Sunday 4 May 2008

OH, SAYA SEMAKIN DEWASA RUPANYA!!

4 Mei 2008, Ahad
4.47 petang


Petang ini, hujan renyai-renyai.
Namun pagi tadi, cuaca agak baik.
Saya sempat mengambil angin di tepik tasik Crookes Valley .Di sinilah tempat kegemaran saya untuk bersendirian dan melihat kecantikan alam.
Semalam, rumah saya menjadi host untuk "Malam Bina Iman dan Takwa" (MABIT) iaitu kami bersama-sama mendirikan qiyamullail, menghayati tazkirah dan makan dalam talam bersama.
Selepas para akhawat pulang, saya keluar bersiar-siar ke taman ini.

Saya sangat suka ke sini.
Berjalan bersendirian di sini.
Kerana di sana nanti, saya dapat berbual-bual dengan orang-orang yang belum saya kenali.

Semalam, saya berbual-bual dengan seorang kanak-kanak perempuan Inggeris yang berumur 5 tahun setengah. Petah betul.
Sambil melayannya yang leka bermain buaian, bibir mongel kanak-kanak ini tidak henti-henti berceloteh.
Bercerita tentang ibunya yang sedang berdiet, ayahnya yang suka memetik bunga dan adik lelakinya yang masih kecil.
Terhibur hati saya.
Itulah istimewanya kanak-kanak.

Setelah mengucapkan selamat tinggal, saya berjalan ke tepi tasik buatan manusia di situ.
Kemudian duduk sebentar di bangku.
Melepaskan lelah.
Memerhatikan itik-itik yang berenang ke hulu dan ke hilir.
Burung-burung yang bebas terbang.
Langit biru yang luas terbentang.
Pokok-pokok yang ditiup angin tenang.
Sesekali, beberapa helaian daun jatuh berguguran.

Saya merenung jauh.


Setelah beberapa bulan saya bermastautin di bumi asing, banyak perubahan yang saya alami.
Tidak dapat saya nyatakan semuanya di sini kerana terlalu banyak.
Dan antaranya bersifat peribadi. =)
Namun, saya dapati semakin umur meningkat dewasa, semakin banyak dan rumit cabaran-cabaran yang datang.
Baru-baru ini, saya diberi tanggungjawab sebagai General Secretary Sheffield Malaysians Students Association.
Bertambah lagi beban yang digalas di atas bahu.
Moga dipermudahkan..Amin.

Dan semakin hari, semakin banyak perkara yang saya pelajari.
Tentang perancangan manusia dan ketentuan Tuhan.
Sehebat mana manusia itu merancang, ia tetap berada di dalam kawalan Maha Pemutus.
Namun, ini tidak pula bermakna manusia harus mengalah dan berputus asa untuk merancang kehidupan.
Kerana sesiapa yang gagal merancang, dia sebenarnya merancang untuk gagal.
Inilah prinsip yang saya pegang.

Kemudian, entah mengapa tiba-tiba fikiran saya beralih kepada seseuatu.
Malu pula rasanya nak bercerita.
Tetapi jika dapat dimanfaatkan bersama, tiada apa yang perlu saya gusarkan.

Sebelum saya ke Sheffield, saya tidaklah begitu mahir memasak.
Manakan tidak, hidup remaja saya banyak dihabiskan di asrama.
Makan dan minum samuanya dibereskan mak cik dewan selera yang sungguh berjasa.
Alhamdulilah.

Cumanya, ketika ibu dan ayah pergi berangkat menunaikan Fardu Haji di Mekah, sayalah ibu dan ayah kepada adik-adik saya.
Alhamdulilah ketika itu kami semua sedang bercuti sekolah, maka bolehlah saya tengok-tengokkan adik-adik saya di rumah.
Ketika inilah, "skill memasak" saya baru mula bercambah. Tetapi hanya masakan ringkas sahaja menjadi pilihan saya. (Atau, sebenarnya saya tiada pilihan lain selain memasak masakan ringkas memandangkan keadaan saya yang kurang "skill").

