Saturday 5 January 2008

KEMBARA HIDUPKU: "ADAKAH SEMUA ITU BISA MENYELAMATKAN KITA TANPA MENYEMBAH TUHAN?"

"EH, TU KE USTAZ HASRIZAL?"

Hari pertama PUISI 2007
23 Disember 2007, dewan makan, Mount Malleray Scout Center, Ireland.
6.00 pm

"Alhamdulillah, kenyang pun. Dah, jom kita siap-siap pergi dewan," saya menggesa kawan-kawan yang berkongsi makanan dengan saya. Seronok makan bersama-sama dalam satu dulang, teringat nasi kawah di Malaysia.
Ketika saya mengangkat dulang untuk diletakkan di dapur, mata saya menangkap kelibat yang pernah saya temui satu ketika dahulu.

"Eh, tu ke Ustaz Hasrizal?" saya bertanya, sedikit berbisik sambil menjeling ke arah beberapa orang muslimin yang sedang berbual-bual.
"Haah la. Tu la dia," jawab Azrin, teman baik saya.
"Oh..jumpa juga dengan Ustaz Hasrizal ni. Tak sabar betul nak dengar pengisian kali ni," saya berkata, girang.

Ustaz Hasrizal memang terkenal di kalangan pelajar Kolej MARA Banting. Jika sebut sahaja nama ustaz muda ini, berbunga-bungalah hati pelajar -pelajar terutamanya yang cintakan ilmu dan dahagakan pengisian kalbu. Memang kehadiran Ustaz Hasrizal tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

Secara jujurnya, saya tidak tahu PUISI 2007 kali ini akan mengupas buku karangan Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam? kerana saya bermati-matian menyangka beliau hanya akan membincangkan "Begin With the End in Mind" sepertimana yang diwar-warkan dalam promo PUISI 2007 oleh pihak penganjur.

Itulah, tidak peka. Terlalu excited, barangkali.



"ADAKAH SEMUA ITU BISA MENYELAMATKAN KITA TANPA MENYEMBAH TUHAN?"
(PENGISIAN PERTAMA: Saya Mestilah Muslim di Sudut Akidah)

Klik "Start" pada video.


"Papa takut nggak sih masuk neraka?"

"Ma, kita kan sudah banyak berbuat kebaikan. Kelmarin, kita menyumbangkan untuk jompo ( orang-orang tua), minggu lalu, kita nyumbangkan di asuhan, dua minggu lalu, kita memberikan biasiswa kepada 10 anak yang kurang mampu. Yang pentingkan kita enggak korupsi,"

"Tapi apa semua itu bisa buat kita masuk syurga, pa?"

"Ini lagi yang papa fikir. Apakah semua itu bisa menyelamatkan kita,tanpa menyembah TUHAN?"

Sedutan filem "KIAMAT SUDAH DEKAT" itu dihentikan oleh Ustaz Hasrizal.

Sunyi seketika dewan ketika itu.

"Apakah semua itu bisa menyelamatkan kita,tanpa menyembah TUHAN?", Ustaz Hasrizal mengulang petikan dialog filem Indonesia itu.

Saya termenung seketika.
Ketika itu, audio visual minda saya secara automatik membawa saya kepada beberapa tokoh korporat yang terkemuka. Sebut sahaja nama mereka, pasti semua mengenali mereka.

Donald Trump, Bill Gates, Mendiang Princess Diana.

Mereka punya persamaan.
Kekayaan, Kehormatan, Kebanggaan, Kedudukan.
Sudah berbilion-bilion wang didermakan kepada badan-badan amal.
Sudah hampir pelusuk dunia dijelajahi semata-mata untuk melawat negara-negara miskin.
Sudah berderet senarai kerja-kerja amal yang mereka lakukan.

Mereka punya satu lagi persamaan.

Mereka tidak BERIMAN.

Sayang, seribu kali sayang.

