkan kami dengan masakan air tangan sendiri,
Direnungnya kami, dibelainya kami.
Dengan penuh kasih yang tidak terperi.

Ditautnya kami dengan ikatan cinta abadi.
Bernama TAUTAN HATI,
Ikatan cinta sesama kami.
Yang sehingga kini, saling merindui.

Ezzathy, Aisyah khaulah, Iman, Aminatul Munirah, Atikah,Aliyah Natasya, Adilah, Wan Maisarah, Norshazwani.


Saat ini, hati sudah terpaut dengan keindahan dan kecantikan.
Keindahan Halaqah, Usrah, Islamic circle.
Saya benar-benar jatuh hati.



SAYA MASIH INGAT, DAHULU, SUATU KETIKA...


Saya melihat sesuatu di dalam diri para naqibah saya.
Kak Fuzi, ketika saya sedang merangkak-rangkak mengenali keindahan Islam.
Kini,
Kak Nik Mun dan Kak Faizah hadir dalam hidup saya.
Saya melihat satu titik persamaan.
Semangat jihad para pejuang mujahidah.

Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa hati kecil ini melonjak bertemu insan bernama
NIK MUNIRAH.
Jiwa saya segar disimbah titisan mutiara TAFSIR, HADIS, SIRAH dan AKHLAK setiap minggu.
Almari buku saya bukan sahaja penuh dengan buku-buku rujukan MEDIC yang dipinjamkan oleh seseorang insan yang sangat baik hati,
tetapi juga dilengkapi dengan buku tarbiyah jiwa yang dibekalkan oleh naqibah muda ini.
Kadangkala tidak kedekut membawa kami mengambil angin luar dengan kereta kecilnya.
Tidak ralat memberi pengisian sunggupun baru pulang dari on call seharian suntuk di hospital
Hati memuji. Hati bertasbih.

Kehadiran Kak Faizah juga menambahkan bibit manis kehidupan awal saya di bumi Sheffield ini.
Gadis kecil, tetapi bertenaga.
Bersemangat.


SAYA MASIH INGAT,
DAHULU,
SUATU KETIKA...

Jiwa saya tertanya-tanya...
mengapa mereka semua ini ingin menjadi naqibah?
Apa bagusnya menjadi naqibah?
Selain daripada memendekkan masa lapang,
Selain daripada mencuri masa mengulang kaji pelajaran,
Selain daripada menahan rasa terhadap sesetengah mad'u yang tegar hatinya untuk hadir ke usrah,
Selain daripada terpaksa tergesa-gesa menyediakan bahan usrah,
Selain daripada mengeluarkan kos travelling,
Kenapa masih lagi ada orang menjadi NAQIBAH?

Saya benar-benar kabur ketika itu.
Saya tidak nampak.

Hari ini,
Mata sudah terbuka,
Minda sudah mula pandai mencerna,
Tentang hakikat hidup,
Erti hidup.
ERTI HIDUP PADA MEMBERI.


SAYA MASIH INGAT,
DAHULU,
SUATU KETIKA...

Saya bergelar naqibah kerana dilantik.
Kerana pernah bersekolah agama.
Kebetulan berkenalan rapat dengan UKHTI EZZATHY..
Yang mengetuai pucuk pimpinan BADAN TARBIYATUL MUSLIMAH.

Rendahnya diri saya ketika itu,
Hanya menerima pelantikan,
Tanpa ilmu di dada,
Tanpa mengetahui makna sebuah jihad
Tanpa mengetahui harga sebuah USRAH.

KECILNYA DIRI SAYA KETIKA ITU.
SAYA MALU DENGAN DIRI SENDIRI.




SAYA BUKAN KEMARUK!!

10 Disember 2007, 9.00 am.
Di hadapan Dell Inspiron 1420.


farahinfarahin: Kak, farahin suka sangat baca blog akak. Teringat Farahin pada akak dan
kawan-kawan akak, bersemangat dengan dakwah, usrah.

iman_muslihah: Farahin, akak menulis bukan untuk sekadar bahan bacaan. Akak menulis bila
terdapat pengisian.

farahinfarahin: Kak, sebenarnya pemakaian ni melambangkan iman ya kak? Farahin tengok,
batch akak dulu ramai bertudung labuh compare dengan batch kita orang.
Batch kitorang ni tak ramai pun pakai tudung labuh.

iman_muslihah: Astaghfirullahal azim. Dik, iman bukan dilihat pada pakaian. Tetapi apa yang
ada dalam hati, amalan. Contohnya, adik tengok, mungkin tudung akak lebih
labuh daripada tudung Kak Nazie, Kak Iman, tapi siapa tahu, dalam hati
mereka, iman mereka lebih hebat, lebih kuat. Hanya Allah yang tahu.


Tersentuh hati saya dengan pertanyaan adik ini.
Iman bukan sewenang-wenangnya dinilai pada pakaian, pada keturunan.
Tetapi apa yang terselindung di dalam hati.

