Saturday 18 October 2008

Suatu Petang yang Mengajar...

17 Oktober 2008
Havelock Street, Sheffield
Petang


Saya meneliti wajah polos mad'u saya satu persatu-satu.
Saya hela nafas sedalam-dalamnya.
Lalu, kata ditutur, membuka bicara.

Petang tu, bermula satu lagi siri baru dalam perjalanan hidup saya.
Siri yang bakal mewarnai kehidupan saya dengan 1001 macam perasaan, pengalaman dan mungkin penemuan baru.

Saya diamanahkan menjadi "coach" kepada kumpulan usrah / sitting group saya.
Berbeza dengan tahun yang terdahulu, tradisi kumpulan usrah mengikut tahun pengajian diubah sedikit.
Usrah kali ini menggabungkan mad'u daripada pelbagai kursus pengajian dan tahun yang berbeza dengan harapan supaya usrah bukan sahaja menjadi medan untuk mad'u memperbaharui iman yang sentiasa dilanda badai, tetapi mendambakan agar usrah menjadi medium "networking of ukhuwwah" yang lebih mencapah.

Menjadi naqibah bukan perkara baru bagi saya dan juga beberapa teman rapat saya.
Namun, tugas saya sebagai naqibah atau "coach" kali ini sedikit berbeza.
Jika dahulu, mad'u saya hanyalah terdiri daripada kalangan yang lebih muda daripada saya,
namun, kali ini, saya turut dikurniakan dengan kehadiran beberapa senior di samping junior sebagai ahli baru usrah saya.

Saya menjadi sedikit gusar.

Kegusaran yang terbit itu bukan atas dasar "inferiority" lantaran umur saya yang lebih muda berbanding mereka yang lebih awal makan garam daripada saya.

Perbezaan umur tidak menjadi isu untuk berdakwah.

Tetapi sejauh mana kemampuan saya membawa jurang perbezaan, peringkat pemikiran dan penerimaan mereka terhadap pembawakan usrah kepada satu titik persamaan yang dipersetujui oleh semua ahli usrah.

Satu hari,saya cuba mendapatkan nasihat daripada Naqibah saya yang hidupnya sudah sebati dengan usrah, dakwah dan tarbiyah.

"Kak..macam mana ya? Kali ni mad'u kita agak pelbagai. Ada adik junior, kawan sebaya, senior pun ada. Biasanya bila dapat mad'u yang pelbagai umur, mestilah penerimaan diorang pun berbeza-beza. Kalau golongan junior ni, insyaallah kita dah biasa dah kak. Haa., yang golongan senior ni, pemikiran diorang mesti lebih matang. Macam mana ya kak? Mampu ke kita nak penuhi keperluan diorang ni?"

"Hmm..macam mana awak layan diorang sebelum ni?" Kak Nik Mun menjawab persoalan saya dengan satu soalan.

Seingat saya, semasa saya first year, saya agak kurang berinteraksi dengan senior yang kini menjadi mad'u saya kerana kami amat jarang bertemu berbanding beberapa orang senior lain yang lebih dominan.
Hmm..sebabnya saya sendiri tidak pasti.
Namun kerenggangan itu tidak sedikit pun menjadi alasan untuk saya tidak menghormati mereka.

"Honestly, kita lihat diorang sebagai kakak. Kakak senior yang kita hormati," ringkas sahaja jawapan saya, namun itulah hakikatnya.

Jadi, peluang untuk sama-sama "sitting" bersama-sama mereka adalah sesuatu yang sukar untuk saya lepaskan kerana mungkin dengan cara inilah hubungan ukhuwwah yang agak kusam pada satu ketika dahulu dapat digilap sebaik mungkin.

"Haa..macam tu lah awak lihat diorang. Walaupun diorang tu anak usrah awak, tapi tak bermakna awak kena layan diorang macam adik-adik juga. Mesej pengisian sama macam adik-adik lain, cuma bagi golongan macam ni, apa yang awak perlu buat ialah teruskan perasaan hormat awak tu pada diorang. Layan diorang sepertimana layanan yang sepatutnya diterima oleh seorang kakak. Sebab at the end of the day, perkara baik yang awak nak sampaikan kepada semua anak usrah awak tu, sama sahaja iaitu nak membentuk syakhsiah muslim, cuma mungkin kena guna "approach" yang berbeza. "Approach" yang sesuai dengan diorang," panjang lebar Naqibah saya memberi penjelasan.