Adakah segala kebajikan tersebut mampu menjanjikan AL FALAH tanpa menyembah ALLAH yang Esa?
...........................................................................

"Apa tujuan hidup anda?"
"Pentingkah menjawabnya?"

Cuba bayangkan;

Perlawanan bola sepak tanpa gol,
Bermain golf tanpa lubang,

Pertanyaan demi pertanyaan diajukan oleh Ustaz Hsrizal.
Bertalu-talu.

"Saya bagi analogi. Cuba lihat ini, apa namanya?" Ustaz Hasrizal menunjukkan pen di tangannya kepada peserta.

"Sebatang pen, bukan? Sekarang, katakan, saya buangkan pen ini ke dalam tong sampah. Jadi, sekarang, apa yang orang akan panggil?

"SAMPAH", jawab peserta.

"Ya, sampah!. Pen direka secara spesifik untuk menulis, tetapi apabila tujuan asal direka itu telah disalahguna dan dibuang dalam tong sampah, ia digelar sampah. Begitu juga manusia, ALLAH SWT mencipta manusia dengan tujuan yang spesifik, tapi jika manusia itu hidup dengan tujuan yang salah, manusia itu telah menjadi sampah!" bergema satu dewan dengan penjelasan Ustaz Hasrizal.

Hati saya terdetik.
Manusia hidup dengan tujuan yang salah= SAMPAH?.
Kecut hati saya.

MANUSIA=SAMPAH?
Nauzubillah..

Kali ini, slide presentation bertukar.

Gambar sebuah kereta terpampang.

Ustaz Hasrizal memandang peserta. Lagi, dia bertanya.
"Apa ini?"
"Kereta," jawab peserta.

"Sekarang, katakan pada masa dahulu, ketika kereta adalah rekaan terbaru. Tiada siapa pun pernah melihat kereta. Tiada siapa pun tahu apa tujuan kereta dicipta."

"Jadi, jika kita hidup pada masa itu, kalau kita nak tahu apakah tujuan kereta dicipta, kita nak tanya pada siapa?" Lagi persoalan yang mengasah minda.

"Pencipta kereta," jawab segelintir peserta.

"Ya! Tanya pencipta kereta!. Kalau kita nak tahu apa tujuan sesuatu benda itu dijadikan, kita tanya pencipta benda itu, bukan tanya benda itu," Ustaz Hasrizal berhenti seketika. Mengambil nafas barangkali.
Perbincangan yang berasaskan analogi itu menjadi semakin hangat.

"Sekarang, kita fokus pada manusia. Sama seperti kereta, kalau kita nak tahu apa tujuan manusia itu diciptakan, jangan tanya manusia, tanya Pencipta manusia,"

Telah berfirman Allah Swt.

(وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون) (سورة الذاريات: 56)

Sambung Ustaz Hasrizal lagi,

"Allah tidak gunakan ayat "KHALAKTUL JINNA WAL INSAA LI YA' BUDUUN"......AKU CIPTAKAN JIN DAN MANUSIA UNTUK BERIBADAH...Allah tak sebut itu.."

"Tapi Allah sebut..Aku TIDAK ciptakan jin dan manusia KECUALI untuk beribadah. So ada PENGECUALIAN dan EXCLUSIVENESS di situ.

SUBHANALLAH..Baru saya tersedar.
Selama saya mengenal ayat yang sinonim dengan penciptaan makhluk ini, saya tidak pernah terfikir satu perkataan itu mempunyai makna yang tersirat.
Perkataan "KECUALI" itu.
Menyimpan satu makna yang amat mendalam.

Penciptaan manusia ini bukan berserta dengan BANYAK tujuan.
Sebaliknya, manusia itu dicipta dengan SATU tujuan.
Satu-satunya TUJUAN.
BERIBADAH.
Noktah.

.................................................................