Apabila kita berada jauh daripada perkara yang menjadi kelaziman, kita akan banyak berfikir.
Setiap hari Allah beri saya peluang dan masa untuk berfikir.
Berfikir dan berfikir.
Merenung dan merenung.
Sehingga satu hari, hati terdetik.

AKU MAHU JADI NAQIBAH.

Menjadi naqibah bukan kerana saya pernah bersekolah agama.
Bukan kerana saya bertudung labuh.
Bukan kerana saya pandai menyusun kata-kata.

Saya bukan kemaruk ingin menjadi naqibah...

Tetapi...
Suatu hari nanti...
Saya mahu menjadi naqibah.
Bukan naqibah yang dilantik.
Tetapi naqibah yang dilatih.
Dengan asas ilmu yang mantap.
Dengan hati yang bersih.
Dengan jiwa yang penyayang.


WAHAI 5 TAHUNKU YANG BAKAL MENDATANG.....

Fasa kehidupan baru yang menjadi fokus...
5 tahun yang mendatang..
Terlalu banyak perkara yang perlu saya fikirkan..
Bagaimana mahu saya penuhi masa 5 tahun ini?
Cukupkah sekadar bangun pagi, ke kuliah, kemudian pulang, mengulang kaji...
Kemudian kitaran sama berlaku pada hari esok, lusa, dan seterusnya?

YA, BETUL KATA KAK JIHAN...
MASA LAPANG IS TAZKIRAH...

Bagi diri saya yang terlalu fakir,
bekalan ilmu yang terlalu banyak compang camping,
Terlalu jauh jalan yang perlu saya tempuhi,
Terlalu banyak ilmu yang perlu saya kutip,
Mungkin bagi sesetengah orang ,
Masa belajar ialah masa untuk enjoy,
Masa untuk menikmati hidup,
Sebelum diri diikat dengan alam pekerjaan,
Ada yang asyik dengan percintaan,
Tak kurang juga...
Ada yang sudah berfikir-fikir untuk berkahwin.

Fasa 5 tahun sebenarnya tidak panjang..
Entah-entah, panggilan Ilahi bakal menjenguk walaupun tidak diundang,
Mana saya mahu mencari masa untuk persiapkan diri?
Mana mahu saya mencari masa untuk mentarbiyah diri?
Mana mahu saya mencari masa untuk membimbing bakal mad'u?
Jika IZRAIL..TIBA-TIBA DATANG MEMANGGIL...



15 Disember 2007, SABTU.

8.00 PAGI.

Semalam, lewat saya masuk tidur.
Lama saya memandang skrin lap top.
Pandangan kosong.
Terpaku.
Kelu.
Hati merintih.
Sesekali tangan mengusap air mata jernih.
Entah mengapa saya berasa sedih.









Sunday 9 December 2007

PEDULIKAH KITA?

PEDULI KAH KITA?


Ya ALLAH! Ampunkan hamba-MU.

Suatu pagi, 2 minggu lalu....

Sodaqalallahul azim...

Saya menutup Al Quran kecil kesayangan saya. Saya memandang sekilas ke arah jam, 6.30 pagi.
Sunyi...

Tiba-tiba, semacam ada satu arus elektrik mengejutkan saya.

Astaghfirullah azim...

Ya Allah!..ampun kan hamba-MU.

Baru saya tersedar, sudah beberapa hari saya tidak naik ke tingkat atas tiap-tiap pagi untuk mengetuk pintu sahabat-sahabat saya. Bukanlah niat di hati untuk memandang rendah terhadap kemampuan mereka untuk bangun sendiri lantas menunaikan solat subuh.
Kerana, saya sendiri yakin mereka mampu bangun sendiri tanpa dikejut.
Tetapi sudah menjadi sebati dalam jiwa saya untuk mengingatkan sahabat-sahabat yang lain.

Kerana jauh di dalam jiwa saya, saya sendiri juga amat mendambakan saudara di sekeliling untuk mengingatkan saya yang mudah alpa.

Kerana jauh di dalam hati saya, saya sendiri amat menagihkan kata-kata nasihat yang mengandungi seribu rahmat dan hikmat.

Kerana jauh di dalam nurani saya, saya sendiri juga amat menghargai saudara di sekeliling saya yang mengambil berat tentang saya.

Saya amat terharu jika terdapat saudara seislam saya yang menyayangi saya.

Mengambil berat dan menyayangi saya.



"WANI, KITA RISAULAH"


KOLEJ MARA BANTING,SELANGOR, MALAYSIA.
2006.


"Wani, kita risaulah tengok surau kat blok kita ni. Tak berapa meriah," berkerut dahi sahabat baik saya ini, Nazirah.

"Ya lah Nazie, sejak senior dah keluar, macam tak hidup je surau tu. Lengang." saya mengiyakan.

"Awak ada plan?" tanyanya pendek.

"Plan memang ada. Tapi kita kena cooperate lah", saya menjawab.

"Insyaalah boleh. Apa plannya?"balasnya, sangat berminat.