Alhamdulilah, benarlah kata orang, jika kita tidak merasa hidup susah, kita tidak akan belajar sesuatu.
Apabila saya berada di bumi sheffield ini, barulah saya giat mencuba masakan baru.
Dan entah mengapa sejak hubungan saya dengan Kak Jihan menjadi sangat rapat baru-baru ini, sindromnya yang suka baking cake mula berjangkit kepada saya.
Kadang kala setiap kali pulang daripada ulangkaji bersama "groupmate" saya, mahu sahaja saya ke dapur untuk mem "baking".
Exam sudah semakin hampir, mungkin saya perlu kawal sindrom ini.=)

...........................................................


Kek Coklat Moist " Kasih Tidak Bertepi"
( diadaptasi daripada kiriman saya ke blog SMSA Women)



Kek Chocolate Moist “ Kasih Tidak Bertepi”

Assalamualaikum.

Dearest sisters,

Saya berminat untuk berkongsi resepi kek ini adalah kerana kek ini mempunyai memori yang sungguh istimewa . Inilah kek pertama yang pernah saya buat sendiri tanpa bantuan orang lain dan yang paling membuatkan ia bermakna ialah apabila kek ini dibuat khas untuk orang-orang yang saya sayangi.

Kek ini pernah didedikasi khas untuk “ibu usrah” saya iaitu Kak Nik Munirah Nik Nasir ketika hari jadinya. Ketika itu saya, Atikah dan Kak Jihan bersama-sama membuatnya. Hehe.

Dan baru-baru ini, ketika hari jadi ibu angkat saya, Ummi Zaharah, sekali lagi kek ini saya hadiahkan untuknya.

Sengaja saya member nama Kek Chocolate Moist “Kasih Tidak Bertepi”.

Jika diteliti, tiada bahan-bahan yang mahal-mahal dan istimewa yang digunakan untuk membuat kek ini.

Tetapi yang pastinya, nilai CINTA dan KASIH SAYANG menjadi ramuan yang tidak mampu disediakan oleh mana-mana chef terkenal.

Kerana ianya hanya terbit dari hati si pemberi.

Semoga saya akan ada lagi peluang untuk membuat sesuatu untuk orang-orang yang saya sayangi,insyaalah.

Selamat mencuba! Ingat, ramuan utama ialah secebis kasih sayang anda!

Bahan-bahan ( loyang 9 in )

  • 250gm butter
  • 1 cawan gula castor
  • 1 cawan gula perang
  • 4 biji telur (A)
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 1 cawan susu segar suam
  • 1 1/4 cawan tepung naik sendiri
  • 3/4 cawan serbuk koko
  • Utk choc ganache:
  • 150gm coklat masakan
  • 1 sudu besar susu pekat
  • 1/4 cawan air panas
  • 1 sudu besar butter

Cara-cara

  1. Griskan loyang dgn butter dan tepung dan panaskan kukusan. Ayak tepung bersama serbuk koko.
  2. Pukul butter bersama gula castor dan gula perang hingga kembang. Masukkan esen vanila dan pukul lg.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul hingga gebu dan kembang.
  4. Masukkan susu dan tepung yg diayak secara selang seli dan guna kaedah kaup balik hingga adunan sebati
  5. Masukkan kedalam loyang dan tutup loyang dgn aluminium foil. Kukus selama 1 1/2 jam. Bila sejuk barulah diletak atas pinggan kek dan hiaskan dgn choc ganache.
  6. Untuk membuat choc ganache: masukkan coklat masakan yg dipotong kecil2, susu pekat dan air panas kedalam periuk dan masaklah cara double boiler hingga cair. Padam kan api dan masukkan mentega. Kacau hingga mentega cair.
  7. Curahkan atas kek yg dah sejuk dan hiaskan mengikut cita rasa masing2. Kek ini lebih sedap dimakan jika dah disejukkan dalam peti ais.
  8. Tip: Untuk menghasilkan permukaan kek yg cantik bila kita curahkan choc ganache, terlangkupkan bahagian atas kek keatas pinggan. Biar bahagian bawah kek yg duk kat atas.

1 comment:

As said...

chocolate cake yang kukus, memang akan makin sedap bile 2-3 hari dalam fridge. Bukan kerana sejuk, tp makin moist :)