Ya..sememangnya bukan mudah untuk meladeni keperluan mad'u yang mungkin beraneka ragam, namun, itulah cabaran yang perlu digalas. Secara automatiknya menuntut saya untuk lebih mendalami ilmu dan melatih diri untuk lebih bersedia menghadapi liku-liku perjuangan yang pasti memburu sejuta pengorbanan.

Dalam membicarakan tentang persiapan diri dengan ilmu dan pelbagai latihan memperketalkan diri untuk bergelar daie, kadangkala kita mungkin terlepas pandang tentang "kesuburan hati".
Bagi saya, inilah yang paling sukar untuk dilakukan berbanding perkara-perkara yang lain.

Masakan tidak, kesuburan hati menuntut jagaan rapi melalui siraman iman yang segar setiap hari dan taburan baja mahmudah yang berkualiti sepanjang masa.

Dan yang paling penting, ia menuntut elemen istiqamah.
Istiqamah sepanjang masa, tidak mengenal musim.

"Kena ingat, keadaan hati sangat memberi kesan terhadap dakwah. Hati rosak sikit, habislah dakwah," inilah peringatan yang sering diulang-ulang oleh Sang Naqibah.

Kali ini, saya tidak meneruskan pertanyaan lagi.
Saya terdiam.
Hanya tunduk merenung lantai.

...........................................................................................................................................................



"Walaupun saya ni Naqibah untuk kumpulan sitting ni, suka saya nak clarify yang naqibah does not equal to ustazah ke cikgu ke..jauh sekali nak menggenggam ijazah ilmu syariah ke ilmu wahyu ke. Saya memang tak ada semua tu! Memang tak ada!
Saya sama sahaja seperti orang lain, still seorang student, pergi lectures, buat assignment..Cuma, saya berada di sini, berbekalkan sedikit ilmu dan pengalaman, saya hanya bertindak sebagai "coach". Dalam usrah ni,kita sebenarnya sama-sama belajar, mana yang salah ditegur dan dibetulkan, yang baik, kita kongsi bersama. Dalam usrah, kita nak lalui proses pembelajaran atau tarbiyah. Dan bila sebut tentang tarbiyah, ia lebih bersifat coaching rather than preaching, " akhirnya terluah juga apa yang terbuku di hati.

Pada awal pertemuan pertama, saya lebih banyak mendalami tanggapan dan perasaan mereka terhadap usrah berbanding "mengajar" atau mengadakan "sesi preaching" tentang apa itu usrah, rukun-rukun usrah, adab-adab usrah dan sebagainya.
Kerana saya tahu, mereka sudah arif tentang itu semua.
Perkara yang bersifat teoritikal itu sudah mereka pelajari sejak di bangku sekolah.
Cuma bezanya, ketika usrah, bagaimana untuk kita mempraktikkan teori-teori tersebut dalam kehidupan.

Saya masih ingat luahan hati mereka.

"Sebenarnya kitorang dah tahu semua perkara pasal apa itu usrah, rukun-rukun usrah, apa itu iman, apa itu ihsan..Kitorang dah belajar benda-benda tu sejak kat sekolah lagi. KAMI DAH TAHU. Cuma, dalam usrah ni, apa yang kitorang mahukan ialah macam mana nak MENGHAYATI APA YANG KAMI TAHU TU DALAM KEHIDUPAN SEBENAR," ujar salah seorang mad'u baru saya ini.

Saya merenung lembut ke dalam anak matanya.
Cuba menyelam ke dasar hatinya.

Benar.
Kebenaran setiap butir pertuturannya itu tidak dapat disangkal lagi.
Tidak perlu bersusah payah untuk menjadi seorang Naqib/Naqibah jika tugasnya hanyalah "berceramah/preaching" apa yang tercetak pada kertas silibus usrah.
Tetapi cabaran yang lebih getir tertumpu kepada bagaimana seorang "coach" itu menjiwai apa yang dibawanya lalu "memindahkan" penjiwaan tersebut kepada mad'unya.

Saya melepaskan keluhan berat.

Sesungguhnya tugas ini amat berat.

Penjiwaan melibatkan hati dan perasaan.
Dan di sinilah kesuburan dan keikhlasan hati memainkan peranan.