Nazirah.
Sekali lagi saya membuka cerita tentang gadis dari Pulau Mutiara ini. Sangat berdedikasi. Sehingga hari ini, saya berani katakan bahawa saya tidak akan dapat membalas jasa dan keringat gadis ini dalam bersama-sama mengimarahkan surau di asrama kami.


Pada hari yang lainnya pula,sekali lagi kami berbicara hati ke hati.


"Wani, kita risaulah tengok jemaah subuh. Banyak bilik masih gelap. Kita risau, kawan-kawan dan adik-adik junior ni terlepas solat subuh," . Sekali lagi, dahinya berkerut.
Terlalu risau barangkali.

"Tulah Nazie, kita kena buat something ni," saya memberi cadangan.

Saya sangat particular dengan perihal subuh, entah mengapa waktu awal fajar ini seolah - olah mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi terhadap diri saya.
Saya suka awal subuh. Penuh dengan rahmat.
Saya suka orang yang meningglkan tempat tidur yang empuk semata-mata untuk bertemu dengan Al Khaliq.
Saya suka orang-orang yang meredah kesejukan pagi semata-mata untuk memenuhkan saf-saf Subuh di rumah Allah.
Saya terlalu ingin mendampingi golongan ini.

"Apa dia?" Sekali lagi, gadis ini menunjukkan minat.

Inilah seorang lagi Mutiara Islam yang lahir daripada taman-taman tarbiyah Islam.

Jiwanya tidak pernah kering dengan perasaan KASIH SAYANG dan MENGAMBIL BERAT.

Saya insaf.

Secara jujur, terlalu banyak memori yang dikongsi bersama dalam menyemai bibit-bibit cinta terhadap pembentukan biah solehah di tempat kami.

Terlalu banyak.

Kami bersama-sama merencana langkah untuk mengajak sahabat-sahabat untuk memenuhi seruan solat berjemaah maghrib dan isyak.
Kami bersama-sama mengatur agar semua jemaah mendapat peluang memberi tazkirah. Tidak kira junior atau senior.
Kami bersama-sama menyusun startegi melancarkan SQUAD SUBUH.
Bacaan Mathurat setiap pagi Sabtu dan Ahad.
Qiyam.

Begitu juga akhawat yang lain, bersama-sama membantu kami dalam usaha menghidupkan biah solehah.


Namun yang paling menyentuh hati saya, pernah suatu hari.....dia menyuarakan suara hatinya.

"Wani, kita risaulah tengok sesetengah adik junior ni tak berapa betul sangat bacaan Al Quran. Kita ingat nak tolong dioranglah Wanie,".

Bergetar jiwa saya.
Sungguh halus jiwanya. Sungguh teliti. Sangat mengambil berat.

Hasilnya, setiap hujung minggu selepas solat subuh,sahabat saya ini mengajar seorang adik junior dan saya mengambil seorang lagi adik yang sudi dibimbing oleh diri yang tidak sempurna ini.Semuanya atas usaha dan buah fikiran gadis tabah ini.

Masyaalah sister. You are so kind.

You are so concern, You are so thoughtful.
You are so caring.

I am speechless.




Iman, kalau Iman sedih, Iman nangis kat siapa?

4 December 2007, 8.30 pm.


"Iman, happy becoming birthday!!"

Akhirnya, dapat juga saya menghubungi sahabat saya di Leeds ini. Walaupun hanya melalui Yahoo Messenger, saya tetap bersyukur.

"Iman, kita doakan Iman sentiasa diberkati Allah, selamat dunia akhirat. Jaga diri dan iman ye?"

"Terima kasih, Wani. Insyaalah,"

"Iman setakat ni, macam mana study? Study medic kat Leeds ok?

"Alhamdulillah. Setakat ni ok lagi, memang busy sikitlah. Tapi sabar je lah. Insyaalah dapat train diri bila dah jadi doktor nanti," ungkap sahabat saya ini. Sangat positif dan tabah.

"Iman, kalau Iman rasa susah ke, sedih ke, Iman luah pada siapa? Iman nangis pada siapa?"

"Jangan risaulah Wani, kat sini ada housemate kita dari KYUEM. Pada dialah kita luah perasaan kalau tension. Kitorang sama-sama memahami,"luahnya, sayup-sayup suaranya.

"Oh, Iman, kalau satu hari nanti Iman rasa susah hati, cakaplah pada kita. Nangislah pada kita. Bila-bila masa pun boleh Iman, kita sudi dengar,".

Saya kenal siapa Nurul Iman.
Hatinya terlalu lembut. Air matanya terlalu murah, terlalu mudah mengalir.
Jiwanya terlalu sensitif.

Saya tahu betapa sibuknya course Medic di Leeds. Saya faham perasaan sahabat saya ini. Walaupun tidak dapat bertatapan mata, saya dapat bayangkan wajah sahabat saya ini yang akan menyambut hari jadinya dalam suasana peperiksaan. Pada hari berikutnya selepas hari lahirnya, dia akan berhadapan dengan peperiksaan.

Saya seperti mahu terbang ke Leeds dan memeluknya.