23 Disember 2007,
Masih di Mount Malleray, Waterford, Ireland.
930 pm

Di satu tempat yang gelap yang saya tidak tahu di mana....

"Aduh..Ya Allah..sakitnya," berkerut dahi saya menahan sakit. Tiba-tiba kepala saya terlanggar satu objek keras. Hendak digosok kepala yang sakit, hampir mustahil. Manakan tidak, tangan saya dipegang erat oleh sahabat-sahabat sekumpulan saya, kiri dan kanan.

Saya tidak tahu objek apa yang telah menghentam kepala saya kerana mata sudah dibalut ketat dengan kain.

Berdenyut-denyut. Sakit.

Setelah puas merangkak dalam satu barisan panjang bersama-sama sahabat sekumpulan, kami diarahkan berdiri oleh ketua kumpulan, Faizah, sahabat baru saya dari Warwick.

"Semua orang boleh bangun. Bangun perlahan-lahan ya," suaranya sayup-sayup kedengaran dari arah hadapan.
Ketua kumpulan ditugaskan untuk memberi arahan kepada ahli kumpulan untuk sampai ke destinasi akhir. Kelebihannya, ketua kumpulan tidak perlu menutup mata. Hanya arahan lisan sahaja dibenarkan.

Kami berjalan perlahan-lahan dalam satu barisan yang panjang sambil memimpin tangan sahabat yang bersebelahan.
Lambat sungguh kami berjalan lantaran terlalu ingin berhati-hati dengan halangan yang seterusnya. Ditambah pula dengan mata yang tertutup, bertambah lambatlah kami bergerak.Saya kira, jika ada cik kura-kura di sebelah, tentu cik kura-kura tersebut sampai dahulu ke destinasi.

"Pelik betullah LDK ni," saya mendesis.

Memang pelik. Pada kebiasaannya, LDK hanyalah dijalankan dalam bentuk perbincangan berdasarkan ceramah yang telah disampaikan. Tapi, kali ini, lain pula bentuk LDK untuk sesi ceramah "Saya Mestilah Muslim di Segi Akidah" ini.

Pelik, pelik.

Tiba-tiba..

"Wani!!! Pegang tangan Kak Wani kuat-kuat!!", teriak Faizah, lantang.

"Hish, apa Faizah merepek ni. Kejap panggil Wani, kejap panggil Kak Wani..sejak bilalah saya lebih tua daripada dia," saya berbisik sendiri.

Tiba-tiba...

Tangan saya direntap kasar. Ada tangan asing yang cuba memisahkan tautan tangan saya dan sahabat sebelah saya.

Astaghfirullahal azim..macam mana saya boleh lupa..Patutlah Faizah panggil "Kak Wani", kerana memang sahabat bersebelahan saya itu juga bernama Wani.Tiga tahun lebih tua daripada saya.

Tangan asing yang cuba memisahkan kami menjadi semakin ganas.
Sangat aggresif. Puas saya menggenggam erat tangan Kak Wani, tapi rupa-rupanya kudrat "Si Pengganas" itu sangat hebat. Habis dipulas-pulas pergelangan tangan saya. Peritnya rasa.

Lantaran kelalaian saya memaut tangan sahabat saya ini dengan erat dan serangan ganas dari arah yang tidak disangka-sangka ini akhirnya berjaya memisahkan kumpulan kami kepada dua bahagian.

Sungguh menghampakan kerana saya kehilangan sahabat di sebelah kiri saya.
Hilang entah ke mana.
................................................................................

Dengan kebijaksanaan Faizah, kumpulan kami berjaya disatukan kembali dan akhirnya sampai juga kami ke destinasi akhir.
Walaupun agak lambat kerana terpisah di pertengahan jalan, tapi itu tidak menjadi masalah untuk kami menghabiskan pengembaraan spiritual itu.
Semangat Ukhuwwah kami menjadi semakin kental.