Luahan demi luahan mengisi keheningan petang itu.

Satu nama disebut pada petang itu.
Empunya nama juga merupakan seorang naqibah dan pendakwah.
Dahulunya pernah menetap di Sheffield, namun kini dia sudah berhijrah ke tempat lain.
Tidak banyak yang saya tahu tentang kakak ini, yang pasti dia adalah kawan baik kepada Naqibah saya.

"Entahlah Wani, setakat ni, dialah the best Naqibah yang kitorang pernah ada. Tapi , the best yang dimaksudkan kat sini, bukanlah bermakna dia telah membawa bawa usrah yang luar biasa, atau penyampaiannya yang hebat. Tak..Tak..Dia menjadi the best bukan kerana itu. Penyampaiannya biasa-biasa sahaja, tapi kitorang tersentuh dengan keikhlasan hatinya, " jelas seorang mad'u saya dengan penuh perasaan.

Saya mengangkat kening.

"Keikhlasan hati?
Masakan mampu mereka tahu sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak?" Persoalan ini saya pendamkan dalam hati.

"Wani tahu tak, dia tak pernah missed ajak kami ke usrah. Setiap minggu hantar text, ajak pergi usrah. Walaupun towards the end, kami dah start rasa berat nak pergi usrah, dan kadang-kadang mula ponteng usrah, tapi dia tak pernah marah. Tak pernah nak sindir-sindir. SEKALI PUN TAK PERNAH!..Dia sabar layan kerenah kami, masa nak exam, dia masak untuk kami. Dan dia sebenarnya tahu, kami dah semakin malas nak datang usrah dan memang tak akan datang usrah, tapi dia masih tidak lupa mengajak kami ke usrah. Sekali pun tak pernah lupa! Tak pernah serik ajak kami pergi usrah! Dia memang sabar dengan kami," hati saya bergetar mendengar pengakuan mereka.

Saya terkedu.
Tetiba hati menjadi sebak.

"Tapi itu lah, dia dah tak ada kat sini sekarang..Manusia ni memang tak pernah nak hargai bila benda tu berada di hadapan mata. Bila benda tu dah tak ada, baru sibuk-sibuk nak hargai, " sayu sahaja suara mereka.

"Tapi Wani, Wani bila dah dengar cerita ni, Wani janganlah rasa takut pula. Kami bukan nak expect yang tinggi-tinggi daripada Wani sebagai Naqibah. Tak..Bukan!!.Bukan kami nak Wani selalu masakkan kami atau bawa topik yang best-best..Bukan!..Bukan!..Tapi cukuplah ada perasaan IKHLAS nak bawa usrah ni," ujar mereka, seoalah-olah memberikan motivasi kepada saya.

Memang IKHLAS tidak dapat dilihat dengan mata, namun, ia dapat dirasa dengan hati.
Tetapi percayalah, hati yang subur sahaja mampu membuahkan nilai keikhlasan.

Untuk kali keduanya, saya melepaskan keluhan berat sekali lagi.

Banyak yang telah saya pelajari pada hari itu.
Saya telah melalui satu lagi "kelas" dalam "sekolah kehidupan".

Sememangnya, petang itu merupakan petang yang panjang bagi saya.

4 comments:

Anonymous said...

saya rindukan ukhti itu! dia kakak saya!!! dia dan kak nikmun!! dan skrg saya sangat2 rindukan dia!!huhuh

nmn said...

hehe aisyah, ukhti yg dimaksudkan tu adik awak la =P (tp rindukan ukhti yg sorang lg tu juga...huhu)

ana muslim said...

rindu dua2 ukhti tu...teringat memori berbincang2 panjang dalam kereta :)

minal Qalb said...

Bismillah...
Salam wani~
Alhamdulillah, Allah terus berikan wani jalan dan tapak untuk terus menjadi penyambung perjuangan Rasul s.a.w.
Kita tak mungkin punyai pengalaman seluas wani, tapi sekurang-kurangnya atas perkongsian wani dalam blog ini, kita dapat menilai dan melihat sesuatu daripada kaca mata seorang sahabat yang amat kita rindui.
Jazakillah untuk penerusan...erti hidup pada memberi.,
buat wani penyeri laman hati ^^
Salam rindu dari Newcastle di benua berbeza.