Sabarlah Iman.

I am sure you know me....

How much I CARE about you.

How much I concern about you.

How much I love you.

Really. I do.




Dah lama akak tak jumpa awak..awak sihat?


Sekali lagi...Allah membuka mata hati saya tentang satu nikmat yang tidak terperi hebatnya.


27 Havelock Street, 2 December 2007, 3.00 pm.

Saya meredah kesejukan hujan. Hati saya sudah berkira-kira untuk melawat kakak-kakak yang telah banyak membantu saya. Telah lama saya merancang hendak ke rumah mereka. Tapi ada sahaja halangannya.

Petang itu , saya nekad.

Sepanjang perjalanan, pesanan ibu saya terngiang-ngiang di corong telinga.

Ketika pada hari kedua saya sampai di Sheffield, saya menelefon ibu.

"Tolong kirim salam mak pada kakak-kakak tu. Mak berterima kasih sangat sebab tolong jagakan Wani. Ingat, jangan sekali-kali lupa jasa orang. Nanti bila dah pindah rumah sendiri, jangan dah tak ingat dah kakak-kakak ni. Sesekali, kena ambil berat, tanya khabar, Wani faham tak apa yang mak pesan ni?"

"Insyaallah mak," saya mengangguk faham.


Sewaktu saya mula-mula sampai ke bumi asing Sheffield ini, merekalah yang sudi menumpangkan kami.

Walaupun bilangan kami berlima telah menyesakkan ruang rumah mereka yang sepatutnya menempatkan tiga orang sahaja, mereka tidak mengeluh, jauh sekali menarik muka tidak suka.

Kami menumpang seminggu lamanya. Makan kami dijaga. Tempat tidur kami disediakan.

Saya amat berterima kasih terutama kepada kak Eliyana Saliha Elias atau Kak Eli.
Juga kak Alia dan Kak Emy.


Sampai di sana, mereka sudah pun siap sedia dengan juadah di atas meja. Tapi bukan itu niat saya datang bertamu ke rumah mereka.

"Wani, lama akak tak jumpa awak. Awak sihat? " tanya Kak Eli, seperti biasa sangat mesra.

"Tu lah. Akak pun lama tak nampak awak, rindu tau kat awak," kali ini, Kak Emy pula berseloroh.

"Ceritalah, apa perkembangan terbaru awak?," kali ini, Kak Alia pula mencelah. Wajahnya kelihatan penat. Barangkali terlalu sibuk dengan persediaan exam.

"Eh, semua orang tanya kita..Malu lah. Hehe. Akak lah start dulu,".Saya cuba mengelak.

"Tak boleh, tak boleh..kitorang semua nak tahu cerita awak. Lama tak dengar cerita daripada awak ni..., tertanya-tanya akak," Cepat sahaja Kak Eli memintas.


Petang itu, kami berkongsi rasa, berkongsi cerita.

Petang itu, di luar rumah,hujan tidak putus-putus menyimbah bumi.

Petang itu, di luar rumah, kesejukan benar-benar mencengkam tulang.

Namun perkara sebaliknya berlaku di dalam rumah kecil itu.

Kehangatan kasih sayang benar-benar terasa.
Saya dikelilingi insan-insan yang mengambil berat tentang saya.
Saya percaya, mereka juga sayangkan saya.

Saya percaya.



PEDULIKAH KITA?

Mari kita pandang kanan.
Kemudian pandang ke kiri.
Depan dan belakang.

Siapakah yang ada di sekeliling kita?

Ibu bapa,? Adik beradik? sahabat baik? housemates? jiran? coursemates?

Tidak kira siapa pun mereka...merekalah yang menemani kita.
Yang telah, sedang atau akan bersama-sama dengan kita.

Sejauh manakah kita mengambil berat tentang mereka?

Bagaimana caranya untuk mengambil berat tentang orang lain?

Cukupkah sekadar bertemu, berborak atau menelefon atau berchatting?

Pernahkah sesekali hati kita tergerak untuk bertanya kepada mereka..

"Apa khabar diri mu hari ini?"
"Apa khabar imanmu di hati hari ini?"
"Apa khabar amal ibadatmu hari ini?"


Rasullulah menganjurkan ummatnya untuk meyebarkan salam dan berkasih sayang.

Bagaimana?

Luangkan masa seketika untuk mengambil berat tentang saudara sendiri.
Tanyalah khabar.
Hadiahkan dengan senyuman.
Ringankahlah lidah dengan memberikan kata-kata pendorong, nasihat yang baik, ilmu yang berguna.


Sudahkah kita bertanya khabar teman terdekat kita hari ini?







Sunday 25 November 2007

BUKAN CINTA BIASA



BUKAN CINTA BIASA


ALAMAK, WANI, MACAM MANA NI?


Rabu, 14 Nov 2007, Darnall

"Nak belok mana eh Wani?," tanya ibu angkat saya, Kak Zahrah.

"Eh, akak ni..tanya kita pulak. Kita mane tau jalan kat sini," saya menjawab. Berkerut dahi saya.