"Alhamdulillah, kita berjaya habiskan LDK pertama kita tadi. Sekarang, saya nak panggil beberapa orang untuk bagi pendapat tentang aktiviti tadi," bergema suara Kak Safiah, selaku AJK pengisian PUISI2007 di corong speaker dewan.

"OK, mangsa pertama, aa...dah nampak dah..Kakak yang pakai tudung purple tu," panggil Kak Safiah.

Erk. Saya tergamam sebentar. Saya berpura-pura melihat kanan dan kiri, mencari kakak yang bertudung purple itu.

"Eh..jangan lah tengok kanan kiri, kak..awaklah..," laju sahaja Kak Safiah menyindir.

Terkena saya. Saya tahu saya tidak boleh mengelak lagi.

"Hish...sakit kat tangan dan hantukan kepala belum hilang lagi, kena panggil pergi depan pula. Sengaja Kak Safiah ni," saya membebel sendiri.

"Assalamualaikum, apa yang dapat saya simpulkan, kalau kita kaitkan dengan pengisian daripada Ustaz Hasrizal pada hari ini, Saya Mestilah Muslim Dari segi Akidah, kita sepatutnya sedar, pegangan akidah sangat penting untuk sampai ke destinasi akhir, iaitu akhirat. Kalau kita lihat, dalam hidup, terlalu banyak godaan dan cabaran, tak kiralah daripada syaitan atau sesiapa sahaja, menunjukkan godaan-godaan ini sentiasa berusaha untuk meleraikan pegangan akidah kita.Sehingga ada yang tercedera dalam mempertahankan akidah, ini menunjukkan betapa bahayanya ancaman luar ini. Jadi, kita perlu ada pegangan akidah yang utuh untuk selamat ke destinasi akhir kita, iaitu akhirat kelak, insyaalah.

Saya tidak tahu dari manakah saya mendapat idea ini. Lancar sahaja lidah saya mengeluarkan kata-kata. Sedangkan semasa aktiviti tadi, saya memang blur habis. Tapi alhamdulillah, pada ketika itu, audience terdiri daripada peserta muslimat sahaja. Kalau tidak, kaku juga saya di hadapan.
....................................................................

23 Disember 2007
Di bilik tidur.
11.55 pm

Bilik kami tidaklah begitu luas dan tidaklah begitu sempit. Tapi yang pasti, seramai 14 orang muslimat dimuatkan dalam satu bilik sederhana itu.
Ada yang datang dari Birmingham, Manchester, Warwick, Cork, Galway dan banyak lagi tempat.
Badan sudah penat, mata pun sudah mula perit menahan mengantuk.
Setelah membaca Al Mulk, bilik mula sunyi sepi, kadangkala diselangi dengan suara beberapa sahabat yang belum tidur lagi.

Mudah-mudahan Allah pinjamkan hari esok untuk saya meneruskan hidup lagi.
Tidak sampai 24 jam, saya sudah jatuh cinta dengan program PUISI 2007 ini.
Alhamdulillah.
"Saya akan sampaikan ilmu dan pengalaman yang saya kutip hari ini kepada orang lain, InsyaAllah, "saya berjanji pada diri sendiri.
Setelah itu, saya tidak mendengar apa-apa bunyi lagi.

4 comments:

Hasrizal Abdul Jamil said...

Assalamualaikum.

Terima kasih atas catatan yang begitu berharga. Moga kebaikan yang diperolehi dari PUISI 2007 berterusan hingga ke hujung penghujung di Sana

norshazwani othman said...

erk...?ustaz?..alamak..malunye...
huhu..ye terima kasih ustaz atas segala ilmu..(ishh..masih malu ni)..

minal Qalb said...

Assalamualaikum~
Mata terus terlekat pada skrin.
Cemburu pun ade, hehe...
Teruskan jihad pena!

norshazwani othman said...

syukran ezati..jgnlah cemburu..huhu..kite share same2 ye?..insyaalah..