Petang itu, usai sahaja kelas Dr. R Muimo, saya bergegas ke Darnall. Sudah dua minggu tidak bersua dengan Aliff dan Ainul. Sudah beberapa kali saya berjanji untuk melawat mereka, tetapi ada sahaja aral yang datang.
ARAL atau HIKMAH.
Saya tidak pasti.

"Tak apa. Akak tau, belok kanan ni," Katanya, yakin sambil memusing stereng. "Tak apa, hari ni kita bawa Kak Wani makan ayam kat kedai , ya Aliff," tuturnya , riang sambil menjeling anak lelakinya melalui cermin belakang.

Saya memandang ibu muda ini. Ragu-ragu.

'Ishh. Biar betul Kak Zahrah ni. Tahu ke tidak jalan ni. Sudahlah tidak ada insurance,'saya bermonolog di dalam hati. Sedikit gusar.

Tiba-tiba ..

"Eh, wani. Cuba tengok belakang ni. Polis ke?"

Saya segera memandang belakang.

Sudah. Habislah. Astaghfirullah.

Memang POLIS.

Kali ini, saya memandang tepat-tepat ke muka ibu angkat saya. PUCAT. LESI.TIDAK BERDARAH MUKANYA.

"Tak apa kak. Kita berhenti je kat tepi. Insyaalah tak ada apa-apa," saya berlagak tenang tapi di dalam hati, Allah sahaja tahu.

Lama saya menunggu di dalam kereta bersama-sama Aliff dan Ainul. Sesekali, saya menjeling ke arah pegawai polis dan Kak Zahrah yang sedang berbincang. Si bayi Ainul sudah terjaga dari lena.
Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba bayi ini merengek. Mahukan umminya barangkali. Rengekan bertukar menjadi tangisan.

Astaghfirullah..ishh..macam mana ni. Kali ini saya pula PUCAT. LESI.

Tiba-tiba..

"La...kesian anak ummi. Jangan nangis sayang. Ummi kat sini, ya Ainul," suara Kak Zahrah tiba-tiba menerpa telinga saya.
Naluri ibunya yang kuat seolah-olah tahu anaknya memerlukan kehadirannya.
Didakap, dikucup bayinya itu dan didukung sambil menyambung perbincangan dengan pegawai polis tersebut.

Saya terpaku. Terkesima.


"OH, ALIFF NAK PIJAK KAKI UMMI, YA?"

Sampai di rumah, kelam kabut Kak Zahrah "menggali" semula dokumen-dokumen kereta suaminya. Berserabut fikirannya.
Mana mahu mencari dokumen.
Mana mahu memikirkan cara memberitahu suaminya, Abang Razlan tentang kes saman tersebut.
Mana mahu melayan Ainul yang menangis tidak henti-henti.

Memang kelam kabut.

"Aliff, tak mau kacau ummi. Jom kita pergi dapur,".
Saya segera menarik tangan Aliff ke dapur.
Sambil saya menyediakan minum petang, saya melihat kelibat Kak Zahrah yang mundar mandir mencari dokumen.

Perasaan simpati mula menyelinap ke dalam hati.

"Kak, jom kita minum dulu. Ada kuih ni. Tak apa, biarlah benda tu dulu. Kita duduk berbual-bual dulu ya," pujuk saya.

Saya cuba mendukung Aliff untuk membantunya duduk di atas kerusi makannya. Tapi, dia menolak tangan saya. Terkejut saya.
Dia segera menunjukkan jari telunjuknya ke arah umminya sambil merengek,

"ummi,ummi!!"

"Oh, Aliff nak pijak kaki ummi dulu , ya?" tutur Kak Zahrah dengan nada memujuk.

Dijulurkan kakinya, lalu si anak kecil itu memijak kaki umminya itu. Dan perlahan-lahan memanjat kerusi makannya yang tinggi itu.

SUBHANALLAH. Hati saya tiba-tiba bertasbih.

"Oh, Aliff memang macam ni. Kadang-kadang, kalau dia nak duduk atas kerusi ni, dia akan panggil akak. Suka betul dia buat macam ni, " terang Kak Zahrah, tanpa dipinta.

Saya memandang raut wajahnya. Tiada sedikitpun unsur- unsur keluhan. Bibirnya tetap seperti hari pertama saya bertemu dengannya. Setia dengan senyuman.

Petang itu, lama kami berbual-bual. Hilang sebentar kisah saman kereta. Namun fikiran saya sesekali menerawang ke tempat lain.

Menerawang ke beberapa minit yang lalu.

"Oh, Aliff nak pijak kaki ummi dulu, ya?"

Hati tersentuh. Hati bertasbih. Bertasbih melihat sentuhan kasih.
Kasih seorang ibu.



UMMI ZAHRAH



Hari itu, saya sungguh bertuah.
Peristiwa hari itu telah menjadikan tautan hati kami bertambah kukuh.
Bertambah erat.
Hari itu, tiada lagi panggilan "Kak Zahrah".
Yang ada hanyalah "UMMI ZAHRAH".

Hari itu,saya sudah mengerti mengapa ada sahaja aral yang datang setiap kali saya merancang hendak ke rumah keluarga kecil ini.

Hari itu, saya sudah mengerti mengapa ALLAH memilih hari itu untuk saya, bukan semalam, atau minggu lepas yang telah saya rancang awal-awal.

Hari itu, saya sudah mengerti, ada HIKMAH yang ingin ALLAH tunjukkan kepada saya.

Hari itu, saya sudah mengerti. Mengerti.


SATU-SATU, SAYA SAYANG ALLAH. DUA-DUA, SAYANG RASULLULLAH...

Sabtu, 18 November 2007

Petang, sekali lagi saya bersama dengan keluarga ini.
Bezanya, ketika ini, kami dalam perjalanan pulang dari car boot sale di Junction 29, di pinggir Sheffield.
Bezanya, kali ini, abang Razlan turut serta. Lengkap sekeluarga.
Dalam kereta yang sama.
Dalam suasana yang sama.
Suasana mahabbah.

Sesekali rengekan Ainul memecah keheningan petang itu. Namun, selepas seketika, halwa telinga saya menangkap sesuatu yang indah.

"Ainul, sayang ummi. Jangan Nangis. Ummi nyanyi ya, sayang,"

Satu-satu, saya sayang ALLAH.
Dua-dua, saya sayang RASULLULLAH.
Tiga-tiga,saya sayang abi ummi.
Satu, dua , tiga, sayang semuanya.

Alunan nyanyian hati seorang ibu. Saya melontarkan pandangan jauh-jauh ke luar tingkap.

Raut kasih ibu saya singgah sebentar ke benak fikiran.
Raut kasih ibu saya yang sarat dengan kasih sayang.
Raut kasih ibu saya yang mula dihinggapi kedut-kedut halus.

Kedutan yang bukan sebarang kedutan.
Kedutan yang tergaris disebabkan seribu pengorbanan.
Pengorbanan yang dihiasi dengan seribu tangisan dan kesusahan.
Tangisan dan kesusahan yang tidak pernah dizahirkan.

Hanya senyuman yang mengiringi perjuangan.
Perjuangan seorang ibu.
ITULAH IBU SAYA.

PERMATA HATI SAYA.
BIDADARI YANG MENJAGA SAYA.
SATU-SATUNYA IBU YANG SAYA ADA DI DUNIA DAN AKHIRAT.

cinta ibu tiada ganti.
kerana ia cinta sejati.

cinta ibu cinta suci
kerana ia percikan daripada CINTA ILAHI


CINTA IBU ....

BUKAN CINTA BIASA.


Saturday 17 November 2007

Bingkisan daripada sekeping hati




KENAPA TAK JUMPA-JUMPA NI..?


Sabtu,10 November 2007, Meadowhall Shopping Complex

Masa: 2 .00 pm

"OK, semua orang. Kita nak cari barang sikit untuk mak kita. Apa kata kita berpecah? Kita takut korang bosan jalan dengan kita. Kita kalau shopping,lama. Dulu, kita ingat lagi masa shopping dengan Nazi. Kesian je die, terpaksa tunggu lama," suara Atikah tiba-tiba memecahkan suasana Meadowhall yang hingar-bingar.

Saya mengangguk kecil. Setuju.
Kami bertiga, saya, Atikah dan Arome berpecah.

Ramainya orang, desis hati saya. Saya mula meredah lautan manusia pada petang itu.
Untuk mencari "sesuatu".
Untuk mencari "sesuatu".

Mata saya liar memerhatikan kanan dan kiri.
Untuk mencari "sesuatu".
Untuk mencari "sesuatu".


Masa: 3.15 pm

" Ya rab..ya rabbi.. ya rab..Tuhanku ampunkanlah...." Nokia Xpress Music saya menjerit sekali lagi.

" Astaghfirullahal azim". Terkejut saya daripada lamunan. Leka memandang deretan kedai yang menjual barangan mewah. Tidak berani saya ingin melangkah masuk. Hanya memandang dari jauh.

1 unread message:
from: Teaks
Select.

Awak kat mane? Kite dah habis beli barang. Jom balik!.

Reply:

Ok. Jom!

Saya mengerling jam tangan saya buat seketika . 3 20 pm. Subhanallah. Cepat betul masa berlalu.
Tiba-tiba hati saya tersentak.

Untuk mencari "sesuatu".

Kali ini saya mengerling ke arah tangan saya pula untuk seketika.
Tidak ada "sesuatu" pada tangan saya.

Kenapa tak jumpa-jumpa ni?. Retoris.

Tanggal dalam sejarah hidup saya.
Di Meadowhall.
Sebuah shopping complex yang pernah dinobatkan sebagai antara shopping complex terbesar di Eropah.
Namun, saya gagal pada hari itu.
Gagal untuk mencari "sesuatu".
HAMPA.



"Cuba akak teka? . Benda ni tak de jual kat kedai"


Ahad, 11 November 2007, 56 Brunswick Street.


"Buzz!!"

Saya mematikan sebentar suis vacuum. Saya menjeling ke arah lap top Dell Inspiron 1420 saya. Mengerlip-ngerlip skrin Yahoo Messenger.

"Eh Kak Nik Mun!". Senyuman saya mula meleret.

nik mun: Wani, thank you doughnut tadi. Susah2 je hantarkan.
iman_muslihah: Oh..same2. Ntah ape ntah rase. hohohe~
nik mun: Eh, sedaplah wani. Lembut. Mesti lame menguli kan?
iman_muslihah: adalah lame sikit. hehe~. Buat pukul 4 pagi tadi. Saje je.
nik mun: ye ke? Hehe. lepas ni boleh belajar dengan wani.
iman_muslihah: Eh takde lah. Kite amik resepi kat internet je. Pastu kite main campak je la.
Cumenye, ade ingredient rahsia tau.
nik mun: wah, ape tu?
iman_muslihah: Cube akak teka? Benda ni tak de jual kat kedai. Hohohe~

saya menunggu jawapan daripada Kak Nik Mun. Bersedia untuk menunggu lama.
Tiba-tiba...

nik mun: akak tau! kasih sayang dan ukhwah, kan?

Gulp. Saya menelan air liur.

Tepat!.

Subhanallah! Pantas sungguh doktor muda ini menelah fikiran saya.
Inilah Nik Mun yang saya kenal sebulan yang lalu. Fikirannya tajam dan bernas. Kata-katanya berhikmah.
Bermula sejak saya menghadiri Kem Pre -Departure IMAM-(PERSATUAN PELAJAR PERUBATAN ISLAM MALAYSIA) di Hulu Langat beberapa bulan yang lepas, nama Nik Mun sudah mula meniti di bibir-bibir segelintir akhawat jurusan perubatan UK. Pada masa itu, saya tidak pasti, apakah sebabnya.

Hari ini, saya sudah tahu jawapannya.

Hati gadis berusia 25 tahun ini sarat dengan kasih sayang.
Mahabbah.
Ukhwah.

Saya sudah jumpa "sesuatu"!!
Allahuakbar!!




Bingkisan daripada sekeping hati



Sabtu, 17 November 2007, 56 Bruswick Street


Lusa. 19 November 2007. Tarikh keramat bagi seseorang yang istimewa dalam hidup saya.

Tarikh inilah yang sudah lama berlegar-legar dalam kotak minda saya.

Tarikh inilah yang telah membawa saya ke Meadowhall, one of the biggest shopping complex in Europe.

Tarikh inilah yang telah mengarahkan 'minda sedar' saya untuk mencari "sesuatu".

Mencari "SESUATU".


Dedikasi untuk WAN MAISARAH BINTI WAN ABDUL RAHMAN.

" Mai, kita tak ada apa yang special nak bagi untuk birthday awak kali ni. Yang ada pada kita, hanyalah "sesuatu". Terimalah "sesuatu" yang tidak seberapa ini daripada kita,"


sahabatmu,

Norshazwani Othman






Sunday 11 November 2007

HEY BANGSA NAQIBAH!!

bismillahirrahmanirrahim...

assalamualaikum wbt.

INILAH JALAN KITA.


ya rab..ya rabbi ya rabbi..tuhanku..ampunkahlah segala dosaku..
tuhanku... klik. Alunan Damba Cintamu nyanyian Raihan saya matikan daripada telefon saya.

1 unread message: from kak zaharah.

Petang itu, saya menerima mesej daripada ibu angkat saya, kak zaharah. Kami pernah berjanji untuk pergi ke car boot bersama-sama hujung minggu. Tak sabar rasanya untuk bertemu si cilik Alif dan Ainul.

Usai membaca dan membalas mesej, saya meletakkan Nokia 5100 baru kepunyaan saya itu di sebelah lap top. Tiba-tiba mata saya menangkap sesuatu. Telefon bimbit lama saya, Motorola C380. Pemberian ayah. Sudah 3 tahun setengah menemani saya. Itulah saya. Jarang-jarang sekali menukar barang, akan saya guna selagi boleh dipakai.

Motorola C380.
Tiba-tiba kisah kira-kira beberapa bulan yang lalu datang menerjah fikiran.


Kolej Mara Banting, E111, 10.30 malam.

Ting~
1 unread message.
Select.

from: Unknown.

Hey naqibah! Aku tau la kau tu naqibah. Alim konon. Kau dengan kawan-kawan kau tu same je. Program agama korang..kitorg kena ikut. Tapi aktiviti kitorg korang sibuk nak bising2. Lagha la..lalai la..mcm bagus sgt.

Lagi mesej baru:



Ko ingt kwn2 ko tu semua baik ke? Sudahlah! Nak berdakwah konon!


Kadang kala saya terjumpa juga "testi - testi nakal" kawan-kawan yang tidak berpuas hati terhadap kami kepada kawannya yang lain di Friendster:

Entah die tu. Sibuk je. Baik die jaga tepi kain die n bangsa die sendiri!
Bangsa naqibah. Pertubuhan diorang. Hahaha.


Astaghfirullahal azim...Mengurut dada.

Itulah namanya cabaran. Atau pengorbanan. Fikiran saya terbang sebentar kepada Ukhti Dalila dari Nottingham. Kakak Dell. Kakak yang telah menghadiahkan saya lagu " Sahabat Perjuangan" nyanyian Tazakka.

Perjuangan itu artinya berkorban
Berkorban itu artinya terkorban
Janganlah gentar untuk berjuang
Demi agama dan bangsa
Inilah jalan kita

Inilah jalan yang telah saya pilih. Jadi waima perit dan pedih macam mana sekali pun, saya tidak layak untuk merungut. Sedangkan junjungan besar Rasullullah, seorang pejuang agung dicaci, diugut, dilontarkan najis tidak pernah mengeluh, jadi apalah hak saya untuk meminta layanan yang baik? Subhanallah...keinsafan meresap ke dalam hati.


BANTING.

Hari-hari yang dilalui di bumi bernama Banting memang mencabar.
Itulah "turning point" saya.
Saya percaya bukan "turning point" saya seorang. Ramai lagi.
Tanah yang bernama Banting inilah yang mengajar saya erti dakwah. Erti korban. Erti Ukhwah. Erti Hidup. Tujuan Hidup.
Terima kasih Allah kerana pernah mencampakkan jasad ini ke tanah ini.


Tarbiyatul Muslimah 2006/2007.
Satu lagi episod hidup yang memberi momentum kepada diri ini.
Walaupun gambar saya terpampang di atas board di bahagian belakang SURAU ANNUR bersama-sama akhawat yang lain- NORSHAZWANI OTHMAN, MEDIC MARA, LUJNAH USRAH, sekalipun saya tidak rasa jawatan itu milik saya. Sungguh. Tapi ia milik mereka...kami.

1. Nurul Ezzathy
2.Adilah
3.Nurul Iman
4.Aminatul Munirah.
5.Wan Maisarah
6.Aliyah Natasha.
7.Atikah
8.Aisyah Khaulah
9.Norshazwani

Dalam hati saya, nama-nama inilah yang terpahat.
Kukuh.

Manakan tidak, setiap minggu, nama-nama ini yang memerah otak memikirkan program yang perlu direncanakan untuk usrah. Bukan saya. Tapi mereka. Sungguh.

Gelak tawa, tangisan, kegembiraan, kesedihan,kekecewaan,kejayaan,kepenatan.
Semua dikongsi.
Tiba-tiba rindu bertamu lagi.
Sebak.


"WANI, KITA SUKA COMPLIMENTARY BASE PAIRING".




Dua hari lalu, saya berpeluang berchatting dengan jantung hati saya, ukhti Nurul Ezzathy, seorang lagi mujahidah Islam yang amat saya rindui. Terlalu rindu.

"Wani,kita dah baca blog wani. Kita suka betul " Complimentary Base Pairing".

"Tu lah. Tak sangka Allah hadiahkan kita Teaks kali ni. Dulu ALLAH kurniakan awak dalam hidup kita. Baik betul Allah".

"Tak lah. Allah yang hadiahkan Wani pada kita. Wani yang banyak ingatkan kita bila kita lalai."

Tergelak saya membaca tuturnya di skrin Yahoo Messenger. Terlalu kontra dengan hakikat sebenar. Insan yang bernama Nurul Ezzathy inilah heroin saya. Penasihat saya. Teman saya. Ya, jantung hati saya.Sungguh.

Saya masih ingat lagi ketika saya bersedih, pasti bilik E 103 menjadi sasaran saya.

Di situ lah kalimah motivasi dibisikkan ke telinga saya.
Meresap jauh ke lubuk hati.
Di situlah pelukan seorang sahabat memujuk hati yang lara.
Meresap jauh ke dalam hati.
Sungguh.



BANGSA NAQIBAH?





Wujudkah bangsa naqibah?
Entahlah.
Biarlah orang mahu mengata, tapi jangan sesekali kata kata itu membunuh perjuangan kita.

Biar kita penat tapi jangan sampai rebah.
Teruskan berjuang.

Nazirah, Rusna...nama yang mengusik hati saya. Mereka bukanlah Majlis Tertinggi Tarbiyatul Muslimah. Tetapi semangat juang mereka sangat saya kagumi. Mereka adalah sahabat saya. Kadangkala saya tertanya-tanya, beruntungnya saya dikurniakan insan yang hebat di sekeliling saya.

Bagaimana satu hari nanti, mereka jauh meninggalkan saya?
Mampukah saya meneruskan perjuangan?
Jika dahulu cabaran hanya berlegar-legar di bumi BANTING.
Kini, saya berada di Bumi Sheffield.
Mampukah saya?

Saya tidak punya jawapan.


saya tujukan "SAHABAT PERJUANGAN " nyanyian Tazakka kepada semua sahabat-sahabat yang saya kasihi.